28 Julai 1960 – Pada tahun 1960, Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan Bunga Raya atau nama saintifiknya Hibiscus Rosa-Sinesis sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu ketika merasmikan pameran Malayan Agro-Horticultural Association (MAHA) di Kelab Turf, Selangor.
Sejarah pemilihan bunga kebangsaan bermula pada akhir tahun 1958, apabila Kementerian Pertanian mencadangkan tujuh jenis bunga iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung.
Berdasar kepada pertimbangan dari pelbagai aspek, kabinet memutuskan untuk memilih bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan kerana Bunga Raya memiliki kelopak yang besar, lebar dan melentur, nama Bunga Raya telah dikenali di Tanah Melayu sejak dahulu kala dengan satu nama sahaja.
Sehubungan itu, Bunga Raya terus menjadi inspirasi dalam membentuk identiti negara dengan nama dan rupa bentuk Bunga Raya dijadikan simbol bagi mempamerkan identiti sebagaimana yang terdapat pada Jata Negara, logo, lencana, bendera, sulaman, setem, taman perumahan, jalan raya, bangunan, wang kertas serta wang syiling.
Selain itu, sifatnya yang memiliki lima kelopak dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara, yang diperkenalkan pada tahun 1970. Bunga Raya telah didaftarkan sebagai objek warisan negara di bawah kategori Objek Warisan Ketara pada tahun 2007, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Sumber : Arkib Negara Malaysia