masjid_Temenggong-Abu-Bakar
Sejarah

Maharaja Abu Bakar Ditabal Sebagai Sultan Johor

29 Julai 1886 – Maharaja Abu Bakar ditabal sebagai Sultan Johor pada tahun 1886. Upacara pertabalan berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dengan cara yang sederhana tetapi penuh istiadat.

Pengisytiharan baginda sebagai Sultan Johor telah dibuat pada 13 Februari 1886. Baginda dilantik menjadi Temenggung Johor pada 1862, dan kemudian mengisytiharkan gelaran Maharaja Johor pada 1868. Setelah kemangkatan Sultan Ali, baginda telah menaiki takhta kerajaan Johor pada 1877.

Pada masa pemerintahannya, banyak usaha-usaha dan jasa-jasa baginda dicurahkan dalam membangun dan memodenkan negeri Johor. Antara peranan penting yang dimainkan oleh baginda ialah menubuhkan perkhidmatan perubatan, pelajaran, pos dan kemudahan awam.

Sempena pelantikan baginda sebagai Sultan Johor, baginda telah menguatkan hak baginda sebagai seorang raja yang merdeka dan berdaulat.

Pentadbiran negeri dijalankan mengikut arahan baginda dan Majlis Mesyuarat Negeri. Baginda tidak lagi mahu menerima nasihat Gabenor Inggeris di Singapura. Sepanjang pemerintahan baginda, Johor tidak pernah menerima wakil British sebagai penasihat.

Dalam memperkukuhkan kedudukan baginda sebagai Sultan Johor, baginda telah memasyhurkan perlembagaan negeri yang dinamakan ‘Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor, pada 14 April 1895.

Memandangkan kegigihan baginda memaju dan memodenkan Johor, sudah sewajamya baginda digelar ‘Bapa Johor Moden’ dan menjadi Sultan yang paling masyhur hingga ke luar negeri. Ini adalah kerana sikap dan kegemaran baginda menjelajah dan mendampingi orang ternama termasuk Queen Victoria dan King George V.

Dengan itu tidak hairanlah kemasyhuran baginda kekal hingga ke hari ini walaupun baginda telah mangkat pada 4 Jun 1895.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard