01 Ogos 1955 – Pada tahun 1955, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, selaku pemimpin Kebangsaan Parti Perikatan yang dianggotai oleh United Malay National Organisation (UMNO), Malayan Chinese Association (MCA) dan Malayan Indian Congress (MIC) telah membentuk kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu.
Pembentukan Kabinet adalah berikutan kemenangan Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama yang di adakan pada 27 Julai 1955.
Pembentukan barisan Kabinet pertama terdiri daripada 10 orang Menteri, 2 orang Timbalan Menteri dan 3 orang Penolong Menteri terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti dari UMNO, MCA, MIC.
Sehubungan itu, YTM Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama.
Pengumuman rasmi pembentukan anggota Kabinet pertama telah dilakukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray pada 4 Ogos 1955 di King’s House setelah diperkenankan oleh Raja-raja Melayu.
Majlis angkat sumpah telah diadakan pada 9 Ogos 1955 dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Mr. Pretheroe.
Pembentukan Kabinet Pertama Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi asas kepada pembentukan berkerajaan sendiri selepas kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
Sumber : Arkib Negara Malaysia