Putrajaya_Night_Mosque_PM_Office
Sejarah

Dr Mahathir Isytihar Putrajaya Sebagai Wilayah Persekutuan

seal_putrajaya
01 Februari 2001 – YAB Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir bin Mohamad telah mengisytiharkan secara rasmi Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan di majlis yang diadakan di Dataran Perdana Putrajaya pada tahun 2001. Pengisytiharan itu menjadikan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga di negara ini selepas Kuala Lumpur dan Labuan.

Selain itu, ia mencatat sejarah kepada pembangunan negara apabila menjadi pusat pentadbiran negara yang baru secara rasmi. Putrajaya yang mengabadikan jasa dan kenangan terhadap Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj itu dibina dengan ciri-ciri kemajuan yang dihasratkan oleh negara untuk memacu ke arah kemajuan yang melewati rangka Wawasan 2020.

Bandar tersebut juga dilengkapi dengan infrastruktur tercanggih dari segi komunikasi serta urusan pejabat dan diharap dapat menghasilkan pentadbiran yang moden, cekap, berkesan serta maju.

Putrajaya_Malaysia_Perbadanan-Putrajaya

Ketika berucap pada ucapan perasmian Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan merasa gembira kerana berjaya membangunkan Putrajaya dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Sultan Selangor dan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang telah bersetuju menyerahkan kawasan seluas 4,581 hektar ini untuk dijadikan kawasan Wilayah Persekutuan Kerajaan Pusat.

Perdana Menteri turut menurunkan tandatangannya pada plak perisytiharan Putrajaya sebagai tanda simbolik bandar itu secara rasmi menjadi sebuah Wilayah Persekutuan yang turut sama di hadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohd. Khir Toyo, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para diplomat asing.

Putrajaya_Mosque

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard