Sultan_abdul_aziz_airport-800px
Sejarah

Penukaran Nama Lapangan Terbang Antarabangsa Subang

09 Mac 1996 – Penukaran nama Lapangan Terbang Antarabangsa Subang Kuala Lumpur kepada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dilakukan pada 9 Mac 1996. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Terminal satu LTSAAS.

Lapangan Terbang ini telah mula dibina pada 1 Januari 1963 dengan kos RM 52 juta setelah kerajaan menyedari bahawa Lapangan Terbang di Sungai Besi tidak dapat menampung keperluan trafik udara bagi tempoh jangka panjang. Pembinaan yang telah mengambil masa dua setengah tahun dengan keluasan 11,400 kaki persegi dan 150 kaki lebar.

lapangan terbang subang

Lapangan Terbang Antarabangsa Subang mempunyai landasan terpanjang di Asia Tenggara ketika itu (panjang 3.7 km, lebar 45 m). Ia mempunyai 3 terminal – Terminal 1 untuk penerbangan antarabangsa, Terminal 2 khas untuk penerbangan Malaysia-Singapura dan Terminal 3 untuk penerbangan domestik. Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dibuka secara rasmi untuk penerbangan pada 30 Ogos 1965 oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

lapangan terbang subang

Sebelum pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 1999, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah merupakan lapangan terbang Kuala Lumpur, Malaysia yang utama. Bagaimanapun lapangan terbang ini terus berfungsi dalam industri penerbangan awam sebagai pusat operasi jet eksekutif dan operasi penerbangan awam.

Terminal 3 telah dinaik taraf pada Februari 2008 dan siap pada Oktober 2009 dan dikenali sebagai Subang Skypark. Ia telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak on 28 October 2009.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
subang_airport-2-800px
Sejarah

Terminal Satu Lapangan Terbang Subang Dibuka

01 Jun 1983 – Perkembangan pengangkutan udara negara telah berkembang pesat sejak dari pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pada 30 Ogos 1965. Sejak dari itu lapangan terbang negara sering diperbaiki dan dipertingkatkan mutu perkhidmatannya bagi menampung keperluan yang kian meningkat dari sehari ke sehari.

Pada 1 Jun 1983 Terminal Satu Lapangan Terbang Subang dibuka dengan rasminya. Terminal yang mempunyai rekabentuk yang menarik itu akan menyediakan kemudahan tertentu bagi memudahkan orang ramai yang menggunakannya kelak. Terminal satu lapangan terbang ini akan mula beroperasi pada jam 5.40 pagi pada hari ini dalam tahun 1983 dengan penerbangan pertamanya yang berlepas ke Kuching dan ketibaan pertamanya pula dari Kota Kinabalu pada kira-kira jam 8.05 pagi.

Pembinaan terminal satu lapangan terbang ini menelan belanja sebanyak RM120 juta dan telah siap dibina empat bulan lebih awal daripada yang dijangkakan. Sebelum Lapangan Terbang Antarabangsa Subang ini dibuka, perjalanan udara di Malaya ketika itu beroperasi di Lapangan Terbang Sungei Besi hinggalah pada tahun 1965 apabila ianya dipindahkan ke Subang.

subang airport poscard

Semasa di Subang lapangan terbang telah dapat beroperasi dengan lebih berkesan lagi dan pembukaan terminal satu pada hari ini ialah bagi menampung keperluan yang kian bertambah. Selepas itu terminal dua dan tiga pula dibuka bagi memenuhi keperluan yang lebih mendesak.

Pada 9 Mac 1996 nama Lapangan Terbang Antarabangsa Subang Kuala Lumpur telah ditukar kepada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS). Terminal Satu Lapangan Terbang Subang terus menjadi pintu masuk utama penerbangan antarabangsa sehingga pada tahun 1998 apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang mula dibuka dengan rasminya.

Walaupun begitu Lapangan Terbang Subang dan terminal satu tetap menjadi mercu tanda negara kerana telah banyak menyaksikan peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah negara. Sementara Lapangan Terbang KLIA yang baru adalah bagi memenuhi keperluan semasa yang lebih mencabar.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malaysia_airlines_airbus-800px
Sejarah

Pelancaran Perkhidmatan Penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS)

30 September 1972 – Perkhidmatan Penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) telah dilancarkan dengan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang oleh Pemangku Perdana Menteri Tun Dr. Ismail pada tahun 1972. Hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Perhubungan Tan Sri Sardon Jubir dan Pengerusi MAS Encik G.K. Rama Iyer.

Dengan pelancaran tersebut kapal terbang MAS akan memulakan operasinya pada 1 Oktober 1972 dengan lebih 20 penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dengan menggunakan lambang ‘Wau Bulan’.

Walaupun MAS syarikat yang baru muncul tetapi ianya mempunyai warisan sejarah yang cemerlang daripada syarikat MSA yang mempunyai pengalaman yang luas dalam perkhidmatan penerbangan.

MAS bukan sahaja menjadi jambatan yang menghubungkan antara Malaysia Barat dengan Malaysia Timur tetapi juga menghubungkan Malaysia dengan negara-negara lain di dunia.

Sistem Penerbangan MAS sebagai ‘National Flag Carrier’ diharapkan dapat berkembang dengan lebih pesat membawa misi dan harapan rakyat Malaysia ke arah hubungan ekonomi dan sosial dengan dunia luar.

Pelancaran perkhidmatan penerbangan MAS pada hari ini dalam tahun 1972 diharap dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan udara di negara ini sebagai sebuah syarikat penerbangan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard