H.I.D.S – Tun Abdul Jalil Diangkat Menjadi Sultan Johor

03 September 1699 – Pada hari ini dalam tahun 1699, Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil telah dilantik menjadi Sultan Johor yang ke sebelas dan bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Pelantikan baginda sebagai Sultan adalah bagi menggantikan Sultan Mahmud Shah II (Sultan Mahmud mangkat dijulang) yang telah dibunuh oleh seorang pahlawannya. Dengan pelantikan Tun Abdul Jalil sebagai Sultan Johor, maka berakhirlah keturunan Kesultanan Melayu Melaka di Johor.

Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil adalah bendahara kepada Sultan Mahmud Shah II dan anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid. Beliau telah dilantik menjadi bendahara pada tahun 1697 setelah ayahandanya mangkat. Oleh kerana sikap Sultan Mahmud Shah II yang bengis dan ganjil, maka pembesar-pembesar istana sentiasa sahaja merujuk kepada Bendahara Tun Abdul Jalil dalam semua segi pentadbiran negeri.

Akhirnya, apabila Sultan Mahmud Shah membunuh isteri salah seorang pahlawan istana (Megat Seri Rama) yang sedang mengandung. Megat Seri Rama telah menyatakan sikapnya untuk membela kematian isterinya kepada pembesar-pembesar istana. Pembesar-pembesar istana yang bencikan sikap Sultan Mahmud Shah II menyatakan sokongan mereka dan akhirnya baginda dibunuh oleh Megat Seri Rama, pembesar-pembesar istana terus melantik Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil sebagai Sultan Johor yang kesebelas.

Sultan Abdul Jalil telah memerintah negeri Johor selama 19 tahun, antara tahun 1699 hingga 1718. Semasa pemerintahan baginda beberapa pergolakan telah berlaku. Pada 1717, Raja Kecil Siak yang mengaku dirinya adalah waris Sultan Mahmud Shah telah datang menyerang negeri Johor. Raja Kecil Siak yang telah dibantu oleh orang laut Singapura dan Johor telah menyerang Panchor pada tahun 1718. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV telah mengaku kalah dan diampunkan oleh Raja Kecil. Baginda kemudian dilantik semula sebagai Bendahara setelah Johor jatuh ke tangan Raja Kecil Siak pada 21 Mac 1718.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen