H. I. D. S. – Pertempuran Di Padang Kanchong

23 Mei 1928 – Pada hari ini dalam tahun 1928, satu pertempuran telah berlaku di antara pasukan penentang-penentang pentadbiran British di Terengganu dengan pasukan Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Lela. Pasukan penentang ini terdiri daripada beberapa pasukan yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahman atau Lebai Deraman atau Tok Janggut dari Kampong Alur Limbat, Mat Zin bin Mat Min dari Telemung dan Haji Zakaria. Pasukan ini adalah pasukan yang bergerak dari Kampong Pelam, Telemung untuk menuju ke Kuala Terengganu.

Pentadbiran British telah memperkenalkan peraturan yang mewajibkan rakyat mempunyai surat izin untuk membuat huma, menebang kayu, membuka tanah, malah mengambil daun untuk membuat atap. Di samping itu dikenakan juga cukai hasil tanah dan pendapatan tanah serta menyekat rakyat dari memburu binatang liar.

Dalam pertempuran di Padang Kanchong ini 11 orang dari pihak penentang telah terkorban dan beberapa orang mendapat luka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen