H.I.D.S. – Perjanjian Penyerahan Negeri Kelantan Kepada Negeri Siam Ditandatangani

Kwangchowan_Japanese_military_occupation_1943
Tentera Jepun

20 Julai 1943 – Pada hari ini dalam tahun 1943, satu perjanjian mengenai penyerahan negeri Kelantan kepada negeri Siam telah ditandatangani antara kerajaan Siam dengan Jepun.

Sebelum perjanjian penyerahan ini ditandatangani, negeri Kelantan berada di bawah kekuasaan Tentera Jepun berikutan dengan penaklukannya oleh Tentera Jepun yang bermula pada 8 Disember 1941. Walau bagaimanapun pentadbiran Jepun hanya dikuatkuasakan sepenuhnya di Kelantan pada awal Januari 1942 sejurus selepas seluruh negeri Kelantan jatuh ke tangan Tentera Jepun.

Walaupun perjanjian penyerahan ini telah ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1943, namun penyerahan negeri Kelantan oleh Tentera Jepun kepada Khalang Tharu Phia Chamrat bagi pihak Siam hanya dilakukan pada 18 Oktober 1943. Sehari selepas penyerahan ini iaitu pada 19 Oktober, seluruh negeri Kelantan telah mengibarkan bendera Siam sebagai menandakan penyerahan tersebut.

Di bawah kekuasaan Siam, corak pentadbiran dan pemerintahan di negeri Kelantan turut berubah. Pada 31 Oktober 1943, Kelantan telah di perintah secara Sistem Berahli (Member System). Walaupun begitu, undang-undang yang telah digubal sebelumnya di Kelantan masih diteruskan.

Walaupun penyerahan ini menandakan bermulanya pemerintahan Siam di negeri Kelantan, namun setelah Jepun terpaksa menyerah kalah kepada tentera Berikat tanpa sebarang syarat, Tentera British telah kembali semula ke Tanah Melayu dan mengambil alih pentadbiran di seluruh Tanah Melayu termasuk Kelantan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen