Perasmian Jambatan Sungai Golok, Kelantan

21 Mei 1973 – Pada hari ini dalam tahun 1973, Jambatan Sungai Golok di Kelantan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein. Jambatan Sungai Golok yang dibina dengan kerjasama Kerajaan Malaysia dan Thailand ini menghubungkan pekan Rantau Panjang di Negeri Kelantan dengan pekan Golok di negeri Thai.

Sebelum jambatan ini dibina kemudahan perhubungan antara Malaysia dengan negeri Thai adalah terhad kepada sebatang jambatan keretapi dan perahu-perahu kecil yang berulang alik antara pekan Rantau Panjang dengan Pekan Golok. Perkembangan perniagaan dan pelancongan yang semakin meningkat antara Malaysia dan negeri Thai memerlukan kemudahan yang lebih baik dan moden.

Perjalanan dengan keretapi terhad kepada waktu-waktu yang ditetapkan sahaja. Tetapi dengan pembinaan jambatan ini perjalanan serta perhubungan antara pekan Golok dengan Pekan Rantau Panjang boleh dibuat pada bila-bila masa. Oleh kerana perhubungan yang erat antara kedua buah pekan ini pembinaan jambatan Sungai Golok ini dijalankan serentak dengan pembinaan kompleks Stesyen Keretapi, Pejabat Kastam dan Imigresen. Semua kemudahan ini telah memberikan wajah baru kepada Pekan Rantau Panjang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen