H. I. D. S. – Pengumuman Kemerdekaan Di Padang Bandar Hilir, Melaka

melaka20 Februari 1956 – Pada hari ini dalam tahun 1956, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan dan juga Yang Dipertua Agong UMNO mengumumkan Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada 31 Ogos 1957. Pengumuman Kemerdekaan ini dibuat sejurus kembalinya rombongan Merdeka dari London di hadapan lebih 100,000 hadirin di Padang Bandar Hilir, Melaka.

Dari Lapangan Terbang Melaka rombongan ini diarak oleh sepasukan pemuda bermotosikal dan diikuti oleh berpuluh-puluh buah kereta mengiringinya. Berbekalkan perpaduan suara rakyat dan desakan demi desakan oleh para pejuang, rombongan Merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra dengan disertai oleh empat wakil perikatan dan empat wakil Raja-Raja Melayu berlepas ke London pada 18 Januari 1956 bagi mengadakan rundingan dengan pihak Inggeris.

Setelah berunding selama tiga minggu, misi rombongan kemerdekaan Tanah Melayu berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Persetujuan ini dimeterai melalui satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu yang ditandangani oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra bagi pihak kerajaan Tanah Melayu dan Encik Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British bagi pihak kerajaan British pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen