Penamaan Semula Lapangan Terbang Antarabangsa Subang

subang_airport09 Mac 1996 – Pada hari ini dalam tahun 1996, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Kuala Lumpur telah dinamakan sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS). Majlis penamaan tersebut telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Terminal satu LTSAAS.

Lapangan Terbang ini telah mula dibina pada 1 Januari 1963 dengan kos RM 52 juta setelah kerajaan menyedari bahawa Lapangan Terbang di Sungai Besi tidak dapat menampung keperluan trafik udara bagi tempoh jangka panjang. Pembinaan yang telah mengambil masa dua setengah tahun dengan keluasan 11,400 kaki persegi dan 150 kaki lebar ini, telah disempurnakan perasmiannya oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Sebaik sahaja dibina, ia menjadi lapangan terbang termoden dirantau ini dari segi kemudahan yang disediakan dan berperanan sebagai pintu masuk utama bagi Malaysia.

Walaupun operasi penerbangan berjadual telah berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada tahun 1998, namun lapangan terbang ini terus berfungsi dalam industri penerbangan awam sebagai pusat operasi jet eksekutif dan operasi penerbangan awam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen