H. I. D. S. – Kegagalan Rundingan Baling

Rashid_Maidin_Chin_Peng_Chin_Tien_195529 Disember 1955 – Pada hari ini dalam tahun 1955, Rundingan Damai Baling berakhir tanpa mencapai apa-apa kejayaan. Rundingan damai di antara pihak kerajaan dengan pihak komunis ini bertujuan untuk menamatkan darurat berikutan dengan tawaran pengampunan beramai-ramai kepada anggota-anggota Komunis Malaya yang telah di buat pada 9 September tahun itu.

Rundingan damai ini telah dijalankan didalam 4 sesi selama dua kali di Baling, Kedah. Pihak kerajaan telah diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu; Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Singapura; Encik David Marshall serta Dato’ Sir Tan Cheng Lock. Manakala pihak komunis diwakili oleh Chin Peng, Chin Tian dan Abdul Rashid Mydin.

Dirundingan itu Tuanku Abdul Rahman menerangkan syarat-syarat berkaitan dengan pengampunan beramai-ramai dan tentang pergolakan-pergolakan politik di negara ini. Beliau menyakinkan pihak komunis yang Tanah Melayu sedang di dalam perjalanannya ke arah mencapai kemerdekaan dengan demikian mereka mestilah memberhentikan perang. Mengenai pengampunan beramai-ramai, mereka yang berbuat demikian tidak akan didakwa kerana apa-apa kesalahan bersabit dengan darurat yang dilakukan sebelum pengisytiharan pengampunan.

Setelah dua hari rundingan, daripada perbincangan dan soal jawab, pihak kerajaan menyedari bahawa pihak komunis hanya berniat untuk mendapatkan kebebasan berpolitik tanpa apa-apa sekatan. Oleh itu kerajaan menyedari bahawa tidak ada gunanya lagi menyambung rundingan, lantaran itu pada hari ini dalam tahun 1955 rundingan perdamaian di Baling dihentikan tanpa mendapat apa-apa persetujuan dari pihak komunis.

Kegagalan ini merupakan amaran keras tentang bahaya yang akan dihadapi oleh negara dalam usaha mencapai kemerdekaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen