H. I. D. S. – Haji Abdul Rahman Limbong Ke Dungun – Menyebarkan Idea Menentang Peraturan Yang Diperkenalkan Oleh Inggeris

19 April 1928 – Pada hari ini dalam tahun 1928, Tuan Haji Abdul Rahman Limbong seorang ulamak terkenal dan berpengaruh di Terengganu telah ke Dungun bagi menyebarkan idea menentang peraturan yang diperkenalkan oleh Inggeris.

Tuan Haji Abdul Rahman Limbong atau nama sebenarnya Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid merupakan tokoh agama yang berpengaruh luas di Terengganu. Beliau yang dianggap alim lagi keramat ini sangat dihormati. Pengetahuan agamanya yang mendalam adalah satu keistimewaan yang dikagumi dan beliau adalah ketua membela rakyat yang didakwa kerana membuka tanah tanpa kebenaran. Malah Abdul Rahman Limbong menggalakkan rakyat membuka tanah kerana baginya tanah adalah hak Allah yang diusahakan dan boleh dipakai. Tanah akan dimiliki bila ianya diusahakan dan boleh dipusakai. Sekiranya tidak diwarisi tanah boleh diserah kepada ‘Baitulmal’. Jika didapati tiada pemilik tanah ini akan menjadi hak kerajaan.

Peraturan tanah yang diperkenalkan oleh Inggeris di Terengganu dalam tahun 1921 mensyaratkan bayaran cukai sebanyak lima puluh sen setahun. Hutan-hutan tidak dibenarkan dibuka. Pengenalan undang-undang tanah ini bererti menghapuskan undang-undang adat pemilikan tanah petani yang pernah dikerjakan turun temurun. Maka itu rakyat berpendapat tidak wajar mereka mengambil surat kebenaran kalau tanah yang diminta itu hak milik pusaka nenek moyang mereka dahulu.

Sebelum perlaksanaan undang-undang tanah, penduduk di kawasan Ulu Terengganu termasuk Dungun bebas membuka hutan secara kolektif untuk berhuma. Hasil-hasil hutan seperti rotan, buluh, damar dan lain-lain boleh diambil tanpa sebarang larangan. Bagi mereka tanah merupakan sumber utama kehidupan. Halangan menggunakan tanah merupakan persoalan hidup atau mati, dan inilah juga yang menimbulkan penentangan pada pemerintahan kolonial Inggeris.

Haji Abdul Rahman Limbong mendapati bahawa tanah di Ulu Terengganu mempunyai pemilik sah maka itu peraturan tanah British yang mahukan bayaran hasil penempatan dan surat kebenaran membuka tanah dianggap tidak adil dan keterlaluan.

Sungguhpun maklumat yang disebarkan oleh Abdul Rahman Limbong ini bukanlah untuk menentang kuasa Sultan tetapi menyatakan rasa keinsafan dan kesedaran bahawa pemerintahan negeri telah dikuasai oleh Inggeris dan golongan birokrat yang menjalankan tugas tanpa pertimbangan yang adil. Dan ternyata, dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu, Haji Abdul Rahman Limbong telah berjaya membangkit semangat pergerakan menentang kolonial yang menyeluruh.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen