Masjid Plumbum juga dikenali sebagai Masjid Buşatlı Mehmet Pasha merupakan sebuah masjid bersejarah di Shkodër, Albania barat laut. Ia terletak di atas sebuah tasik kecil dan tidak lagi digunakan. Masjid ini dikenali sebagai Masjid Plumbum kerana kesemua kupolanya ditutupi oleh plumbum.
Masjid ini telah dibina pada tahun 1773 oleh pasha Albania, Mehmed Bushati dari keluarga Bushati yang merupakan wazir dari Pashalik Scutari pada masa itu. Masjid ini dikatakan telah didirikan di atas tanah milik gereja Katolik.
Pembinaan
Masjid Plumbum mempunyai senibina Uthmaniyah tidak seperti masjid -masjid lain yang terdapat di Albania yang mempunyai senibina dari Arab. Ia menyerupai rekabentuk yang terdapat di Istanbul, Turkey di mana arkiteknya adalah Mimar Sinan pada kurun ke 16.
Masjid ini dibina menggunakan potongan batu yang hampir sama saiznya. Batu-batu ini dibawa oleh penduduk dari kampung Gur i Zi. Mereka beratur lebih dari satu kilometer untuk menghantarkan batu tersebut sehingga ke tapak pembinaan.
Mehmed Bushati secara peribadi terlibat dalam pembinaan masjid ini. Hampir setiap hari beliau akan turun dari kediamannya di Istana Rozafa untuk mengetahui perkembangan pembinaan masjid ini.
Imam pertama masjid ini adalah Haxhi Ahmet Misria yang berasal dari Mesir. Misria telah datang ke Albania setelah berkenalan dengan Mehmed Bushati. Iman-imam selepas Misria telah berkhidmat dan menjaga masjid ini.
Kerosakan
Pada tahun 1900-an, masjid ini mula rosak dan banyak plumbum yang menutupi kupola telah dicuri. Pada tahun 1916, plumbum yang tinggal telah dikeluarkan oleh tentera Austria semasa Austria menjajah Albania.
Pada tahun 1967, menara masjid yang telah dibina pada tahun 1920 oleh Xhelal Bushati dari keturunan Mehmed Bushati telah rosak disebabkan oleh kilat.
Pada tahun 1967, masjid ini telah ditutup, sama seperti institusi keagamaan yang lain, selepas pemimpin komunis Enver Hoxha mengisytiharkan Albania sebagai negara ateis. Tidak seperti kebanyakan masjid yang dimusnahkan pada masa itu, Masjid Plumbum terselamat kerana ia telah diiktiraf sebagai sebuah Monumen Budaya pada tahun 1948.
Pada 16 November 1990, Masjid Plumbum telah dibuka terlebih dahulu dari masjid-masjid yang lain di Albania setelah agama dibenarkan di negara tersebut. Setelah 23 tahun menjadi negara ateis, perhimpunan keagamaan pertama yang diadakan di masjid ini telah dilakukan oleh Hafiz Sabri Koçi.
Walaupun Masjid Plumbum tidak lagi digunakan pada masa kini, ia masih menjadi tarikan pelancong dan para peminat senibina.