malay_tribune_putera-800px
Sejarah

Kertas Putih Rangka Perlembagaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

30 Jun 1957 – Persetujuan secara sebulat suara telah dicapai untuk menerima Kertas Putih Rangka Perlembagaan bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang meliputi perlembagaan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada tahun 1957. Perkara-perkara penting berkaitan Kertas Putih ini telah dibincangkan terlebih dahulu dalam Perhimpunan Agong UMNO, sebelum ianya diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan London.

People-constitution-ready-The-malaya-tribune-10-sep

The Malay Tribune

Antara perkara-perkara yang terkandung dalam rangka Perlembagaan ini ialah berkenaan soal kerakyatan melalui pendaftaran oleh warga asing, bagi memastikan kesetiaan kepada tanahair. Antara lain juga DYMM Yang di-Pertuan Agong melalui perlembagaan ini diberi kuasa untuk mengisytiharkan darurat apabila wujudnya ancaman keselamatan di dalam negara.

Selain daripada itu juga perlembagaan ini juga memberi kuasa khas kepada Parliman untuk mengeluarkan undang-undang subversif. Berikutan daripada itu pada 2 Julai 1957, Kertas Putih yang mengandungi Rangka Perlembagaan bagi Kemerdekaan Tanah Melayu ini telah diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan di London.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tunku_abdul_rahman_rtm-800px
Sejarah

Tunku Dikurniakan Gelaran Bapa Kemerdekaan

29 Jun 1957 – Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah dianugerahkan dengan gelaran “Bapa Kemerdekaan” negara pada tahun 1957. Penganugerahan gelaran ini telah dipersetujui di dalam Persidangan Agong UMNO dan pengurniaan secara rasmi gelaran ini telah dilakukan pada malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

Tunku Abdul Rahman

Tunku Abdul Rahman

Pengurniaan gelaran ini merupakan satu penghargaan kepada Tunku Abdul Rahman ke atas jasa dan perjuangan beliau dalam membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajahan Inggeris. Tunku Abdul Rahman Putra, merupakan putera kepada DYMM Sultan Abdul Hamid merupakan seorang tokoh politik yang praktikal, kerana beliau merupakan pemimpin yang julung-julung kalinya berjaya memperjuangkan serta menyatupadukan penduduk yang berbilang bangsa untuk sama-sama mendapatkan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu.

Sesungguhnya, gelaran Bapa Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman merupakan anugerah yang amat bernilai sebagai mengenang segala sumbangan dan perjuangannya ke atas kemerdekaan tanah air.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
wang_malaysia-800px
Sejarah

Undang-Undang Mata Wang Diluluskan

24 Jun 1960 – Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Undang-undang Mata Wang 1960 setelah dibentangkan di Dewan Rakyat. Menurut rang undang-undang ini kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berhak melalui Menteri Kewangan menyampaikan permintaan kerajaan untuk keluar dari Lembaga Pesuruhjaya Wang yang dibentuk oleh kerajaan British seperti yang tercatat di dalam Perjanjian Wang Malaya-Borneo British 1950.

Rang Undang-undang yang diluluskan ini juga mengesahkan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak iaitu Perjanjian Malaya-Borneo British, 1960 dan berjalan kuatkuasannya pada 1hb Januari, 1961. Persekutuan Tanah Melayu telah diberi hak keistimewaan yang lebih di dalam Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baharu ini dalam mana ia diwakili oleh dua orang ahli, seorang daripadanya dimestikan menjadi Pengerusi Lembaga.

Bagi anggota-anggota lain iaitu kerajaan Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah diwakili oleh seorang ahli bagi tiap-tiap negeri. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melantik Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara mewakili Persekutuan Tanah Melayu. Menteri Kewangan adalah Pengerusi Lembaga. Kuasa-kuasa yang dipegang oleh Setiausaha bagi Tanah Jajahan British mengikut Perjanjian tahun 1950 telah dipindahkan kepada Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baru ini.

Lembaga ini dibenarkan memegang harta yang bernilai hingga setakat RM 300 juta. Kerajaan-kerajaan yang menjadi anggota juga diberi peluang menggunakan kumpulan wang ini bagi pebelanjaan pembangunan negara. Lembaga ini diberi kuasa memperniagakan wangnya dalam jaminan mata wang sterling yang kukuh dan diakui oleh badan-badan kewangan antarabangsa.

Menteri Kewangan, Encik Tan Siew Sin semasa mengemukakan Undang-undang Mata Wang 1960 di Dewan Rakyat menyatakan perjanjian ini adalah perintis jalan kepada Bank Negara untuk mengeluarkan sendiri matawang ringgit Tanah Melayu. Peraturan-peraturan baru ini adalah merupakan satu panduan kepada Bank Negara untuk mengkaji dan mengaturkan rancangan jangka panjang yang sesuai mengenal dasar mata wang Persekutuan Tanah Melayu untuk mengelakkan kebimbangan dan keraguan terhadap nilai matawang negara kita.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard