kuala_lumpur_night_800
Sejarah

Perisytiharan Bandaraya Kuala Lumpur

01 Februari 1972 – Kuala Lumpur merupakan petempatan pertama di Malaysia yang dikurniakan status Bandaraya sejak mencapai kemerdekaan. Perisytiharan Bandaraya Kuala Lumpur ini diadakan dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Parlimen.

kuala lumpur seal

DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan memberikan penganugerahan dalam upacara yang gilang gemilang dan bersejarah ini.

Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak telah menyampaikan Surat Perisytiharan tersebut bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kepada Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Ong Kee Hui.

Pada waktu yang sama, Pesuruhjaya Ibu Kota, Tan Sri Lokman Yusuf telah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang pertama.

Pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan dan statusnya sebagai ibu negeri Selangor diserahkan kepada Shah Alam pada tahun 1978.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tun_abdul_razak_1968-800px
Sejarah

Tun Abdul Razak Mengambil Alih Pucuk Pimpinan Umno

23 Januari 1971 – Dalam perhimpunan Agung UMNO Ke-22 pada tahun 1971, Tun Abdul Razak Bin Dato’ Hussein telah dilantik menjadi Presiden UMNO Malaysia manakala Tun Dr Ismail bin Abdul Rahman sebagai Timbalannya.

Dalam Perhimpunan Agung ini, Tun Abdul Razak telah mengumumkan strategi-strategi yang realistik untuk mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru untuk membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama. Beliau dan “generasi kedua” ahli politik Melayu melihat begitu perlunya penyelesaian perbezaan jurang ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh mangsa perkauman.

Semasa kepimpinan Tun Abdul Razak, melihat perubahan terhadap penyertaan Bumiputera di dalam sektor ekonomi secara lebih pesat khususnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), PERNAS dan lain-lain hasil dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan. Setiap pembangunan yang pesat ini adalah mendapat sokongan padu serta usaha oleh Tun Abdul Razak sendiri.

Tun_Abdul_Razak(1968)

Kerajaan juga akan meninggikan kadar pertumbuhan ekonomi dengan cara memperhebatkan lagi rancangan pembangunan pertanian dan perusahaan termasuk penyertaan kerajaan dalam rancangan-rancangan pembangunan ini. Beliau akan mewujudkan satu golongan pengusaha dan pedagang di kalangan orang-orang Melayu.

Beliau juga akan juga menyusun semula masyarakat Melayu di luar bandar yang semata-mata bergantung kepada pertanian tradisional dan mengubahnya menjadi masyarakat moden yang berlandaskan pertanian moden dan juga perusahaan dan perdagangan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tun_Abdul_Razak1968_fb
Sejarah

Tun Abdul Razak Meninggal Dunia

14 Januari 1976 – YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein telah kembali kerahmatullah di London pada 14 Januari 1976 jam 6.30 petang waktu Malaysia. Berita mengenai pemergian Allahyarham telah disampaikan oleh Pemangku Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn ke seluruh negara menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Allahyarham telah pergi ke London untuk menjalani rawatan akibat penyakit ‘acute leukemia’ yang dihidapi olehnya. Jenazah Allahyarham telah diterbangkan dengan penerbangan Khas Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan kemudianya di bawa ke kediamaan Allahyarham di Sri Taman, Kuala Lumpur sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Tun Abdul Razak Family

Penglibatan Tun Abdul Razak dalam arena politik bermula sejak menuntut di London lagi, dan bergiat aktif setelah memasuki UMNO dan dilantik sebagai Ketua Pemuda. Mulai tahun 1951 hingga 1970 Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Timbalan Yang di Pertua UMNO dan menganggotai jemaah kabinet sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1955.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham amat dirasai oleh seluruh masyarakat, di atas segala jasa bakti yang telah disumbangkan dalam pembangunan negara, Tun Abdul Razak telah diberi gelaran sebagai Bapa Pembangunan Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
royal-malaysia-air-force-800px
Sejarah

Rancangan Baharu Pengunduran Tentera Britain Dari Malaysia

08 Januari 1968 – Pada tahun 1968, Malaysia dan Britain telah mencapai persetujuan mengenai rancangan baru pengunduran tentera Britain dari kawasan ini. Kenyataan ini telah diberitahu oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dalam perundingannya dengan Setiausaha Komanwel, Tuan George Thomson.

George_Thomson_1966

Walaupun Tunku tidak menyebut rancangan-rancangan baru yang telah dipersetujui itu tapi adalah difahami bahawa pengunduran tentera Britain itu berkait rapat dari kemerosotan ekonomi yang dialami oleh Britain. Setiausaha Komanwel itu pula telah memberi jaminan bahawa Britain tidak berniat hendak membelakangkan Malaysia ataupun negara-negara Komanwel lain. Tetapi disebabkan Britain sedang berusaha memperbaiki ekonominya maka adalah rumit baginya untuk menempatkan tenteranya di luar negeri.

700_royal-malaysia-air-force

Perundingan

Walaupun Malaysia dan Britain telah membuat perjanjian keluar tentera Britain dari Malaysia pada 20 Mac 1965, tetapi sehingga hari ini pengunduran tentera Britain telah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Kemudiannya Tuan Thomson juga telah berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin dan Menteri Pelajaran, Encik Mohamed Khir Johari. Tun Abdul Razak telah memberitahu bahawa Malaysia memandang berat rancangan baru Britain itu kerana Malaysia mempunyai perjanjian Pertahanan dengan Britain iaitu pada 3 Oktober 1957.

Bagaimanapun, dengan pengunduran tentera British ini maka pada 10 Jun 1968, satu persidangan pertahanan lima negara yang terdiri dari Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain telah diadakan. Tujuan persidangan ini ialah untuk membincangkan pertahanan Malaysia dan Singapura bagi menghadapi sebarang pencerobohan dari luar setelah pengunduran tentera Britain di rantau ini.

Dengan persetujuan yang telah tercapai mengenai rancangan baru pengunduran Britain dari Malaysia pada hari ini dalam tahun 1968, keselamatan Malaysia tetap terjamin setelah bekerjasama dengan negara sahabat seperti Indonesia dan Thailand.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
najib_razak-800px
Sejarah

Dato’ Seri Mohd Najib Dilantik Sebagai Timbalan Perdana Menteri

07 Januari 2004 – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2004. Pengumuman mengenai pelantikan itu telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada satu sidang berita khas selepas mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Datuk Seri Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang dan merupakan anak sulong kepada Perdana Menteri, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein dan Tun Rahah binti Mohd Noah.

Penglibatan Dato’ Seri Mohd Najib dalam politik bermula apabila beliau diminta untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan berikutan kepulangan Allahyarham Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976. Beliau telah menang tanpa bertanding dalam pilihan Raya Kecil Parlimen Pekan pada 21 Febuari 1976, dan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos.

Pada 22 April 1982, Dato’ Seri Mohd. Najib bertanding dikawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan dan berjaya memenangi kerusi tersebut. Berikutan itu, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke 12.

Karier politiknya terus menyinar dan beliau telah menjawat pelbagai jawatan dalam kabinet termasuk sebagai Timbalan Menteri dan Menteri dan pada 3 April 2009, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Razak telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kelab_sultan_sulaiman-800px
Sejarah

Rapat Umum Pertama Penubuhan Malaysia Di Kuala Lumpur

06 Januari 1962 – Satu rapat umum yang pertama mengenai penubuhan Malaysia telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1962. Dalam rapat umum ini dianggarkan lebih daripada 5,000 orang telah membanjiri Padang Kelab Sultan Sulaiman untuk mendengar ucapan tokoh-tokoh daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak.

Diantara perwakilan yang menghadiri rapat umum itu ialah Tun Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu; Encik Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura; Encik Donald Stephens, Ketua Perwakilan Borneo Utara; Temenggung Jugah dan Reminguis Duuin, anggota perwakilan Sarawak dan Datuk Setia Pengiran Hj. Yusof bin Haji Abdul Rahim perwakilan dari Brunei.

Tun_Razak_color

Ucapan Tun Abdul Razak Mengenai Penubuhan Malaysia

Semasa berucap di rapat umum itu, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah mengecam parti-parti politik yang menentang pembentukan Malaysia sambil menyifatkan parti-parti politik itu menghalang usaha-usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan untuk faedah orang ramai. Menurut beliau lagi, dengan tertubuhnya Malaysia, akan mempercepatkan negara Singapura, Sarawak, Borneo Utara (sekarang Sabah) dan Brunei mencapai kemerdekaan.

Beliau juga telah menafikan dengan tegas dan keras anggapan bahawa rancangan Malaysia itu untuk menjajah negeri-negeri tersebut. Tambahan pula kerajaan Inggeris telah memberikan persetujuan supaya negeri-negeri di Borneo disatukan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Datuk Ong Yoke Lin pula iaitu Ketua Perwakilan Persekutuan Tanah Melayu ke sidang Jawatankuasa Perundingan itu yang juga Menteri Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat Persekutuan telah memberitahu rapat umum itu, bahawa adanya anasir-anasir komunis dan subversif di negeri-negeri yang masih terjajah. Malah anasir-anasir itu kini sedang giat menghalang perlaksanaan rancangan membentuk Malaysia itu.

Sesungguhnya rapat umum yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1962 di Kuala Lumpur telah membuktikan perpaduan dan sokongan orang ramai terhadap rancangan penubuhan Malaysia yang dikemukan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
banjir_jalan_raja_1971-800px
Sejarah

Darurat Banjir Kebangsaan Diisytiharkan Di Seluruh Negara

05 Januari 1971 – Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak Hussein telah mengisytiharkan Darurat Banjir Kebangsaan di seluruh negara pada tahun 1971. Pengisytiharan ini dibuat sebagai langkah mengawal keadaan banjir yang telah menenggelamkan hampir seluruh negara.

Banjir yang disifatkan yang terburuk ini telah mengakibatkan seramai 95,000 orang mangsa banjir yang dipindahkan. Jumlah mangsa banjir yang paling tinggi dipindahkan ialah di negeri Pahang iaitu seramai 40,000 orang, negeri Johor 17,000 orang dan di negeri Selangor seramai 14,000 orang.

banjir_jalan_melaka_1971

Tun Razak juga telah mengumumkan perlantikan dua buah jawatankuasa kabinet iaitu Jawatankuasa Bantuan dan Pemulihan Banjir yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan sebuah Jawatankuasa untuk menaksir kerosakan dan untuk mengkaji serta menyarankan langkah-langkah pemulihan ekonomi dan sosial.

Selain daripada itu sebagai langkah memantau keadaan banjir kerajaan telah menubuhkan Markas Darurat Banjir yang bertempat di Bangunan Banjir. Tun Abdul Razak juga telah mengambil perhatian dan daya usaha dengan melawat kesemua kawasan yang dilanda banjir serta mengarahkan bantuan makanan dan perubatan disalurkan dengan segera.

banjir_kuala_lumpur

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
rumah_persekutuan-800px
Sejarah

Pemindahan Radio Malaya Dari Singapura

04 Januari 1959 – Pada tahun 1959, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah melancarkan perkhidmatan siaran terus Radio Malaya dari stesennya di Rumah Persekutuan Kuala Lumpur. Dengan itu bermulalah siaran berasingan Radio Malaya, yang telah ditubuhkan sejak 1946, dan beroperasi di Singapura. Pada masa yang sama stesen di Singapura dikenali dengan Radio Singapura.

Dari Rumah Persekutuan ini rancangan-rancangan disiarkan dalam empat bahasa iaitu Melayu oleh Perkhidmatan Melayu, Inggeris (Perkhidmatan Inggeris), Cina (Perkhidmatan Cina), dan Tamil (Perkhidmatan Tamil), yang kemudiannya dikenali sebagai Rangkaian-rangkaian Nasional, Biru, Hijau dan Merah.

rumah_persekutuan_kuala_lumpur

Rumah Persekutuan Kuala Lumpur

Tujuan Pemindahan Radio Malaya

Dalam ucapannya, Tun Abdul Razak berkata, pemindahan radio Malaya itu perlu kerana kerajaan sedar tentang pentingnya perkhidmatan Malaya diperluaskan. Langkah tersebut juga adalah sejajar dengan rancangan masa hadapan perkhidmatan radio, yang telah siap diatur. Antaranya ialah untuk membuka dua buah stesen baru iaitu di Pulau Pinang dan Melaka. Manakala bagi pendengar di Pantai Timur pula, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, usaha sedang dibuat dengan kerjasama Jabatan Telekom bagi mendirikan alat pemancar gelombang sederhana di Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan.

Di peringkat permulaan, siaran berita masih terus disiarkan dari stesen di Singapura. Begitu juga dengan siaran ke sekolah-sekolah. Tun Abdul Razak mencadangkan supaya diadakan siaran berita daerah, khusus melaporkan peristiwa yang berlaku di sekitar semenanjung.

Pemindahan Radio Malaya dari Singapura, pada hari ini dalam tahun 1959, jelas mencatatkan sejarah baru dalam era perkembangan Radio Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tunku_abdul_rahman_rtm-800px
Sejarah

Tunku Abdul Rahman Meninggal Dunia

06 Disember 1990 – Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, 87 tahun telah kembali ke rahmatullah di Hospital Besar Kuala Lumpur, pada jam 10.25 malam 06 Disember 1990 kerana sakit tenat. Jenazah Almarhum telah di bawa ke Bangunan Parlimen daripada tempat kediamannya pada jam 7.40 pagi dan diletakkan di tempat khas di Dewan Bankuasi bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

Satu upacara penghormatan terakhir telah diadakan di stesen Tentera Udara Diraja Malaysia oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia, sebelum Jenazah Almarhum diterbangkan ke Alor Setar. Jenazah Almarhum disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar. Tunku Abdul Rahman diputerakan di Alor Setar pada 8 Februari 1903 dan merupakan putera ketujuh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan sebagai mengenangkan segala jasa dan pengorbanan beliau dalam mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.

makan_tunku_abdul_rahman

Beliau menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama dari tahun 1957 hingga 1963 dan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1963 hingga 1970. Pada 22 September 1970 beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Selepas bersara dari politik, Tunku dilantik menjadi Setiausaha Agong Persidangan Negara-Negara Islam yang pertama sehingga 1974.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kad_pengenalan-800px
Sejarah

Pengumuman Dasar Kad Pengenalan Baru Tanah Melayu

08 Jun 1958 – Pada tahun 1958, Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tun Abdul Razak Hussein telah mengumumkan mengenai pengeluaran kad pengenalan baru bagi penduduk Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman ini telah dibuat oleh beliau ketika mengulas usul yang dibawa dalam perhimpunan Agong UMNO di Kuala Lumpur yang mencadangkan agar kerajaan mengawal kemasukan orang-orang asing ke Tanah Melayu dengan mengetatkan peraturan yang sedia ada.

Tun Abdul Razak juga telah menjelaskan bahawa dua jenis kad pengenalan yang diperkenalkan iaitu Kad Pengenalan Khas untuk warganegara Persekutuan Tanah Melayu dan Kad Pengenalan Khas untuk warga asing. Berikutan daripada itu juga kerajaan telah menerima dan akan melaksanakan cadangan–cadangan untuk memperbaiki undang-undang berkaitan kemasukan warga asing ke Persekutuan Tanah Melayu.

Berikutan daripada itu sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Tun Abdul Razak juga telah ditubuhkan untuk mengkaji hal berkaitan serta memberi perhatian kepada kedudukan Jabatan Imigresen bagi memelihara kepentingan rakyat negara ini sebagai rakyat di Tanahair yang bebas dan merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard