man-800px
Sejarah

Gerakan Menangkap Dato’ Bahaman Dihentikan

17 Jun 1895 – Pada tahun 1895, tentera Inggeris yang diketuai oleh Sir Hugh Clifford akhirnya mengaku kalah dan menghentikan gerakan menangkap Dato’ Bahaman dan pahlawan Pahang yang lain. Gerakan yang telah dilakukan selama 3 bulan itu bermula dari negeri Pahang hingga ke Terengganu dan seterusnya ke Kelantan.

Sebanyak RM 7,393.83 telah digunakan oleh pihak Inggeris untuk membiayai gerakan ini. Kegagalan Clifford dan tentera Inggeris jelas menunjukkan kepahlawanan Datuk Bahaman dan orang-orangnya.

dato_bahaman-1

Dato’ Bahaman yang telah dilucutkan gelaran Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan pada 18 Oktober 1891, dalam Mesyuarat Negeri yang keempat oleh Sultan Ahmad telah membawa kepada permulaan penentangan terbuka terhadap sistem pemerintahan Inggeris.

Antara faktor yang menggagalkan rancangan Inggeris itu ialah kekuatan fizikal dan ilmu kebatinan mereka di samping kerjasama yang diberikan oleh penduduk tempatan kepada mereka.

Sesungguhnya, semangat perjuangan pejuang-pejuang Melayu ini dalam mempertahankan kedaulatan tanah air terus utuh hingga membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mat_kilau-800px
Sejarah

Mat Kilau Menyerang Kuala Tembeling

14 Jun 1894 – Pada tahun 1894, Mat Kilau Pahlawan Melayu Pahang yang tersohor yang juga anak kepada pahlawan Tok Gajah, telah menyerang pasukan tentera Inggeris di Kuala Tembeling.

Serangan ini mendapat sokongan senjata dan tenaga daripada Terengganu dan Kelantan. Mat Kilau Menyerang Kuala Tembeling kerana tidak mahu menyerah diri kepada pihak Inggeris.

mat-kilau

Mat Kilau

Pada bulan Oktober 1892, Pentadbiran Inggeris di Pahang telah membuat pengumuman pengampunan beramai-ramai kepada pahlawan-pahlawan Melayu Pahang yang menentang Pentadbiran Inggeris.

Serangan di Kuala Tembeling ini merupakan antara beberapa siri penentangan yang dilancarkan oleh Mat Kilau untuk menghapuskan penjajahan Inggeris. Mat Kilau dan pasukannya telah memperolehi kejayaan dalam serangan di Kuala Tembeling ini.

Semangat perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu tulin ini telah membuahkan hasil dengan kejayaan penduduk Tanah Melayu membebaskan diri daripada belenggu penjajahan dengan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard