pustaka_p_ramlee-800px
Sejarah

Perasmian Pustaka Peringatan P. Ramlee

22 Mac 1986 – Pustaka Peringatan P. Ramlee yang terletak di No 22, Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Dr. Sulaiman Daud. Pustaka ini yang ditadbir oleh Arkib Negara Malaysia ditubuhkan dengan tujuan untuk memperingati sumbangan dan jasa Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee terhadap dunia seni tanah air serta menggalakkan kajian dan penyelidikan dalam aspek seni dan budaya negara.

Bangunan Pustaka ini pada asalnya adalah bekas rumah kediaman beliau dan telah diubah suai dan dijadikan pustaka yang mempamerkan bahan-bahan dan maklumat mengenai Tan Sri P. Ramlee yang sememangnya sinonim dengan perkembangan seni muzik dan perfileman tanah air dalam era 50an.

Bahan-bahan yang dipamerkan termasuk surat menyurat, dokumen, buku, filem, piring hitam, pita rakaman, Anugerah Kebesaran serta hadiah-hadiah yang diterima Allahyarham sepanjang pembabitannya dalam dunia seni. Selain dari itu, terdapat juga baju-baju milik Tan Sri P.Ramlee dan biduanita Saloma dipamerkan.

Penubuhan Pustaka Peringatan P. Ramlee ini bukan sahaja sebagai penghargaan paling tinggi terhadap jasa dan bakti Allahyarham dalam perkembangan dunia seni tetapi juga akan dapat meningkatkan martabat seni tanah air.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Perasmian Jambatan Gantung Terpanjang Di Dunia

18 Mac 1997 – Pada tahun 1997, YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad merasmikan jambatan gantung terpanjang di dunia yang terletak di Taman Negara, Jerantut, Pahang. Jambatan gantung bernilai RM200,000 itu dibina oleh kakitangan jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan bermula pada tahun 1992.

jambatan_gantung

Kabel besi yang digunakan oleh jambatan gantung itu adalah seberat 10 tan dan mampu menanggung bebanan seberat lima tan. Jambatan gantung itu mempunyai sembilan hentian yang setiap satunya terletak di pokok tualang, kelat, kerangi, keruing, mempelas dan mersawa. Jambatan gantung setinggi 40 dan dan 60 meter dari paras tanah itu dibuka kepada orang ramai pada setiap hari dengan bayaran sebanyak RM5 seorang.

Taman Negara yang merupakan hutan tropika tertua di dunia sekali lagi mencatatkan sejarah dengan adanya jambatan ini. Sesungguhnya dengan perasmian jambatan berkenaan, bermakna Taman Negara memiliki satu lagi tarikan pelancong selain hutan simpannya yang berusia 130 juta tahun.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Bangunan_Parlimen-800px
Sejarah

Perasmian Bangunan Parlimen

2 November 1963 – Pada tahun 1963, Bangunan Parlimen Malaysia dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail. Bangunan yang terletak di atas bukit di penjuru timur laut Taman Bunga Kuala Lumpur ini menelan belanja sebanyak $16 juta.

Kerja-kerja pembinaan bangunan ini telah dimulakan pada bulan September 1960 dan direka bentuk oleh Shiplay, arkitek Jabatan Kerja Raya. Perletakan batu asas bangunan ini telah dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 31 Ogos 1962.

Dewan_rakyat

Dewan Negara

Kompleks bangunan Parlimen ini mengandungi dua bahagian yang terbesar, iaitu bangunan utama setinggi tiga tingkat dan sebuah bangunan menara setinggi 18 tingkat. Bangunan utama ini dilengkapi dengan pejabat para Menteri, ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Dewan Jamuan, perpustakaan, surau, bilik akhbar dan kantin.

Dewan_negara

Dewan Rakyat

Keistimewaan bangunan Parlimen ini adalah keseluruhan kompleks bangunan ditutupi dengan kaca yang menyerap haba dan meresap cahaya; seluruh bangunan ini ditutup dengan kerawang berukir yang diperbuat daripada batu konkrit buatan tempatan bagi mengawal sinaran matahari dan loji pendingin hawa bangunan ini adalah yang terbesar di Asia Tenggara, meliputi kawasan seluas sembilan ekar.

Pembukaan rasmi bangunan Parlimen ini merupakan detik bersejarah bagi seluruh rakyat kerana ia melambangkan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Peletakan Batu Asas Kampus Institut Teknologi Mara

14 Oktober 1967 – Pada tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah meletakkan batu asas pembinaan kampus Institut Teknologi Mara (ITM). Pembinaan kampus ini diperlukan kerana negara mengalami kekurangan pekerja terlatih di tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan meluluskan sebidang tanah seluas 300 ekar di Shah Alam untuk dijadikan tapak bagi Maktab Mara.

Sejarah ITM bermula pada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA, sebuah pusat percubaan yang menyediakan kursus persediaan bagi belia luar bandar. Dewan Latihan RIDA ini diilhamkan oleh Datuk Onn bin Jaafar, ekoran lawatan beliau ke Ceylon pada tahun 1950 untuk mengkaji program pembangunan luar bandar di negara tersebut. Hasil dari lawatan itu, kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau RIDA (The Rural and Industrial Development Authority).

UiTMlogo

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Pada tahun 1956, RIDA menubuhkan Unit Latihan diketuai oleh Tuan Syed Alwi bin Syed Sheikh Alhadi. Dibawah unit ini lahir Taman Asuhan RIDA dan Dewan Latihan RIDA. Pada Jun 1965, Dewan Latihan RIDA ditukar nama kepada Maktab MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan pada 14 Oktober 1967, Maktab Mara secara rasmi ditukar kepada Institut Teknologi MARA.

Pada 26 Ogos 1999, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pertukaran nama ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Penanaman Pokok-Pokok Getah Hevea Brasiliensis Yang Pertama Di Tanah Melayu

03 Oktober 1877 – Pada tahun 1877, pokok-pokok getah Hevea Brasiliensis yang pertama di Tanah Melayu telah ditanam di Kuala Kangsar, Perak oleh H.J. Murton, Penguasa Botanical Gardens, Singapura. Sebanyak 9 biji benih getah Hevea Brasiliensis telah ditanam di halaman rumah Residen British Perak, Sir Hugh Low. Bermula dari itu, penanaman pokok getah terus berkembang dan sehingga kini dianggarkan tanaman getah negara meliputi kawasan seluas 1.7 juta hektar.

Hevea_brasiliensis

Hevea Brasiliensis

Bekalan yang pertama sebanyak 50 biji benih pokok dari Sri Lanka telah dihantar ke Singapura tetapi disebabkan oleh kelambatan di dermaga, usaha ini telah menemui kegagalan. Bekalan kedua sebanyak 22 biji getah telah dihantar dari Taman Kew, England ke Singapura dalam tahun 1877. Sebahagian daripadanya telah ditanam di Botanical Garden Singapura, manakala selebihnya ditanam di Kuala Kangsar.

Pokok Getah

Pokok Getah

Kini, selepas lebih seabad masa berlalu, pokok getah yang dahulunya dianggap tidak menarik, kini telah menjadi bahan ekonomi yang penting di Malaysia. Dengan wujudnya Lembaga Getah Malaysia, tanaman getah berupaya melonjakkan ekonomi negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard