tengku_kudin-800px
Sejarah

Perlantikan Semula Tengku Kudin Sebagai Wakil Yamtuan Negeri Selangor

22 Julai 1871 – Pada tahun 1871, satu rundingan telah diadakan di antara Sultan Abdul Samad, J.W.W. Birch, Setiausaha Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Tengku Kudin di Istana Jugra, Selangor.

Rundingan ini diadakan bagi mengesahkan semula perlantikan Tengku Kudin sebagai wakil Yamtuan bagi mentadbirkan segala hal ehwal seluruh negeri Selangor yang telah dibuat oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1868.

Perlantikan sebelum ini yang telah menyebabkan berlakunya peperangan di Selangor dan membawa kepada campur tangan Inggeris.

Dalam rundingan ini juga Sultan Abdul Samad telah menyerahkan surat kuasa perlantikan tersebut kepada Tengku Kudin dan disaksikan oleh J.W.W. Birch dan C.J. Irving.

Dengan perlantikan ini, J.W.W. Birch telah memberi pengakuan bahawa pihak Inggeris akan memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada Tengku Kudin untuk mengamankan negeri Selangor.

Hasil dari rundingan dan perlantikan ini telah memberikan kuasa kepada Tengku Kudin memerintah daerah-daerah pantai Selangor iaitu dari Kuala Selangor hingga ke Jugra dan Kuala Lumpur serta sekitarnya. Pada tahun 1878 Tengku Kudin telah berhenti dari jawatan ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
durbar_pertama-800px
Sejarah

Sidang Raja-Raja Melayu (DURBAR) Yang Pertama

13 Julai 1897 – Pada tahun 1897, Sidang Raja-raja Melayu (Durbar) yang pertama, telah diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar. Hadir di dalam Sidang Durbar ini ialah DYMM Sultan Perak, Sultan Idris; Sultan Pahang, Sultan Ahmad; Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad dan Yam Tuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad. Baginda Raja-raja Melayu telah diiringi oleh Orang-orang Besar.

Hadir bagi pihak Kerajaan British pula ialah Sir Charles Mitchell, Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Hugh Clifford, Residen Pahang; J.P. Rodger, Residen Selangor dan W.H. Treacher, Residen Negeri Perak.

Sidang Durbar ini merupakan persidangan Raja-raja Melayu yang pertama diadakan di mana Sultan-sultan, dan Pembesar-pembesar Melayu dapat bertemu dalam satu perjumpaan yang besar. Bagaimanapun ia juga merupakan persidangan Raja-raja Melayu dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu sahaja.

Tujuan utama Sidang Durbar ialah untuk memperlihatkan kepada Raja-raja Melayu tentang keadaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan bertukar-tukar fikiran mengenai negeri masing-masing.

Dalam persidangan ini perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan lain-lain masalah yang tertentu mengenai kepentingan Orang-orang Melayu telah dibincangkan.

Hasil daripada persidangan seperti ini, seperti yang dinyatakan oleh Residen General, Sir Frank Swettenham, ia telah mendekatkan lagi realiti Negeri-Negeri Melayu Bersekutu kepada orang-orang Melayu di keempat-empat buah negeri itu – Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan dan menyedarkan mereka untuk bersatu dalam hal-hal yang bersangkut-paut dengan hal-hal kepentingan bersama dan mengeratkan hubungan peribadi.

Selain daripada itu, ia tidak menghasilkan sebarang kepentingan pentadbiran kerana tidak ada apa yang boleh diputuskan dalam persidangan itu oleh kerana Raja-raja itu tidak dibenarkan bersuara selain daripada hal-hal yang berkaitan dengan negeri masing-masing. la semata-mata merupakan sebuah badan penasihat.

Bagaimanapun persidangan ini telah membuka jalan kepada Raja-raja Melayu untuk mengenali sistem pentadbiran penjajah British dan dengan itu dapat memberi teguran-teguran yang bernas seperti yang pernah disuarakan oleh Sultan Idris Perak dalam Durbar Kedua yang berlangsung pada 20 hingga 23 Julai 1903.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tengku_kudin_face-800px
Sejarah

Sultan Abdul Samad Menyerahkan Kuasa Kepada Tengku Kudin

26 Jun 1868 – Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor yang keempat yang bersemayam di Kuala Langat telah memberikan kuasa mentadbir dan memajukan negeri Selangor kepada menantunya Tengku Kudin. Pemberian kuasa tersebut terkandung dalam surat kuasa yang diberikan oleh Sultan Abdul Samad. Surat kuasa itu antara lain menyebut bahawa seluruh negeri Selangor dan jajahan takluknya diberi kuasa kepada Tengku Kudin untuk mentadbirkannya. Malahan Sultan Abdul Samad juga dalam surat kuasanya menyeru anak-anak Raja termasuk putera-puteranya serta orang-orang Besar Selangor supaya memberi kerjasama kepada Tengku Kudin yang dilantik sebagai Wakil Yamtuan itu.

Sultan Abdul Samad of Selangor

Sultan Abdul Samad

Dengan pemberian kuasa ini Tengku Kudin mempunyai kuasa untuk mentadbir Selangor yang dilanda kekacauan pada masa itu. Malah Tengku Kudin juga memain peranan penting mengheret pembabitan Inggeris dalam pergolakkan politik dan Perang Saudara di Selangor. Sultan Abdul Samad juga mengurniakan kawasan Langat kepada Tengku Kudin untuk membolehkan beliau mendapat sumber-sumber penghasilan untuk membiayai urusan pentadbiran Selangor.

Pemberian kuasa mentadbir serta penganugerahan kawasan Langat kepada Tengku Kudin ini telah tidak disenangi oleh putera-putera Sultan Abdul Samad seperti Raja Musa, Raja Kahar, Raja Yaakob dan juga para pembesar Langat kerana Tengku Kudin yang berasal dari Kedah dan menjadi menantu Sultan Abdul Samad itu disifatkan sebagai orang luar yang tidak sepatutnya mencampuri urusan pentadbiran Selangor.

Pemberian kuasa mentadbir Selangor kepada Tengku Kudin oleh Sultan Abdul Samad pada hari ini dalam tahun 1868 itu bukanlah dapat meredakan keadaan sebaliknya meruncingkan lagi pergolakkan politik di Selangor akibat perang saudara yang akhirnya membawa kepada campur tangan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_abdul_samad_selangor-800px
Sejarah

Syed Masahor Menjadi Penghulu Ulu Kerling

23 Jun 1883 – Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah mengutus surat kepada Frank Swettenham, Residen Inggeris di Selangor memperkenankan supaya ditawarkan pekerjaan dan elaun kepada Syed Masahor untuk berkhidmat di Negeri Selangor. Hasil dari permintaan Baginda Sultan, Syed Masahor telah ditawarkan dan dilantik menjadi Penghulu Ulu Kerling pada 01 Disember 1883.

Syed Masahor bin Syed Muhammad Ash-Sahab adalah berketurunan Arab, berasal dari Pontianak (Kalimantan Barat (West Borneo) dan telah lama diam di Langat. Pada masa permulaan Perang Kelang (1867-1873), beliau berada di Negeri Perlis untuk melawat keluarganya. Syed Masahor yang memang terkenal sebagai seorang pahlawan dan berpengalaman di dalam selok-belok peperangan telah dijemput oleh Sultan Abdul Samad untuk menjadi ketua menjaga pertahanan Kuala Selangor yang di bawah jagaan Raja Musa.

sultan_abdul_samad_selangor

Syed Masahor Menyertai Raja Mahadi

Syed Masahor telah ditugaskan oleh Baginda Sultan mengambil semula daerah Kuala Selangor yang telah jatuh ke tangan Raja Mahadi. Syed Masahor pada mulanya telah menerima permintaan Sultan Selangor itu dan mengepalai satu pasukan tentera untuk menyerang Kuala Selangor tetapi berita kematian saudaranya, Syed Abdullah di Langat menyebabkan beliau berpaling tadah lalu menyebelahi Raja Mahadi.

Syed Masahor mengesyaki dan menuduh Sultan Abdul Samad dan anakanda baginda, Raja Yaakob yang mengakibatkan kematian saudaranya itu.

Syed Masahor kemudiannya telah memainkan peranan penting dan menjadi Panglima Perang Pasukan Raja Mahadi dalam Perang Kelang atau dikenali Juga dengan Perang Saudara (1867-1873).

Peranannya di dalam peperangan ini bermula Julai 1870 (apabila pasukan beliau bersama-sama dengan Chong. Chong dan pasukannya menyerang orang-orang Mandaling dan Fel Chow di Sungai Ampang dan Kelang di antara bulan Ogos dan September 1870 hinggalah tamat peperangan.

Perang Kelang adalah di antara Raja Mahadi, Raja Mahmud dan Syed Masahor yang disokong oleh pelombong-pelombong bijih timah dari puak Ghee Hin dengan Tengku Kudin (wakil Yamtuan) dan Yap Ah Loy yang disokong oleh pasukan dari Pahang dan pelombong-pelombong bijih timah dari puak Hai San.

Tengku Kudin (duduk)

Tengku Kudin (duduk)

Syed Masahor, di dalam usahanya membantu Raja Mahadi telah berjaya mengumpulkan 2,000 orang pengikut di Ulu Selangor, dan dalam pertengahan bulan Jun 1871 beliau bersama-sama dengan Chong-Chong, Ketua puak Ghee Hin cuba menyerang Kuala Lumpur tetapi telah dihalang di Rawang oleh angkatan Tengku Kudin dan penyokongnya Yap Ah Loy, Ketua puak Hai San dan menyebabkan Syed Masahor berundur semula ke Ulu Selangor. Tengku Kudin dan Yap Ah Loy telah berjaya menawan Kuala Lumpur dalam bulan Ogos, 1871.

Dalam bulan November, 1971, Syed Masahor bersama-sama dengan 250 orang penyokongnya dan sepasukan orang-orang Rawa telah mengepung kubu Tengku Kudin (yang dikawal oleh Wan Aman dari Pahang dan orang-orangnya) dan menyekat bekalan makanan dan senjata yang dibawa masuk ke Kuala Lumpur.

Pada bulan Mac 1872, Syed Masahor sekali lagi menyerang Kuala Lumpur dan kali ini dengan bantuan Raja Mahmud dan Raja Mahadi beliau berjaya menawan Kuala Lumpur dari Tengku Kudin dan Yap Ah Loy. Di dalam serangan itu juga Syed Masahor berjaya membunuh Van Hagen, Komandan ‘Sepoy’ upahan Tengku Kudin.

Hai San

Selepas menawan Kuala Lumpur Syed Masahor menuju ke Kuala,Selangor dan berjaya menawan Kuala Selangor dalam bulan Ogos 1872 juga dari Tengku Kudin. Kuala Lumpur berada di dalam kekuasaan Syed Masahor dan Raja Mahadi sehingga akhlr bulan Mac 1873.

Pada bulan Mac 1873, Raja Mahadi, Syed Masahor dan Raja Mahmud telah menerima tentangan hebat dari Tengku Kudin dengan bantuan tentera dari Negeri Pahang yang dipimpin oleh Imam Perang Rasu (Tok’ Raja) dan Orang Chenor.

Akibat dari tentangan ini Syed Masahor terpaksa berundur dari Kuala Lumpur ke Ulu Selangor dan akhirnya melarikan diri ke Negeri Perak. Raja Mahadi dan Raja Mahmud pula berjaya melarikan diri ke Sungai Ujong. Mulai saat itu Tengku Kudin berjaya mengukuhkan kedudukannya di Negeri Selangor hingga berakhirnya Perang Kelang.

Selepas Perang Kelang Syed Masahor dianggap musuh oleh sebilangan pegawai-pegawai Inggeris dan Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad. Semasa di Perak Syed Masahor pada mulanya telah memihak kepada Sultan Abdullah dalam pakatan untuk membunuh Birch tetapi kemudiannya keluar dari pakatan itu sejurus sebelum berlakunya pembunuhan itu. Ini diakui sendiri oleh Birch sejurus sebelum kematiannya. Beliau terus membantu Inggeris untuk mengembalikan ketenteraman di Perak.

Syed Masahor Kembali Ke Selangor

Syed Masahor juga, kemudiannya berjaya berhubung semula dengan Baginda Sultan Selangor dan menyakinkan kepercayaan Baginda Sultan terhadapnya. Beliau menyatakan kesusahan yang dialaminya kepada Baginda Sultan.

Akhirnya pada 23 Jun 1883 Sultan Abdul Samad telah mengirim surat kepada Frank Swettenham supaya menawarkan pekerjaan dan elaun kepada Syed Masahor dan berkhidmat di Negeri Selangor. Hasilnya Syed Masahor telah dilantik menjadi Penghulu Ulu Kerling pada 12 Disember 1883.

Syed Masahor telah menunjukkan kebolehannya semasa berkhidmat sebagai Penghulu Ulu Kerling. Dalam masa yang singkat beliau berjaya membangunkan Ulu Kerling melalui pembukaan lombong dengan menggunakan pelombong-pelombong Cina serta juga pembukaan tanah-tanah baru.

Semasa meletusnya penentangan terhadap Inggeris di Pahang (Pemberontakan Pahang 1891-1895) yang diketuai oleh Dato’ Bahaman, Syed Masahor telah turut membantu Inggeris untuk menghapuskan penentangan itu. Syed Masahor bersara sebagai Penghulu Ulu Kerling pada 01 Februari 1899.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard