asean_para_sport_federation-800px
Sejarah

Perasmian Sukan Para Asean Yang Pertama

26 Oktober 2001 – Pada hari ini dalam tahun 2001, Temasya sukan Para Asean yang pertama telah dibuka dengan rasminya oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dalam suasana gilang gemilang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Turut berangkat di majlis perasmian tersebut ialah Permaisuri Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama ialah Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Fauzi Abdul Rahman serta Presiden Persekutuan Sukan Para Asean (APSF), Lt. Jeneral Pisarn Wattanawongkeeree.

asean_para_games

Temasya pertama kali diperkenalkan di peringkat Asia Tenggara ini, dilangsungkan selepas menyaksikan kejayaan Sukan SEA XXI Kuala Lumpur yang berjaya di adakan pada bulan September 2001. Obor kejohanan dibawa masuk oleh empat atlet yang terdiri daripada Ahmad Amil Usin, Mohd. Hisham Khairani, V. Jayan Subramaniam dan Ibrahim Majid.

Dalam temasya ini Kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan Para ASEAN Pertama apabila berjaya memperolehi 143 pingat emas, 136 perak dan 92 gangsa secara. Kejohanan Sukan Para ASEAN, yang diadakan pada kali ini, berjaya meningkatkan mutu dan prestasi sukan orang-orang kurang upaya serta mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
misbun-800px
Sejarah

Misbun Pemain Badminton Bertaraf Profesional Yang Pertama Dari Asia Tenggara

7 Oktober 1983 – Pada tahun 1983, Mohamed Misbun bin Sidek mencatat sejarah menjadi pemain badminton bertaraf profesional yang pertama dari Asia Tenggara apabila memeterai kontrak selama tiga tahun dengan ‘International Management Group’ (IMG) di Kuala Lumpur.

Misbun merupakan pemain badminton negara pertama mencapai taraf antarabangsa ketika berusia 24 tahun dan pemilihan adalah berdasarkan kebolehan beliau dan keinginan untuk menjadi pemain badminton utama di dunia.

misbun

Perjanjian dibuat dengan Pengurus IMG, Roddy Carr, disaksikan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia Encik Mohd Khir Johari. Mula menyinar apabila muncul sebagai johan perseorangan badminton daerah Banting pada tahun 1976. Pada tahun 1976 sehingga 1979, Misbun menjuarai perseorangan Lelaki Bawah Umur 18 tahun Kebangsaan dan dipilih menyertai skuad Piala Thomas serta menyertai Kejohanan All England.

Pada tahun 1981 beliau berjaya menjuarai Perseorangan Terbuka Jerman, Juara perseorangan Kebangsaan Malaysia, memperolehi Pingat Emas Perseorangan Sukan SEA dan di pilih Olahragawan Kebangsaan. Pada tahun-tahun berikutnya, diantara kejayaan beliau ialah menjuarai Perseorangan Terbuka Sweden, Kanada, juara perseorangan Kebangsaan, Naib Juara perseorangan Piala Dunia, menjuarai perseorangan Piala Konica dan Terbuka Chinese Taipei.

Pada tahun 1990, beliau dilantik menjadi jurulatih negara dan berjaya mendidik pemain-pemain pelapis sehingga menjadi pemain yang digeruni lawan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
rabuan_pit-800px
Sejarah

Malaysia Pemenang Pertama Piala Suharto

28 September 1980 – Pada tahun 1980, usaha gigih pelbagai pihak yang terlibat di dalam bidang olahraga Malaysia telah memenangi Piala Suharto yang diadakan buat pertama kali di Jakarta, Indonesia.

Piala Suharto ini telah disampaikan oleh Menteri Penyelaras Pertahanan dan Keselamatan Indonesia Jeneral Moradean Panggabean di Stadium Senayan, Jakarta.

Piala Suharto yang dimenangi oleh Malaysia dihadiahkan oleh Suharto, lengkap dengan tandatangannya di atas piala tersebut, ianya bersalut emas 22 karat bersimbolkan ASEAN.

Kejohanan Piala Suharto ini, yang pertama kali diadakan merupakan kejohanan olahraga di kalangan anggota-anggota ASEAN. Ianya tidak memberi pingat tetapi mereka diberi mata berdasarkan acara-acara yang dimenangi.

Antara atlet yang membawa kejayaan kepada Malaysia di kejohanan pada kali ini ialah Rabuan Pit dalam acara 200, 400 dan 4 x 100 meter, V. Angamah dalam acara 1500 meter dan M. Raju dalam acara 5000 meter.

Kejayaan itu pada hari ini dalam tahun 1980, membuktikan semangat kesukanan yang tinggi di kalangan atlit negara dan sentiasa berusaha untuk mencipta nama di peringkat ASEAN.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka_stadium
Sejarah

Kerja-Kerja Pembinaan Stadium Merdeka Dimulakan

25 September 1956 – Kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka telah dimulakan pada tahun 1956. Pembinaan stadium ini dilakukan atas desakan Persatuan Bola Sepak Selangor dan Persatuan Bola Sepak Malaya selepas Perang Dunia Kedua kerana stadium yang terdapat di Jalan Ampang tidak dapat digunakan lagi.

Pada 15 September 1955, Jawatankuasa Perancangan Pembinaan Stadium diwujudkan bagi mengkaji pelan dan kos pembinaannya. Sebanyak 160 pelan cadangan dikemukakan kepada kerajaan dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah $ 2.3 juta. Tetuan K.C Boon Co. Ltd dan Tetuan Lim Quee and Sons telah dilantik sebagai kontraktor utama serta pengendaliannya dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya Tanah Melayu.

Stadium Merdeka

Pada 15 Februari 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan batu asas stadium ini. Pembinaan stadium ini dipercepatkan bagi membolehkan acara sambutan kemerdekaan Tanah Melayu dapat dilakukan pada 31 Ogos 1957.

Pada 21 Ogos 1957, pembinaan Stadium Merdeka selesai dilakukan dan pengendaliannya diserahkan kepada Lembaga Penguasa (Board of Control). Stadium Merdeka telah dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada 24 hingga 29 Ogos 1957.

Upacara perasmian stadium ini telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 30 Ogos 1957. Pembinaan Stadium Merdeka pada hari ini dalam tahun 1957 menjadi lambang kemegahan negara kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi bagi acara-acara sukan tetapi juga menjadi lokasi bagi acara-acara penting negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard