charles_vyner_brooke-800px
Sejarah

Pengumuman Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan Inggeris

06 Februari 1946 – Pada 06 Februari 1946, Raja Putih Sarawak yang ketiga, Vyner Brooke telah mengumumkan penyerahan Sarawak kepada kerajaan Inggeris di London. Pada 8 Februari 1946 pengumuman tersebut telah diterbitkan oleh The Sarawak Tribune.

Raja Brooke menyatakan bahawa beliau yakin bahawa kerajaan British dapat membawa kebaikan dan pembangunan kepada Sarawak. Dalam surat pengisytiharan itu, turut dinyatakan bahawa kerajaan British menjamin akan memberi kebebasan kepada penduduk Sarawak.

Vyner Brooke telah menghantar setiausaha sulitnya, Gerald MacBryan untuk melihat reaksi mendapatkan persetujuan Ketua-ketua Melayu di Sarawak antaranya Datu Pahlawan Abang Haji Mustapha, Datu Amar Abang Sulaiman, Datu Hakim Abang Haji Mohidin, Datu Menteri Encik Zain dan Datu Patinggi Abang Haji Abdillah untuk menandatangani dokuman penyerahan Sarawak kepada Kerajaan Inggeris. Gerald MacBryan juga cuba memujuk Ong Tiang Swee dan pemimpin utama pertubuhan-pertubuhan Cina. Walau bagaimanapun penyerahan tersebut telah mendapat bantahan yang hebat daripada sebilangan besar penduduk Sarawak.

Sarawak-vyner

Vyner Brooke

Pembentangan Rang Undang-Undang Penyerahan

Ekoran bantahan tersebut, Charles Vyner Brooke telah merujuk kepada Majlis Negeri yang kemudiannya bersidang selama tiga hari dengan keputusan 18 menyokong dan 16 menentang. Seterusnya, Rang Undang-Undang Penyerahan dibentangkan pula dalam Majlis Tertinggi pada 20 Mei 1946 dengan keputusannya enam orang menyokong dan dua orang menentang.

Pada 1 Julai 1946, Sarawak telah diisytiharkan sebagai tanah Jajahan Mahkota British. Manakala, di Sabah, British telah menandatangani perjanjian dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBUB) pada 26 Jun 1946. Pada 15 Julai 1946, Borneo Utara secara rasminya diisytiharkan menjadi tanah jajahan British.

Penentangan Dan Bantahan

Penyerahan Sarawak oleh Vyner Brooke kepada British tidaklah berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Keputusan penyerahan Sarawak kepada British telah menimbulkan bantahan dan keadaan huru-hara dalam politik Sarawak.

Penentangan dan bantahan terus berlaku terutamanya daripada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Kuching. PKMS diketuai oleh Datu Patinggi Abang Abdillah. Protes dan tunjuk perasaan terus diadakan kerana mereka menganggap tindakan tersebut telah melanggar Perlembagaan Sarawak tahun 1941 (Nine Cardinal Principles) yang menjanjikan pemberian kerajaan sendiri kepada Sarawak.

Kemunculan Gerakan Radikal

Penentangan penduduk Sarawak semakin hebat dan radikal dengan penubuhan kumpulan Tiga Belas. Ia ditubuhkan hasil daripada mesyuarat rahsia 13 orang anggota Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) yang diketuai oleh Awang Rambli dan Abang Han di Jalan Cross, Sibu pada pertengahan tahun 1948. Rukun Tiga Belas dianggotai oleh Awang Rambli, Abang Han, Rosli Dhoby, Abang Ahmad, Morni Junit, Awang Osman, Jack Yusof, Osman Dollah, Abang Mat Sirat, Che Alias Osman, Amin Jenal, Wan Zin dan Tambek Adun. Kumpulan ini merancang untuk membunuh pegawai British dan Datu-Datu yang bekerjasama serta menyokong British.

Kemuncak gerakan penentang ini adalah pada 03 Disember 1949, Rosli Dhoby yang berlagak sebagai seorang murid sekolah, telah menikam Gabenor dengan sebilah pisau. Tikaman tersebut menyebabkan Gabenor Sir Duncan Stewart cedera parah dan terpaksa diterbangkan ke Singapura untuk rawatan segera. Malangnya Gabenor Sir Duncan Stewart telah meninggal dunia pada 10 Disember.

Rosli_dhoby

Rosli Dhoby

Rosli Dhoby, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong telah ditangkap dan dalam bulan Mac 1950 ketiga-tiga mereka telah dihukum gantung sampai mati. Anggota Rukun Tigabelas yang lain telah dijatuhkan hukuman penjara.

Walaupun perjuangan kemerdekaan di Sarawak pada masa itu gagal, namun ia telah menyemarakkan lagi semangat nasionalisme di Sarawak. Ianya diteruskan dengan kemunculan gerakan politik berparti pada tahun 1950-an dan awal 1960-an untuk memperjuangkan kemerdekaan negeri Sarawak daripada penjajahan British. Akhirnya, Sarawak memperoleh kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Caught_of_Rosli_Dhobi-800px
Sejarah

Serangan Ke Atas Gabenor Sarawak

03 Disember 1949 – Pada tahun 1949, tiga orang nasionalis Sarawak telah membuat percubaan membunuh Gabenor Inggeris, Sir Duncan Stewart. Percubaan dan serangan ke atas Gabenor Sarawak ini dilakukan oleh Rosli Dhoby, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong yang menganggotai sebuah barisan yang dikenali sebagai Rukun Tigabelas. Serangan yang menyebabkan kematian Sir Duncan Stewart merupakan kemuncak perjuangan nasionalisme bumiputera Sarawak menentang penjajah Inggeris.

Jika di Semenanjung Tanah Melayu, orang-orang Melayu telah menentang gagasan Malayan Union, rakyat bumiputera Sarawak pula telah berjuang menentang pembentukan Sarawak sebagai ‘Crown Colony’ pada 8 Februari, 1945.

Sir Duncan Stewart

Sir Duncan Stewart

Seperti orang-orang Melayu di Semenanjung, rakyat bumiputera Sarawak juga mengambil tindakan segera dengan menubuhkan berbagai pertubuhan seperti Barisan Pemuda Sarawak, Pertubuhan Sarawak, United Sarawak Association (di Singapura), Pergerakan Pemuda Melayu, Sibu, dan beberapa pertubuhan lain, untuk menentang ‘Crown Colony’. Perjuangan rakyat bumiputera ini dikenali sebagai Gerakan Anti-Penyerahan ataupun ‘Anti Cession Movement’ iaitu perjuangan membantah keputusan Raja Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada kerajaan Inggeris untuk dijadikan ‘Crown Colony’.

Sejak tahun 1946 hinggalah ke tahun 1949, rakyat bumiputera menentang penjajahan Inggeris secara aman dan mengikut perlembagaan seperti mengadakan demonstrasi dan menghantar kawat kepada raja dan pemimpin-pemimpin Inggeris. Dalam bulan Disember 1946, seramai 400 orang kakitangan kerajaan terdiri dari orang-orang Melayu dan Dayak telah meletakkan jawatan beramai-ramai bila kerajaan mengeluarkan Pekeliling No. 9 yang mengharamkan Kegiatan Anti-Penyerahan. Akibatnya semua sekolah-sekolah Melayu dan Maktab Perguruan Melayu Sarawak terpaksa ditutup kerana ketiadaan guru.

Rosli Dhoby

Rosli Dhoby

Memandangkan bahawa perjuangan Anti-Penyerahan mula merosot dan kerajaan mula mengambil tindakan keras, maka Pergerakan Pemuda Melayu di Sibu telah menubuhkan sebuah kumpulan sulit yang dinamakan Rukun Tigabelas. Kumpulan sulit ini mempunyai 13 orang ahli yang diketuai oleh Awang Rambli. Mereka bersumpah untuk menghapuskan semua pegawai Inggeris dan Dato-dato Melayu yang menyokong penyerahan Sarawak kepada kerajaan British.

Di atas sumpahan ini maka pada hari ini dalam tahun 1949, Rosli Dhoby yang menyamar sebagai seorang murid sekolah, telah menikam Gabenor dengan sebilah pisau. Tikaman tersebut menyebabkan Gabenor Sir Duncan Stewart cedera parah dan terpaksa diterbangkan ke Singapura untuk rawatan segera. Malangnya beliau telah meninggal dunia pada 10 Disember.

Berikutan itu Rosli Dhoby, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong telah ditangkap dan dalam bulan Mac 1950 ketiga-tiga mereka telah dihukum gantung sampai mati. Anggota Rukun Tigabelas yang lain telah dijatuhkan hukuman penjara.

Walaupun perjuangan kemerdekaan di Sarawak gagal, namun serangan ke atas Gabenor Sarawak yang menyebabkan kematian Gabenor Sir Duncan Stewart telah menggemparkan Empayar Inggeris dan seluruh dunia di samping menyemarakkan lagi semangat nasionalisme di Sarawak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard