francis_light-800px
Sejarah

Presidensi Pulau Pinang Dibubarkan

30 Jun 1830 – Pentadbiran Inggeris di Pulau Pinang yang bertaraf Presidensi telah dibubarkan pada tahun 1830. Pembubaran ini adalah merupakan satu peristiwa bersejarah dalam sistem pentadbiran Inggeris khasnya di Pulau Pinang ekoran dari perkembangan politik dan ekonomi yang merosot.

Semenjak Pulau Pinang di buka dalam tahun 1786, satu sistem pentadbiran bertaraf Residen telah dimulakan oleh Francis Light selaku Residen yang pertama di bawah pengawasan Gabenor Inggeris di Benggala. Dasar-dasar pentadbiran adalah mengikut dasar pentadbiran syarikat perdagangannya dan dibantu oleh beberapa orang kakitangan.

Francis Light

Selepas kematiannya pada tahun 1794, taraf Residen diturunkan kepada taraf Superintendent dan pada tahun 1800 kepada taraf Lieutenant-Governor. Sepanjang tahun 1800 hingga 1805, perkembangan ekonomi dan perdagangan Pulau Pinang bertambah baik dan maju dengan sistem pentadbiran yang lebih teratur. Dengan itu, kerajaan Inggeris yakin Pulau Pinang akan memberi faedah yang besar sesuai dengan tujuan untuk menjadikannya pengkalan tentera laut dan pusat perdagangan Inggeris di timur.

Berikutan dari itu, taraf pentadbiran Pulau Pinang dinaikkan ke taraf Presidensi iaitu setaraf dengan Presidensi Inggeris di India, seperti Benggala, Bombay dan Madras pada tahun 1805. Urusan pentadbirannya adalah di bawah pengawasan terus dari London. Oleh itu, beberapa jawatan baru telah ditambah untuk melicinkan pentadbiran sesuai dengan taraf Presidensi. Presidensi Pulau Pinang bertanggungjawab menguruskan hal-ehwal dalam dan luar negeri serta menjalankan arahan dari Kerajaan Inggeris di London. Presidensi itu menghadapi berbagai masalah terutamanya kewangan dan undang-undang manakala rancangan perkapalan dan perdagangan gagal kerana tidak sesuai.

Pada tahun 1826, Negeri-Negeri Selat ditubuhkan dan Pulau Pinang telah dijadikan ibu negeri. Hal itu telah membebankan lagi Presidensi Pulau Pinang dan seterusnya kerajaan Inggeris kerana perbelanjaan pentadbirannya terus bertambah melebihi pendapatannya yang kian merosot. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1830, Presidensi Pulau Pinang terpaksa dibubarkan dan taraf pentadbirannya diturunkan kepada Residensi di bawah pengawasan Gabenor Benggala.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Perjanjian Burney

20 Jun 1826 – Perjanjian Burney telah ditandatangani oleh kerajaan British dan kerajaan Siam pada tahun 1926. Kapten Burney yang telah dihantar ke Siam sebagai wakil perunding kerajaan British telah menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan British.

Perjanjian Burney adalah mengenai hubungan kerajaan British dengan Siam berhubung dengan taraf dan kedudukan negeri-negeri di Utara Tanah Melayu iaitu Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Kapten Burney terpaksa menghadapi rundingan-rundingan yang sukar dan menunggu selama enam bulan di Bangkok sehinggalah akhirnya perjanjian itu dipersetujui.

perjanjian-burney

Di antara beberapa artikel yang penting yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Burney ini adalah :

Pedagang-pedagang British dibenarkan berdagang di Bangkok dan dikenakan cukai yang berpatutan;

Mengenai Kedah :-

  • Kedah kekal sebagai tanah jajahan Siam;
  • Sultan Kedah tidak dibenarkan tinggal di Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Selangor atau Burma;
  • British bertanggungjawab menghalang Sultan Kedah dan pengikutnya menyerang Siam dan wilayah-wilayahnya;
  • British dibenarkan berdagang di Kedah tetapi tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam hal pentadbiran;
  • Siam mengiktiraf pendudukan British di Pulau Pinang dan Seberang Perai

Mengenai Perak :-

  • Siam mengiktiraf kemerdekaan Perak dan Selangor;
  • British dibenarkan berdagang di Perak tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran
  • Siam dibenar menghantar perwakilan antara 40-50 orang ke Perak tetapi tidak boleh menyerang, mengancam dan mencabul Perak;
  • British bertanggungjawab menghalang Selangor menyerang Perak
  • Mengenai hantaran Bunga Emas dan lain-lain hantaran ke Siam, Perak diberi kebebasan sama ada mahu menghantar atau tidak. Sekiranya Perak setuju menghantar British tidak ada kuasa menghalang.

Mengenai Kelantan dan Terengganu :-

  • Siam berjanji tidak akan mengganggu Perdagangan British di Kelantan atau Terengganu;
  • British boleh berdagang di Terengganu tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal pentadbiran;
  • Kelantan dan Terengganu akan terus menghantar ufti berupa bunga emas pada tiap-tiap 3 tahun sekali

Perjanjian Burney 1826 ini tidak disenangi oleh pegawai-pegawai Inggeris di Pulau Pinang terutamanya tentang syarat-syarat yang berkaitan dengan Kedah.

Bagaimanapun, Kapten Burney telah diarahkan oleh Gabenor Robert Fullerton untuk mendapatkan konsesi-konsesi perdagangan di Siam dan menjamin kepentingan-kepentingan perdagangan Inggeris di negeri-negeri Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard