mahathir_mohamad-800px
Sejarah

Perlantikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad Sebagai Perdana Menteri

16 Julai 1981 – Perlantikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang ke-4 dibuat setelah Perdana Menteri, Tun Hussein Onn meletakkan jawatan pada 16 Julai 1981. Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Istiadat penuh rasmi itu telah disaksikan oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn serta dihadiri oleh para Menteri Kabinet, Ketua Polis Negara (Tan Sri Haniff Omar), Panglima Angkatan Tentera (Tan Sri Mohamed Ghazali), dan Peguam Negara (Tan Sri Abu Talib Othman).

Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad lahir pada 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, kemudian ke Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Setar, seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya Singapura dan lulus dengan ijazah M.B.B.S pada tahun 1952.

Penglibatan beliau dalam politik bermula pada tahun 1974, di mana beliau telah menang tanpa bertanding di kawasan Parlimen Kubang Pasu.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 6 Oktober 1974. Manakala pada 5 Mac 1976, beliau telah diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia disamping memegang portfolio pelajaran.

Sepanjang pemerintahannya, Dr. Mahathir boleh disifatkan sebagai jaguh dan pemimpin Asia yang dinamik dan terkemuka. Malah beliau adalah satu-satunya pemimpin yang berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara industri baru yang berpotensi dan berkembang maju.

Pada peringkat antarabangsa pula beliau memperkenalkan dasar luar Malaysia yang proaktif serta membolehkan Malaysia dikenali di dunia. Yakni membina dasar luar yang bersifat global tertumpu kepada diplomasi ekonomi dan ketegasan dalam komunikasi politik antarabangsa.

Pelantikan Dr. Mahathir Mohamad pada hari ini dalam tahun 1981, membuktikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad adalah tokoh politik yang tiada tandingan malah beliau telah menyusun impian dan gagasan masa depan Malaysia melalui Wawasan 2020.

Pada 31 Oktober 2003 Tun Dr Mahathir Mohamad telah berudur dan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia lalu digantikan oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi sebagai perdana menteri Malaysia yang kelima.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
seri_menanti-2-800px
Sejarah

Penubuhan Konfederasi Negeri Sembilan

13 Julai 1889 – Dalam tahun 1889, satu persetujuan penubuhan Konfederasi Negeri Sembilan telah dicapai. Yamtuan Besar Seri Menanti Tuanku Mohamad ibni Almarhum Tuanku Antah bersama-sama pemerintah-pemerintah Johol (termasuk Gemencheh), Inas, Ulu Muar, Jempol, Gunung Pasir dan Terachi, bersama-sama dengan Tunku Syed Hamid pemerintah Tampin dan Dato Setia Raja dari Rembau dengan rasminya telah bersetuju menerima perlindungan British melalui satu perjanjian yang telah ditandatangani bersama oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith.

Yamtuan Besar Tuanku Muhammad Shah

Yamtuan Besar Tuanku Muhammad Shah

Persetujuan juga dicapai untuk melantik Residen British bagi membantu pentadbiran Kerajaan Konfederasi ini. Dengan penubuhan Konfederasi ini, maka kawasan Negeri Sembilan terbahagi kepada dua daerah pentadbiran yang diakui oleh Inggeris.

Yang pertama ialah kawasan bahagian Timur yang mengandungi Sungai Ujung (termasuk Jelebu) di bawah Residen Sungai Ujung iaitu W.F.B. Paul, manakala bahagian Barat dengan nama Negeri Sembilan terletak di bawah Residen Negeri Sembilan, Martin Lister.

Setiap daerah ini ditadbir secara berasingan dan mempunyai organisasi pentadbirannya yang tersendiri seperti Pasukan Polis dan jabatan-jabatan yang menguruskan yang menguruskan pendapatan dan perbelanjaan negeri.

Pada 8 Ogos 1895, satu lagi perjanjian telah ditandatangani di hadapan Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Charles Bullen Hugh Mitchell mengenai penubuhan Konfederasi Negeri Sembilan yang lebih besar dengan Martin Lister telah dilantik sebagai Residennya yang pertamanya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
THE_MALAYAN_EMERGENCY_1948-1960_K14005-800px
Sejarah

Sir Alec Newboult Mengumumkan Peluasan Undang-Undang Darurat Ke Seluruh Negara

12 Julai 1948 – Pada tahun 1948, Sir Alec Newboult telah mengumumkan perluasan Undang-Undang Darurat ke seluruh negara. Ianya bertujuan untuk memberi kuasa yang lebih kepada pihak polis dan tentera untuk mengangkap dan menahan orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan subversif.

Darurat diisytiharkan apabila pemberontakan dan keganasan yang dilakukan oleh pihak komunis semakin menjadi-jadi.

Alec T Newboult

Mereka telah melancarkan keganasan dan beberapa pemogokan di seluruh negara bagi melumpuhkan ekonomi negara. Oleh itu, beberapa langkah telah dijalankan oleh pihak Kerajaan dalam usaha mengawal kegiatan pihak komunis.

Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah pembesaran Pasukan Askar Melayu, Penubuhan Jawatankuasa Kerja Perang, Penubuhan Kampung-kampung Baru di bawah Rancangan Briggs dan perkhidmatan tentera yang diwajibkan.

Perluasan Undang-Undang Darurat pada hari ini dalam tahun 1948, mampu menyekat kegiatan-kegiatan subversif pengganasan komunis daripada terus menguasai Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
logo_polis-800px
Sejarah

Surau Polis Pertama Di Malaya

10 Julai 1953 – Pada tahun 1953, Surau Polis Pertama di Malaya telah dibuka dengan rasminya oleh Datin Hamidah iaitu isteri kepada Datuk Setiuasaha Kerajaan Negeri Terengganu. Surau polis yang pertama itu terbina hasil daripada desakan isteri-isteri polis, khasnya usaha Polis Persekutuan Tanah Melayu di Terengganu.

Pembinaan surau itu bertujuan untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada segala urusan agama, terutama bagi kepentingan ahli-ahli polis Kuala Terengganu.

Berucap di Majlis Perasmian itu, Timbalan Ketua Pegawai Polis Terengganu, En. Talib bin Lisut, menegaskan tentang peri pentingnya mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni.  Oleh yang demikian diharap bangunan surau itu nanti dapat digunakan dengan sebaik mungkin khasnya dalam menjalankan aktiviti agama dan kebajikan.

Turut hadir di majlis itu ialah Mufti Kerajaan Terengganu, guru-guru agama perempuan Madrasah Al Sultan Zainal Abidin, Setiausaha Pejabat Agama dan Pemeriksa Hal Ehwal Agama serta pegawai-pegawai polis.

Perasmian surau polis pertama pada hari ini dalam tahun 1953, merupakan satu catatan sejarah kepada ahli-ahli polis di Malaya, khasnya di Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mat_salleh-800px
Sejarah

Mat Salleh Menyerang Pulau Gaya

09 Julai 1897 – Pada tahun 1897 Mat Salleh menyerang Pulau Gaya.  Serangan tersebut telah memusnahkan pusat pentadbiran Syarikat Inggeris Borneo Utara di Pulau Gaya, Sabah.

Serangan mengejut ini telah dilakukan pada jam 4.00 pagi dengan bantuan orang-orang Bajau dari Inanam dan Mengkabong.

Punca serangan ini adalah akibat dari cadangan pihak Inggeris yang ingin membina jalan raya, jalan keretapi dan talian telegraf menghubungi pantai Brunei dengan Pelabuhan Cowel.

Cadangan ini telah mengakibatkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah kerana pihak Inggeris mengambil tanah dan mengenakan cukai yang tinggi ke atas mereka bagi menampung kos pembinaan tersebut.

Serangan Mat Salleh ini bukanlah yang pertama malah telah banyak serangan dilakukan terhadap pihak Inggeris antaranya pada tahun 1894 dan 1896 yang mana pihak Inggeris gagal mematahkan serangan-serangan tersebut.

Dalam peristiwa Mat Salleh menyerang Pulau Gaya ini, seluruh pusat pentadbiran syarikat ini musnah sama sekali dan kerugian ditaksirkan kira-kira $100,000 dolar Selat. Mereka juga menculik kerani perbendaharaan F. S. Neubronner sebagai tebusan.

Akibat daripada serangan tersebut Gabenor L. P. Beaufort dan Pengarah Urusan Cowie telah menemui Sultan Brunei untuk meminta pampasan dengan dakwaan bahawa sebahagian penyerang tersebut berasal daripada kawasan Sultan Brunei.

Hasil rundingan tersebut telah mengakibatkan pengurusan kawasan Mengkabong, Menggatal dan Api-Api diserahkan kepada Syarikat Inggeris Borneo Utara.

Setelah Mat Salleh menyerang Pulau Gaya, mereka telah memindahkan kubu mereka ke Soan di Labuk, kemudian ke Parachangan di Sugut. Pada November 1897 mereka telah menyerang dan membakar kawasan penempatan Syarikat Inggeris Borneo Utara di Ambong.

Setelah itu mereka berpindah dan membina kubu di Ranau. Pada 13 Disember 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang Kubu Mat Salleh di Ranau bagi menghapuskan penentangan yang dilakukan oleh Mat Salleh.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Matawang-Pusat-Kusta-Sungai-Buloh
Terkini

Pusat Pengasingan Kusta Diwujudkan

05 Julai 1850 – Bidang kesihatan, merupakan tanggungjawab sosial kerajaan kepada masyarakat.  Dalam usaha mewujudkan masyarakat yang sihat dan demi kemajuan negara, pelbagai kemudahan kesihatan telah diwujudkan bertujuan mengawal, membasmi serta mencegah merebak sesuatu penyakit.

Keratan Akhbar

Pada hari ini dalam tahun 1850, Jabatan Kesihatan telah mewujudkan Pusat Pengasingan Kusta bertempat di Pulau Serimbun, Melaka.

Pusat ini ditubuhkan bertujuan menjadi kawasan ini sebagai satu penempatan dan juga sebagai tempat rawatan bagi para pesakit kusta.

Selain daripada penempatan-penempatan yang diwujudkan tersebut di atas, satu enakmen berkaitan dengan orang-orang kusta telah diluluskan pada 20 Oktober 1926, enakmen ini dikenali sebagai `Lepas Enactment’.

Pada tahun-tahun kemudian banyak lagi penempatan telah diwujudkan untuk menempatkan golongan pesakit ini seperti di Pulau Jerjak (1887), Setapak Camp (1893), Pulau Pangkor (1903), Tampoi (1927) dan Kota Bahru 1933 dan yang paling besar sekali penempatan ialah di Sungai Buloh.

Matawang-Pusat-Kusta-Sungai-Buloh

Matawang Pusat Kusta Sungai Buloh

Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh yang di bina pada tahun 1926 dilengkapi dengan hospital, rumah kediaman, rumah ibadat, kelab dan dewan orang ramai.

Ia merupakan sebuah pekan yang lengkap kerana turut mempunyai pasar, bangunan membasuh (dobi), kedai, balai polis dan penjara.

Di penempatan ini, pesakit kusta hidup secara bebas dengan kediaman yang disediakan, bercucuk tanam dan berekreasi di bawah pengawasan pegawai-pegawai perubatan yang mengawasi penyakit mereka secara khusus dan berterusan.

Di sinilah vaksin mencegah kusta ditemui dari sejenis pokok berbuah dikenai sebagai Pokok Setumpol. Buah dari pokok ini dijadikan sebagai penawar bagi pesakit kusta. Pokok ini kemudiannya menjadi lanskap utama kawasan PKKN.

Dengan bantuan yang diberikan ini golongan yang mengidap penyakit kusta akan dapat bantuan yang sewajarnya, dan proses-proses rawatan dapat dijalankan dengan lebih lancar dan sistematik.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
logo_polis-800px
Sejarah

Pembentukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

01 Julai 1896 – Pada tahun 1896, Polis Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah menjadi Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.  Pembentukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini adalah ekoran dari penyatuan Negeri-Negeri Melayu tersebut di bawah kuasa pentadbiran Kolonial Inggeris, yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

Kapten H.C.Syers telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, bagi tujuan mengendalikan tugas-tugas pasukan ini.  Sebelum menjawat jawatan ini, Kapten Syers  adalah Ketua Polis bagi negeri Selangor yang bergelar ‘Captain Superintendent’. Tempat beliau telah digantikan oleh Ketua Polis negeri Perak bernama  Christian Wagner.

Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru dibentuk ini terdiri dari pegawai-pegawai British, orang-orang Sikh dan orang-orang Melayu.  Pasukan ini mempunyai pakaian seragamnya sendiri berwarna biru dari jenis kain benang bulu dengan bintang dan lencana yang berbeza mengikut negeri-negeri.

Pembentukan Pasukan Polis Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan menjadi Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun ini, sesungguhnya merupakan satu langkah yang bijak bagi Inggeris untuk memastikan keamanan wujud di negeri-negeri Melayu yang dijajahnya.  Cara ini membolehkan pihak Inggeris menjalankan pentadbirannya dengan lebih licin dan berkesan lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
the-eruption-800px
Sejarah

Serangan Inggeris Ke Atas Jeram Ampai

29 Jun 1894 – Dalam tahun 1894 sepasukan Polis kerajaan Inggeris telah menyerang sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang.  Pasukan Polis ini terdiri dari Polis Sikh Perak, Polis Sikh Selangor dan beberapa orang polis Melayu.

dato_bahaman-1

Dato’ Bahaman

Kumpulan ini adalah sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Pahang yang dipimpin oleh Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi. Dalam serangan tersebut seorang Pegawai Inggeris bernama Wise (Pemangku Penguasa Ulu Pahang) dan empat orang polis Sikh telah terbunuh manakala di pihak penentang-penentang pula dilaporkan 40 orang terbunuh.

Serangan ke atas kumpulan penentang-penentang di Jeram Ampai ini merupakan tindakbalas pihak Inggeris terhadap ancaman terbaru penentang-penentang di mana pada 14hb Jun mereka telah menyerang sebuah balai polis di Kuala Tembeling dan membunuh lima orang anggota polis Sikh. Kemudiannya mereka telah berundur ke Jeram Ampai iaitu empat batu dari Kuala Tembeling dan mendirikan benteng-benteng pertahanan.

Tok_gajah-1

Tok Gajah

Pada 18hb Jun, Walter Egerton, Pemangku Residen Pahang dengan sepasukan Polis Sikh telah berkejar ke Kuala Tembeling. Pada 28hb Jun pasukan ini disertai pula oleh pasukan-pasukan Polis Perak, dan Selangor yang diketuai oleh Penolong Penguasa Stewart, Leftenan Kolonel Walter, Kapten Lyons dan Kapten Talbot.

Peristiwa Jeram Ampai ini adalah merupakan salah satu daripada beberapa insiden dalam sejarah penentangan pejuang-pejuang pembebasan Pahang terhadap Inggeris di Pahang. Ekoran daripada peristiwa ini Huge Clifford iaitu Residen British di Pahang telah melancarkan gerakan besaran-besaran memburu mereka hingga ke Negeri Terengganu dan Kelantan.

mat-kilau

Mat Kilau

Gerakan ini dimulakan pada 4hb Julai, 1894 setelah Clifford mengambil alih pemerintahan dari Egerton pada 3hb Julai,1894. Gerakan  yang menelan belanja sebanyak RM 7,393.83 dihentikan pada bulan November 1895 apabila Dato’ Bahaman, Awang Nong, Yusuf, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahit dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada Kerajaan Siam tetapi diberi perlindungan dan ditempatkan di Chiang Mai pada awal 1896 manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan telah meninggal dunia di Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard