wang_malaysia-800px
Sejarah

Undang-Undang Mata Wang Diluluskan

24 Jun 1960 – Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Undang-undang Mata Wang 1960 setelah dibentangkan di Dewan Rakyat. Menurut rang undang-undang ini kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berhak melalui Menteri Kewangan menyampaikan permintaan kerajaan untuk keluar dari Lembaga Pesuruhjaya Wang yang dibentuk oleh kerajaan British seperti yang tercatat di dalam Perjanjian Wang Malaya-Borneo British 1950.

Rang Undang-undang yang diluluskan ini juga mengesahkan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak iaitu Perjanjian Malaya-Borneo British, 1960 dan berjalan kuatkuasannya pada 1hb Januari, 1961. Persekutuan Tanah Melayu telah diberi hak keistimewaan yang lebih di dalam Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baharu ini dalam mana ia diwakili oleh dua orang ahli, seorang daripadanya dimestikan menjadi Pengerusi Lembaga.

Bagi anggota-anggota lain iaitu kerajaan Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah diwakili oleh seorang ahli bagi tiap-tiap negeri. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melantik Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara mewakili Persekutuan Tanah Melayu. Menteri Kewangan adalah Pengerusi Lembaga. Kuasa-kuasa yang dipegang oleh Setiausaha bagi Tanah Jajahan British mengikut Perjanjian tahun 1950 telah dipindahkan kepada Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baru ini.

Lembaga ini dibenarkan memegang harta yang bernilai hingga setakat RM 300 juta. Kerajaan-kerajaan yang menjadi anggota juga diberi peluang menggunakan kumpulan wang ini bagi pebelanjaan pembangunan negara. Lembaga ini diberi kuasa memperniagakan wangnya dalam jaminan mata wang sterling yang kukuh dan diakui oleh badan-badan kewangan antarabangsa.

Menteri Kewangan, Encik Tan Siew Sin semasa mengemukakan Undang-undang Mata Wang 1960 di Dewan Rakyat menyatakan perjanjian ini adalah perintis jalan kepada Bank Negara untuk mengeluarkan sendiri matawang ringgit Tanah Melayu. Peraturan-peraturan baru ini adalah merupakan satu panduan kepada Bank Negara untuk mengkaji dan mengaturkan rancangan jangka panjang yang sesuai mengenal dasar mata wang Persekutuan Tanah Melayu untuk mengelakkan kebimbangan dan keraguan terhadap nilai matawang negara kita.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Suruhanjaya Cobbold
Sejarah

Laporan Suruhanjaya Cobbold Dikemukakan Kepada Kerajaan British

21 Jun 1962 – Laporan Suruhanjaya Cobbold yang mengandungi syor-syor bagi penubuhan Malaysia dikemukakan kepada kerajaan British pada tahun 1962. Laporan yang mengandungi 175 muka surat itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri British, Tuan Harold Macmillan. Suruhanjaya Cobbold telah ditugaskan untuk meninjau pendapat rakyat di negeri-negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) tentang kemasukkan negeri-negeri itu ke dalam Persekutuan Malaysia.

Suruhanjaya itu dianggotai oleh 5 orang ahli, dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil kerajaan British. Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr J. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Laporan yang mengandungi 6 bahagian itu, mengemukakan syor-syor yang terbahagi kepada syor yang bersifat umum dan syor yang dibuat oleh ahli-ahli serta pengerusi suruhanjaya itu sendiri. Beberapa bahagian:

  • Syor-syor mengenai perkara-perkara bersifat umum yang tertentu.
  • Syor-syor yang dibuat oleh Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston.
  • Syor-syor yang dibuat oleh Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali bin Shafie.
  • Ringkasan syor-syor dalam seksyen B dan C serta ulasan-ulasan yang dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya.

Laporan itu mengandungi persetujuan mengenai kemasukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia. Perbezaan pendapat antara wakil-wakil kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ialah mengenal perkara-perkara bersifat umum laitu Agama Rasmi, Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi.  

Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold. Beliau telah membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri), Datuk V. T. Sambanthan (Menteri Kerjaraya dan Telekom).

Pada pertengahan bulan Julai, kata sepakat telah dicapai di antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj dengan Tuan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan. Rundingan di antara kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ini telah diadakan di London pada tahun 1963 dan ianya berjalan hampir selama 2 minggu.

Hasil dari rundingan ini kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12 Julai 1963 di mana kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada kerajaan Malaysia  dan Malaysia akan wujud pada 31 Ogos 1963. Kenyataan bersama itu juga menyentuh hal-hal mengenai Singapura dan Brunei yang menjadi persoalan besar dalam masa rundingan selama dua minggu itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
parti_perikatan-800px
Sejarah

Perikatan Umno-Mca Menarik Ahli-Ahlinya Daripada Pentadbiran Kerajaan

13 Jun 1954 – Pada tahun 1954, satu ketetapan telah diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA untuk menarik keluar semua ahlinya yang bukan rasmi dari mengambil bahagian yang cergas dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Menurut ketetapan yang dikeluarkan, ahli-ahli Perikatan yang dilantik (Nominated) sebagai ahli-ahli tidak rasmi oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Settlement kepada Majlis Kerja Persekutuan, Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan, Majlis Mesyuarat Negeri, Majlis Mesyuarat Settlement, Majlis-Majlis Mesyuarat Perbandaran, Bandaran dan Lembaga Bandaran akan meletak jawatan dari Majlis tersebut.

Ahli-ahli yang dipilih (elected) ke dalam majlis-majlis ini pula akan memulakan persidangan majlis-majlis tersebut. Ketetapan ini diambil sebagai tindakan tidak puas hari terhadap Setiausaha Tanah Jajahan Takluk British yang melengahkan cadangan Perikatan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas dan bebas bagi menyiasat dan mengkaji soal pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ketetapan yang diputuskan ini, dua orang Menteri Perikatan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan jawatan. Mereka ialah Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman; Menteri Hasil Bumi dan Kol. H.S.Lee; Menteri Kenderaan Persekutuan Tanah Melayu.

Di samping itu, Jawatankuasa Agung Pusat MCA telah melantik sebuah jawatankuasa bertindak yang akan menguruskan semua soal mengenai ahli-ahli MCA yang menjadi ahli dalam badan-badan kerajaan dan separuh kerajaan kecuali badan-badan mengenai kebajikan dalam negeri.

Ketetapan yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA menarik keluar ahli-ahlinya daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menunjukkan begitu seriusnya perjuangan mereka menuntut kemerdekaan bagi negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard