mohor_syarikat_hindia_timur_inggeris-800px
Sejarah

Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah Meminta Bantuan Gabenor Jeneral India

24 Disember 1810 – Pada tahun 1810, Baginda Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah meminta bantuan Gabenor Jeneral India dari kerajaan England bagi melindungi Kedah dari serangan Siam. Bantuan perlindungan tersebut dipinta menerusi sepucuk surat yang ditulis oleh Baginda Sultan dan ditujukan kepada Lord Minto, Gabenor Jeneral India.

Melalui surat tersebut baginda Sultan menuntut agar pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris menunaikan janji untuk melindungi baginda (Sultan Abdullah) dengan pihak Inggeris dalam tahun 1785, pihak Inggeris akan memberi perlindungan dan apa sahaja permintaan Sultan Kedah. Sebagai balasan Sultan Kedah membenarkan pihak Inggeris menduduki Pulau Pinang iaitu sebagai pengkalan tentera Inggeris. Pihak Inggeris juga berjanji membayar sewa sebanyak $30,000 setahun kerana mengambil alih Pulau Pinang dari Kedah.

Setelah satu tahun berlalu Sultan tidak mendapat sebarang jawapan persetujuan dan bantuan England, namun Francis Light telah pun menduduki Pulau Pinang. Pihak England juga tidak menunaikan sebarang janjinya terhadap Kedah. Dalam tempoh itu Sultan Kedah hanya menerima bayaran sewa sebanyak 10,000 ringgit sahaja.

Setelah enam tahun lamanya pihak England juga tidak memberi sebarang perlindungan sepertimana yang dijanjikan itu, maka pada hari ini dalam tahun 1810, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah pula memohon bantuan perlindungan dari General India, dan menuntut agar syarat-syarat perjanjian tahun 1785 dipatuhi.

Walau bagaimanapun Gabenor Jeneral India, tidak dapat memberi perlindungan dan tidak berjaya mendamaikan persengketaan antara Siam dan Kedah. Namun begitu bagi mengelakkan serangan Siam tersebut kerajaan Kedah telah menghantar Bunga Emas dan Perak kepada Siam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pleno-800px
Sejarah

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Diumumkan

23 Disember 1946 – Pada tahun 1946, Perjanjian Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah diumumkan oleh Kerajaan British. Perjanjian ini penting bukan sahaja kerana ia memansuhkan Malayan Union tetapi juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali.

Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris Melayu sejak bulan Jun hingga awal bulan Disember 1946. Seterusnya Perjanjian Persekutuan telah diumumkan dan diedarkan kepada penduduk-penduduk Tanah Melayu, terutama sekali untuk orang-orang bukan Melayu.

Tujuan pengumuman ini ialah untuk mendapatkan pandangan orang-orang bukan Melayu yang tidak diwakili dalam Sidang Pleno itu. Antara lain Perjanjian Persekutuan menyatakan:-

  • Persekutuan Tanah Melayu akan dianggotai oleh sembilan buah negeri-negeri Melayu dan dua buah negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.
  • Pembukaan Dewan Perundangan Persekutuan yang akan diwakili oleh semua kaum di Persekutuan Tanah Melayu.
  • Mengenai kewarganegaraan, Perjanjian Persekutuan memberi dasar yang longgar. Antara lain orang-orang yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanah airnya akan diberi kewarganegaraan dengan beberapa syarat yang lain.

Perjanjian Persekutuan juga menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal-hal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. Sultan-sultan negeri Melayu diberi kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat istiadat. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dikuasai oleh Kerajaan Inggeris.

Walaupun menerima banyak tentangan daripada pelbagai pihak seperti AMCJA dan PUTERA, tetapi akhirnya Perjanjian Persekutuan telah berjaya dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
selat_melaka-800px
Sejarah

Perjanjian Sempadan Perairan Selat Melaka

21 Disember 1971 – Pada tahun 1971, satu perjanjian mengenai sempadan perairan Selat Melaka telah ditandatangani di antara kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand di Kuala Lumpur. Malaysia telah diwakili oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, sementara Indonesia diwakili oleh Menteri Galiannya Professor Dr. Sumatri Brodjonegoro dan Thailand pula oleh Setiausaha Rendah Negeri bagi Pembangunan Negara di Kementerian Pembangunan Negara Thailand, Encik Vijaya Sethapat.

Perjanjian ini menetapkan garis batas laut di perairan Selat Melaka untuk ketiga-ketiga buah negara. Ianya terhasil daripada rundingan yang diadakan di Bangkok bermula pada bulan Oktober.

Berikutan daripada termeterainya perjanjian ini, usaha untuk meneroka sumber kekayaan di kawasan yang melampaui sempadan negara masing-masing bagi faedah bersama dapat dilaksanakan. Justeru itu sebarang pertikaian mengenai dasar laut dan lapisan bumi di bawahnya yang mengandungi sumber kekayaan yang belum lagi diterokai dapat dihapuskan.

Sesungguhnya, perjanjian ini merupakan sumbangan positif ke arah keamanan dan kestabilan rantau ini. Secara tidak langsung, ia merupakan langkah tegas ke arah merapatkan kerjasama dalam usaha mencari kekayaan dasar laut untuk kemakmuran bersama ketiga-tiga buah negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
regimental_combat_team-800px
Sejarah

Perjanjian Di Antara Sultan Kedah Dengan Jepun

19 Disember 1941 – Pada tahun 1941, Baginda Sultan Kedah, DYMM Tuanku Abdul Hamid Halim Shah iaitu Sultan Kedah yang ke 25 telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Jepun di Kulim, Kedah. Perjanjian di antara Sultan Kedah dengan Jepun ini dibuat berikutan kejatuhan negeri Kedah ke tangan Jepun. Tentera Jepun mula bergerak ke negeri Kedah pada 8 Disember 1941 apabila mereka mendarat di Alor Setar dan mengebom Lapangan Terbang Sungai Petani.

Serangan Jepun di Alor Setar itu telah menyebabkan Baginda Sultan dan pihak kerajaan berpindah ke Kulim. Apabila keseluruhan Negeri Kedah telah ditakluki, maka Kedah terpaksa mengadakan satu perjanjian dengan pihak Jepun. Menurut perjanjian tersebut, pihak Jepun mengakui Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai raja Negeri Kedah, tetapi pihak Jepun adalah pemegang kuasa dan semua arahan Jepun mesti dipatuhi.

sultan_abdul_hamid_kedah

Tuanku Abdul Hamid Halim Shah

Sesudah perjanjian itu ditandatangani, Baginda Sultan yang ketika itu dalam keadaan gering dan dibawa balik ke Alor Setar. Baginda diiringi oleh anakandanya Tunku Abdul Rahman Putra dan disertai oleh Tunku Badlishah, Raja Muda. Pada masa yang sama semua pegawai Kanan Melayu Kedah yang menjawat jawatan semasa pemerintahan British juga dibenarkan kembali ke jawatan masing-masing.

Dengan perjanjian yang ditandatangani di antara Sultan Kedah dan Gabenor Jepun pada hari ini dalam tahun 1941, maka bermulalah detik pemerintahan Tentera Jepun di Negeri Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_tahta_perak-800px
Sejarah

Pemansuhan Jawatankuasa Penasihat British Di Perak

19 Disember 1956 – Pada tahun 1956, DYMM Sultan Perak, Raja Sir Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil telah menandatangani dua dokumen yang memansuhkan jawatan Penasihat British di Perak. Upacara tersebut berlangsung di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Kedua-dua dokumen itu ialah mengenai pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Negeri Perak dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Perak merupakan negeri pertama di Tanah Melayu menerima seorang pegawai British sebagai penasihat kerajaan. Penasihat yang dikenali sebagai Residen itu mempunyai kuasa pentadbiran yang lebih besar daripada Sultan sendiri. Bidang kuasa Sultan terhad pada hal-hal Agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Yusuf Izzuddin Shah

Pegawai British yang dikenali sebagai Residen British itu dilantik melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Jaafar pada 20 Januari 1874. Jawatan Residen itu kekal sehinggalah tamat Perang Dunia Kedua (1945) apabila ia ditukarkan kepada Penasihat British.

Pada hari ini dalam tahun 1956 jawatan Penasihat British di Perak telah dimansuhkan. Dengan itu tamatlah sejarah campurtangan pegawai British secara langsung selama 82 tahun dalam pentadbiran negeri Perak yang bermula pada tahun 1874 dengan J.W.W. Birch sebagai Residen British yang pertama dan berakhir pada tahun 1956 dengan Dato’ I.W. Blelloch, Penasihat British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tyersall_House-800px
Sejarah

Perjanjian Penyerahan Kuasa Teluk Belanga Kepada Temenggung Abu Bakar

19 Disember 1862 – Pada tahun 1862, satu perjanjian penyerahan kuasa Teluk Belanga kepada Temenggung Abu Bakar oleh Kerajaan Inggeris telah berlangsung di Singapura. Perjanjian ini harus dibuat berikutan dengan persetujuan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Blundell bagi pihak Kerajaan Inggeris untuk menyerahkan kawasan tanah di Teluk Belanga kepada Temenggung Abu Bakar. Kawasan itu menjadi hak milik baginda turun temurun.

Kawasan tanah di Teluk Belanga dikuasai Inggeris berikutan dengan perjanjian diantara Residen Inggeris di Singapura, J.Crawford dengan Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman pada 2hb Ogos 1824. Mengikut perjanjian tersebut, Pulau Singapura dan pulau-pulau yang berhampiran diserahkan kepada pihak Inggeris. Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman tidak lagi mempunyai kuasa ke atas Pulau Singapura. Wang saguhati sebanyak $15000 dibayar oleh Kerajaan Inggeris kepada Temenggung Abdul Rahman apabila kawasan tanah di Teluk Belanga diserahkan kepada Inggeris.

Sultan_Abu_Bakar_potret

Semasa Johor di bawah pemerintahan Temenggung Ibrahim, baginda telah berusaha untuk menguasai semula Teluk Belanga. Temenggung Ibrahim berpendapat bahawa dalam masa 30 tahun akan datang, nilai tanah di Teluk Belanga akan berlipat ganda. Menyedari keadaan tersebut, dalam tahun 1857, Temenggung Ibrahim telah membantah usaha membuka sebuah pangkalan arang batu berhampiran dengan Teluk Belanga. Bantahan baginda itu tidak dihiraukan oleh pihak Inggeris.

Semasa pemerintahan Temenggung Abu Bakar, baginda telah berusaha memajukan negeri Johor. Baginda telah membuat banyak perubahan di dalam sistem pemerintahan, menggalakkan perdagangan di Tanjung Puteri dan mengukuhkan hubungan persahabatan dengan negeri Pahang. Cara pemerintahan Temengung Abu Bakar amat disenangi oleh pihak Inggeris. Hubungan baginda dengan Pihak Inggeris dan pembesar-pembesar negeri berjalan dengan baik dan lancar.

Apabila baginda menyuarakan hasrat supaya Teluk Belanga dijadikan hak milik baginda, pihak Inggeris telah memberi persetujuan. Hasil daripada persetujuan tersebut, satu perjanjian penyerahan kuasa Teluk Belanga kepada Temenggung Abu Bakar telah ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1862 di mana teluk Belanga diserahkan semula kepada Kerajaan Johor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
voc_ship-800px
Sejarah

Perjanjian Perdagangan Di Antara Belanda Dengan Sultan Perak 1953

15 Disember 1653 – Pada tahun 1653, satu Perjanjian Perdagangan di antara Belanda yang diwakili oleh Joan Truijtman dengan Sultan Perak, Sultan Mahmud Iskandar Shah telah ditandatangani. Perjanjian Perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Perak pernah dibuat sebelum ini oleh Almarhum Sultan Muzaffar Shah II dalam tahun 1650. Perjanjian ini dibuat ketika negeri Perak masih lagi diawasi oleh pihak Belanda.

Pihak Belanda telah menuntut gantirugi daripada Sultan Mahmud Iskandar Shah kerana dalam tahun 1651, semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II, orang-orang Perak telah membinasakan loji-loji Belanda di Kuala Perak. Perjanjian ini juga menyatakan bahawa hanya pihak Belanda sahaja dibenarkan membeli bijih timah di Perak.

Walaubagaimanapun orang-orang Perak tidak pernah menepati perjanjian tersebut. Mereka masih menjual bijih timah kepada saudagar-saudagar bangsa lain dengan mendapat harga yang lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan perniagaan Belanda terganggu dan merosot. Pihak Belanda terpaksa meninggalkan loji-loji perniagaan mereka di Kuala Perak dan seterusnya telah menyekat dan mengepung Kuala-kuala sungai dan perairan laut di sepanjang pantai Perak dengan tujuan untuk menyekat saudagar-saudagar bangsa lain datang membeli bijih timah di Perak.

Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga orang-orang Belanda telah menduduki Pulau Pangkor dan membina sebuah kota di Teluk Gedung bertentangan dengan pantai Teluk Muruk. Pihak Belanda berharap dengan adanya kota yang kuat mereka akan dapat mengawal urusan perniagaan di perairan Perak. Tetapi dalam tahun 1690 orang-orang Perak dengan diketuai oleh Panglima Kulub telah menyerang kota Belanda di Teluk Gedung dan berjaya mengusir orang-orang Belanda dari kota tersebut.

Perjanjian demi perjanjian diadakan di antara Belanda dengan negeri Perak, tetapi orang-orang Perak masih enggan mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Begitu juga dengan perjanjian perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Mahmud Shah yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1653 juga tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malayan_union_kb-800px
Sejarah

Perarakan Menentang Malayan Union Di Kota Bharu

15 Disember 1945 – Pada tahun 1945, sekitar 10,000 orang Melayu di bawah anjuran Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan telah mengadakan perarakan menentang Malayan Union Di Kota Bharu.

Perarakan ini diadakan berikutan perjumpaan Sir Harold MacMichael dengan Sultan Kelantan untuk menandatangani Perjanjian Penubuhan Malayan Union yang akan membuka pintu kepada bangsa-bangsa asing dan mempunyai hak yang sama dengan orang Melayu.

Sir Harold Alfred MacMichael

Sir Harold Alfred MacMichael

Perarakan tersebut telah menuju ke rumah Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam Kelantan untuk menyampaikan bantahan orang Melayu seluruhnya. Hasilnya Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam Kelantan bersetuju akan menyampaikan bantahan tersebut kepada Sir Harold MacMichael.

Perarakan tersebut kemudiannya menuju ke Istana Sultan Kelantan dan menyembahkan bantahan penubuhan Malayan Union kepada Baginda Sultan Kelantan dan diperkenankan.

Sesungguhnya hari ini dalam tahun 1945, adalah satu tarikh bersejarah bagi orang-orang Melayu Kelantan dalam usaha menentang dasar penjajahan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Giam_Siak_Kecil_Bukit_Batu-800px
Sejarah

Sultan Sulaiman Menyerahkan Siak Kepada Belanda

14 Disember 1745 – Pada tahun 1745, Sultan Sulaiman, Sultan bagi Kerajaan Johor- Riau telah menyerahkan Siak kepada Belanda. Penyerahan itu adalah sebagai balasan kepada Belanda yang akan membantu Sultan Sulaiman memerangi musuhnya, iaitu orang-orang Bugis.

Tindakan orang-orang Bugis menguasai bidang ekonomi dan juga politik di negeri-negeri Melayu menimbulkan perasaan tidak senang hati di kalangan orang-orang Melayu dan Belanda. Dengan berpengkalan di Selangor maka pengaruh Bugis mula merebak ke Kedah dan Perak.

Menyedari akan keadaan itu, Sultan Sulaiman mengalihkan perhatian kepada pihak Belanda yang sememangnya biasa membuat perjanjian dengan kerajaan Johor. Pada masa yang sama Sultan Sulaiman sendiri terhutang budi dengan orang-orang Bugis yang membantu Baginda mendapatkan semula takhta kesultanan Johor-Riau. Sebagai balasan, gelaran Yang Di Pertuan Muda Riau diberikan kepada keturunan Bugis.

Namun begitu, tindakan Bugis yang sentiasa berusaha meluas pengaruh, menimbulkan rasa cemburu di kalangan orang-orang Melayu termasuklah Sultan Sulaiman sendiri. Oleh yang demikian, Sultan Sulaiman tidak mempunyai pilihan lain, kecuali meminta pertolongan Belanda.

Dengan itu, pada hari ini dalam tahun 1745, Baginda menyerahkan Siak kepada Belanda sebagai memenuhi kehendak Belanda. Dengan perjanjian itu juga, Baginda berjanji untuk mengkaji semula perjanjian yang pernah dibuat dengan Syarikat Hindia Timur Belanda, dengan memberikan keutamaan kepada monopoli bijih timah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Perjanjian Persahabatan Kerajaan Johor Dengan Inggeris

11 Disember 1885 – Pada tahun 1885, satu perjanjian persahabatan di antara kerajaan Johor dengan Inggeris telah ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London. Perjanjian itu dimeterai oleh Maharaja Abu Bakar bagi pihak kerajaan Johor dan Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan, Frederick Arthur Stanley, yang mewakili kerajaan Inggeris.

Dengan termaktubnya perjanjian itu negeri Johor bersetuju menerima seorang pegawai Inggeris yang berjawatan sebagai kaunselor di negeri itu. Apabila Frederick Weld dilantik menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat pada tahun 1880, beliau telah berusaha untuk meluaskan dan menguatkan lagi dasar penjajahan Inggeris di negeri-negeri Melayu. Tumpuan perhatiannya adalah ke atas negeri Johor.

Johor-AbuBakar

Pada tahun 1884, beliau telah mencadangkan kepada kerajaan Inggeris supaya memperbaharui dasar Inggeris ke atas negeri Johor yang merdeka dan menjalankan pemerintahan sendiri. Beliau juga mencadangkan supaya dilantik seorang Residen Inggeris untuk mentadbir negeri itu, seperti yang terdapat di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Maharaja Abu Bakar merasa terkejut mendengar cadangan Gabenor Federick Weld itu, lalu baginda membuat keputusan berangkat segera ke England untuk menemui Setiausaha Jajahan British di London. Pada bulan Mei, 1885 Maharaja Abu Bakar dan rombongannya tiba di London. Sepanjang rundingannya dengan kerajaan Inggeris di London, baginda telah dibantu oleh Setiausaha baginda, Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman yang fasih berbahasa Inggeris dan sungguh faham dengan tipu muslihat penjajah Inggeris.

Rundingan berjalan sehingga enam bulan dan akhirnya pada hari ini dalam tahun 1885, perjanjian persahabatan tersebut telah ditandatangani. Antara lain perjanjian itu menyatakan bahawa Johor tidak akan mencampuri urusan politik dan pentadbiran di negeri-negeri Melayu yang lain dan Inggeris mengakui Maharaja Johor dan keturunan baginda sebagai waris takhta Johor. Dengan termeterainya perjanjian ini, maka terselamatlah Johor dibawah pemerintahan secara Residen.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard