Temenggong-Abu-Bakar_wbg-800px
Sejarah

Perjanjian Pahang-Johor

17 Jun 1862 – Pada tahun 1862 satu perjanjian di antara Pahang dan Johor telah ditandatangani. Dalam perjanjian ini Bendahara Pahang iaitu Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir telah diwakili oleh Wan Koris (Bendahara Muda), manakala Temenggong Abu Bakar Seri Maharaja Johor, menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Johor.

Di antara syarat-syarat perjanjian ini ialah :

  • Johor dan Pahang mengaku bersahabat dan bantu-membantu jika diserang oleh musuh;
  • Temenggong Abu Bakar hendaklah membantu Wan Koris (Tun Koris) dan pengganti-penggantinya apabila dikehendaki;
  • Jika berlaku perselisihan di antara kedua belah pihak, hendaklah diserahkan kepada Kerajaan Inggeris untuk menyelesaikannya;
  • Pulau Tioman (yang dahulunya di bawah pemerintah Pahang) dan pulau-pulau yang di Selatan daripada Pulau Tioman itu diserahkan kepada Kerajaan Johor, dan
  • Di darat pula kawasan tanah bagi negeri Johor diperluaskan lagi ke utara hingga ke Sungai Endau dan Sungai Endaulah menjadi sempadan di darat antara negeri Johor dengan negeri Pahang

Dengan perjanjian ini Temenggong Abu Bakar terikat untuk membantu pihak Tun Mutahir dalam peperangan dengan adiknya, Wan Ahmad (Peperangan Saudara Pahang – 1857-63) untuk merebut takhta Kerajaan.

Bagaimanapun, peperangan ini akhirnya dimenangi oleh Wan Ahmad, dan pada 10hb Jun, 1863 orang-orang besar Pahang mengangkat beliau menjadi Bendahara pemerintah Pahang bergelar Bendahara Seri Wak Raja.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lambang_kedah-800px
Sejarah

Perjanjian Pinjaman Kedah-Siam

16 Jun 1905 – Pada tahun 1905, satu Perjanjian Pinjaman Kedah-Siam telah ditandatangani. Pinjaman sebanyak 2,600 ringgit itu dibuat oleh kerajaan Kedah untuk menampung perbelanjaan pentadbiran.

Dalam perjanjian itu Sultan Kedah telah diwakili oleh Raja Muda Tengku Abdul Aziz, manakala pihak Siam pula telah diwakili oleh Menteri Kewangannya Putera Mahisara Rachaharuthai.

Upacara menandatangani perjanjian itu berlangsung di Bangkok di hadapan dua orang saksi H.F. Williamson dan A.C.S. Ward.

Raja Muda Tengku Abdul Aziz

Raja Muda Tengku Abdul Aziz

Antara syarat-syarat perjanjian ini adalah :

  • Sultan Kedah dikehendaki membayar faedah pinjaman dengan kadar 6% setahun.
  • Pembayaran balik pinjaman secara ansuran berserta faedah hendaklah dibuat pada 1 haribulan Jun tiap-tiap tahun.
  • Sultan Kedah dikehendaki menerima dan membayar gaji seorang Penasihat Kewangan yang dilantik oleh Siam bagi menasihati baginda mengenai soal-soal pentadbiran kewangan Kedah.
  • Sultan Kedah tidak dibenarkan membuat lain-lain pinjaman selagi pinjaman ini belum selesai.

Perjanjian Pinjaman Kedah-Siam membawa kesan dan perubahan dalam sistem pentadbiran negeri Kedah. Di antaranya ialah perlantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Yang Dipertua Mesyuarat Perundangan Negeri dan Williamson sebagai Penasihat Kewangan Kedah. Dengan perlantikan itu segala urusan Mesyuarat Perundangan Negeri adalah mengikuti nasihat W.F. Williamson.

Apabila Williamson berhenti, kerajaan Siam terpaksa meminjam J.C. Hart dari kerajaan Inggeris untuk meneruskan tugas-tugas pentadbiran kewangan.

Sejak peristiwa ini kerajaan Siam mulai sedar bahawa Kedah tidak menguntungkan sebagai jajahan takluk. Akhirnya pada 31 Mei 1909 semasa menandatangani perjanjian Siam-Inggeris, kerajaan Siam telah bersetuju menyerahkan Kedah kepada Inggeris.

Penyerahan ini memaksa Kedah menerima seorang penasihat Inggeris yang bertanggungjawab menasihatkan Sultan mengenai segala hal kecuali soal-soal agama Islam dan adat istiadat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
naning-bg
Sejarah

Perang Naning Berakhir 1832

15 Jun 1832 – Pada tahun 1832 peperangan di antara pihak Kerajaan Inggeris di Melaka dengan Naning yang lebih dikenali sebagai Perang Naning berakhir.

Peperangan itu dikatakan berpunca daripada keengganan orang-orang Melayu Naning membayar 1/10 daripada hasil pendapatan mereka kepada pihak berkuasa Kerajaan Inggeris di Melaka.

Orang-orang Melayu Naning diketuai oleh Penghulunya, Dato’ Naning Abdul Said atau Dol Said. Setelah beberapa kali gagal memujuk Dato’ Naning supaya membayar ufti 1/10, pada bulan Julai 1831, satu pasukan seramai 150 orang askar Sepoi dengan dua buah meriam telah dihantar oleh kerajaan Inggeris ke Naning untuk menghancurkan pasukan Dato’ Naning dan orang-orangnya.

Askar-askar ini telah ditentang dan dikalahkan oleh orang-orang Dato’ Naning dengan bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban yang merupakan menantu Raja Ali.

Serangan ini adalah merupakan serangan yang pertama. Inggeris sedar bahawa kekuatan Naning dan Rembau tidak mudah dikalahkan.

Oleh itu dari bulan September 1831 hingga Januari 1832 beberapa siri rundingan di antara Raja Ali dari Rembau dan pihak kerajaan Inggeris di Melaka telah diadakan dan akhirnya pada 28hb Januari. 1832 satu perjanjian telah dipersetujui dan ditandatangani.

Mengikut perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bersetuju tidak akan menyerang di antara satu sama lain dan Rembau diiktiraf sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran kerajaannya.

Sebagai ganjaran, Raja Ali menarik balik pasukannya daripada Naning dan mengurangkan kekuatannya kepada kira-kira 600 orang dan beberapa bulan kemudian bergabung dengan pasukan Inggeris.

Pada bulan April, 1832 pasukan Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban dan askar-askar Inggeris berjumlah kira-kira 1,200 hingga 1,400 orang yang diketuai oleh Kolonel Herbert menyerang Naning bagi kali yang kedua.

Dalam serangan kali kedua ini, dan setelah berlaku beberapa pertempuran selama lebih kurang dua bulan, Taboh, ibu negeri dan pusat gerakan Dato’ Dol Said dapat ditawan dan Dato’ Dol Said serta pengikut-pengikutnya berundur.

Dengan berakhirnya perang Naning pada hari ini dalam tahun 1832, telah memberi ruang kepada Inggeris untuk menawan Naning.

Perang Naning telah membuktikan semangat juang yang tinggi di kalangan orang-orang Melayu dalam mempertahankan maruah dan hak bangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard