sir_andrew_clarke-800px
Sejarah

Perlantikan Sir Andrew Clarke Sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat

4 November 1873 – Pada tahun 1873, kerajaan Inggeris telah melantik Sir Andrew Clarke sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat bagi menggantikan Sir Harry Ord. Perlantikan Sir Andrew Clarke dicatatkan sebagai sejarah penting dalam siri penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.
Ini kerana melalui tindakan dan dasar-dasar beliau, sebahagian dari cita-cita penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Ini kerana melalui tindakan dan dasar-dasar beliau, sebahagian dari cita-cita penjajahan Inggeris di negeri ini telah dapat disempurnakan.

Dilahirkan dalam tahun 1924, Andrew Clarke telah ditauliahkan sebagai seorang pegawai dalam Pasukan Kejuruteraan Diraja England dan pernah berkhidmat di Australia dan New Zealand. Beliau juga pernah menjadi Menteri Kabinet dalam Parlimen Inggeris dan ini menjadikan beliau mahir dengan percaturan politik dan dasar penjajahan Inggeris. Perlantikan beliau sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat pada hari ini dalam tahun 1973, memberi peluang kepadanya untuk mempraktikkan segala pengalaman dan kemahiran tersebut. Beliau mendapat kepercayaan sepenuhnya dari kerajaan Inggeris malah beliau dikenali sebagai ’Imperialis Unggul’.

Sir_Andrew_Clarke

Sir Andrew Clarke

Ketokohan sebagai ’Imperialis’ di Tanah Melayu bermula dengan penglibatan dalam Perang Larut dan dalam perebutan takhta kerajaan Perak. Hasilnya dalam masa dua bulan, Clarke berjaya memujuk Raja Abdullah dan penyokong-penyokongnya untuk menandatangani Perjanjian Pangkor, yang memberikan Inggeris kuasa mentadbir negeri itu melalui perlantikan Residen.

Di Selangor, Clarke telah mengambil kesempatan untuk campur tangan dalam Perang Saudara antara anak-anak Raja dan pembesar-pembesar Selangor. Beliau akhirnya berjaya memujuk Sultan Abdul Samad untuk menyerahkan Selangor kepada pentadbiran Inggeris dan menempatkan seorang Residen.

Clarke juga bertanggungjawab membawa Negeri Sembilan di bawah pengaruh Inggeris. Penglibatannya dalam persengketaan merebut kuasa di Sungai Ujung dan Rembau telah memberi peluang kepada Inggeris untuk berkuasa di negeri itu.

Kebanyakkan tindakan yang dilakukan oleh Andrew Clarke, adalah merupakan keputusan peribadi beliau. Sebagai contoh, Clarke hanya memberitahu Pejabat Tanah Jajahan di London mengenai campur tangannya di Perak selepas seminggu beliau bertindak. Meskipun begitu tindakan Clarke itu mendapat restu sepenuhnya dari Inggeris dan adalah keputusan yang bijak bagi Inggeris melantik Sir Andres Clarke sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat, pada hari dalam tahun 1873.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_tahta_perak-800px
Sejarah

British Mengambil Alih Kuasa Pentadbiran Negeri Perak

12 Oktober 1875 – Pada tahun 1875, Sultan Abdullah Sultan Perak di dalam keadaan serba salah dan dengan desakan J.W.W. Birch terpaksa menandatangani surat persetujuan menyerah kuasa pentadbiran Negeri Perak kepada Inggeris. Dengan ini bermulalah pentadbiran Inggeris secara langsung keatas Negeri Perak.

Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari , 1874 tidak dapat menyelesaikan persengketaan politik malah telah merumitkan lagi keadaan politik Negeri Perak. Dalam beberapa perundingan yang menghasilkan Perjanjian Pangkor, hanya Raja Abdullah dan penyokong-penyokongnya sahaja yang hadir, sementara Sultan Ismail dan Raja Yusuf iaitu pembesar-pembesar yang harus terlibat tidak hadir di dalam perjumpaan tanpa dirancang itu. Ini menggambarkan bahawa Sir Andrew Clark hanya berminat untuk melantik Sultan yang sesuai dengan kehendak-kehendaknya.

sir andrew_clarke

Sir Andrew Clarke

Ini menimbulkan kemarahan kepada Sultan Ismail dan Raja Yusuf lalu menyatakan penentangan mereka terhadap perjanjian itu. Pembesar-pembesar Negeri Perak menyatakan mereka masih belum menyerahkan kuasa pentadbiran Perak kepada Inggeris. Ini dapat dibuktikan bahawa Sultan Abdullah bukan merupakan Sultan yang sah kerana Baginda tidak memiliki Regalia (Alat kebesaran) Negeri Perak.

Sementara Sultan Ismail, yang mendapat sara hidup seperti tercatit di dalam Perjanjian Pangkor menganggap Baginda berhak mewarisi takhta kerana memiliki (Alat Kebesaran). Baginda Sultan Ismail yang mendapat sokongan dari setengah-setengah pembesar Perak terus menjadi Sultan di Hulu Perak. Dengan keadaan begini terdapat dua Sultan yang memerintah di Negeri Perak di dalam suatu masa. Raja Yusuf yang diketepikan oleh perjanjian itu juga menyuarakan Baginda berhak mewarisi takhta.

Inggeris ketika itu yang baru mula melibatkan diri dalam hal ehwal pentadbiran Negeri Perak merasa tidak senang dengan persengketaan itu yang akan menjejaskan dasar kolonialisme dan Imperialismenya. Bimbang dengan keadaan itu, William Jervois, Gabenor Negeri-Negeri Selat lalu mengadakan lawatan ke Negeri Perak pada bulan September 1875. Beliau telah menemui Sultan Ismail dan Raja Yusuf.

Dalam menghadapi masalah itu pihak Inggeris bermain politik kayu tiga. Ini dapat dibuktikan di dalam pertemuan antara William Jervois dengan Sultan Ismail dimana Sultan Ismail diberi pengakuan akan dilantik menjadi Sultan Perak kerana persetujuan baginda menerima pentadbiran Inggeris. manakala Raja Yusuf pula bersetuju Inggeris mengambil alih pentadbiran di Perak kiranya beliau tidak diganggu dan diberi pendapatan yang lumayan.

j.w.w. birch

J.W.W. Birch

Sementara itu J.W.W. Birch memainkan peranannya dengan menghubungi Sultan Abdullah. Beliau menyediakan draf surat untuk ditandatangani oleh Sultan Abdullah bagi penyerahan Negeri Perak kepada Pentadbiran British. Sultan Abdullah mula merasakan dirinya serba salah kerana baginda mengetahui tentang kedudukan Sultan Ismail yang akan dilantik menjadi Sultan Ismail yang akan dilantik menjadi Sultan hasil dari hasutan J.W.W. Birch.

Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1875, Baginda dengan rasa serba salah terpaksa menandatangani surat persetujuan Inggeris campur tangan secara langsung keatas pentadbiran Negeri Perak. Surat tersebut diserahkan kepada William Jervois melalui J.W.W. Birch.

Sebaik-baik sahaja William Jervois menerima surat penyerahan kuasa tersebut, beliau mengarahkan supaya surat itu dicetak dan disebarkan kepada rakyat Negeri Perak. Perisytiharan ini menimbulkan kemarahan Datuk Seri Maharaja Lela.

Sultan Abdullah terpaksa berangkat ke Pasir Salak dan menerangkan kepada Datuk Seri Maharaja Lela mengenai perkara sebenarnya dimana baginda telah didesak oleh J.W.W. Birch. Datuk Seri Maharaja Lela mulai membenci J.W.W. Birch dan akhirnya membawa kepada pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard