logo_kpfb-800px
Sejarah

Pelancaran Koperasi Rancangan-Rancangan Felcra

27 Oktober 1984 – Pada tahun 1984, Koperasi Rancangan-rancangan FELCRA telah dilancarkan dengan rasminya oleh Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah Dato’ Seri Mohd. Adib Adam. Koperasi itu bertujuan untuk membantu peneroka-peneroka rancangan FELCRA dan bagi mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh petani.

Kewujudan Koperasi Rancangan FELCRA juga dapat meringankan bebanan peneroka terutama berkaitan dengan harga barangan keperluan harian dan juga dapat memberi bantuan pinjaman kewangan. Di samping itu koperasi tersebut turut mengambil bahagian dalam perniagaan dan perusahaan serta dapat membantu meninggikan lagi taraf sosio-ekonomi para peneroka FELCRA.

Menurut Datuk Seri Adib, usaha sebegini akan dapat membantu kerajaan dalam menjayakan matlamat dasar Pertanian Negara. Dengan pelancaran Koperasi Rancangan FELCRA pada hari ini dalam tahun 1984, telah dapat menjamin kebajikan dan kesejahteraan para peneroka serta berjaya menjadikan peneroka FELCRA sebagai peneroka yang cemerlang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malaysia_airlines_airbus-800px
Sejarah

Pelancaran Perkhidmatan Penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS)

30 September 1972 – Perkhidmatan Penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) telah dilancarkan dengan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang oleh Pemangku Perdana Menteri Tun Dr. Ismail pada tahun 1972. Hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Perhubungan Tan Sri Sardon Jubir dan Pengerusi MAS Encik G.K. Rama Iyer.

Dengan pelancaran tersebut kapal terbang MAS akan memulakan operasinya pada 1 Oktober 1972 dengan lebih 20 penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dengan menggunakan lambang ‘Wau Bulan’.

Walaupun MAS syarikat yang baru muncul tetapi ianya mempunyai warisan sejarah yang cemerlang daripada syarikat MSA yang mempunyai pengalaman yang luas dalam perkhidmatan penerbangan.

MAS bukan sahaja menjadi jambatan yang menghubungkan antara Malaysia Barat dengan Malaysia Timur tetapi juga menghubungkan Malaysia dengan negara-negara lain di dunia.

Sistem Penerbangan MAS sebagai ‘National Flag Carrier’ diharapkan dapat berkembang dengan lebih pesat membawa misi dan harapan rakyat Malaysia ke arah hubungan ekonomi dan sosial dengan dunia luar.

Pelancaran perkhidmatan penerbangan MAS pada hari ini dalam tahun 1972 diharap dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan udara di negara ini sebagai sebuah syarikat penerbangan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
fama_logo-800px
Sejarah

Pelancaran Fama

30 September 1965 – Pada tahun 1965, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar melancarkan penubuhan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA (Federal Agricultural Marketing Authority) di Bilik Gerakan Pembangunan Negara, Kuala Lumpur.

Lembaga ini ditubuhkan di bawah kuatkuasa Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965. FAMA ditubuhkan dengan tujuan untuk menyelia, menyelaras, mengawalselia dan memajukan pemasaran keluaran pertanian termasuk pengimportan dan pengeksportan.

Sesungguhnya, dengan pelancaran penubuhan FAMA pada hari ini dalam tahun 1965, telah dapat membantu melaksanakan pemasaran pertanian yang lebih berkesan dan sekaligus meningkatkan industri pertanian.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tiungsat-1-800px
Sejarah

Pelancaran TiungSat-1

26 September 2000 – Pada tahun 2000, Satelit Mikro pertama negara, TiungSAT-1 telah dilancarkan ke orbit pada jam 6.05 petang waktu Malaysia dari Pusat Pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.

Tiungsat-1

Satelit Mikro negara yang pertama ini dibina menerusi kerjasama teknikal antara Malaysia Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), Bahagian Sains Angkasa (BAKSA), Jabatan Perdana Menteri; dan Surrey Satellite Technology Limited (SSTL), United Kingdom.

TiungSAT-1 yang beratnya 50 kilogram ini mempunyai keupayaan mengambil gambar muka bumi pada resolusi 80 meter dari aras bumi untuk kegunaan pemantauan sumber perhutanan, pertanian dan pencemaran. Stesen setelit buminya terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Satelit mikro pertama yang berharga RM 34 juta ini dibangunkan oleh sekumpulan lapan jurutera dan pensyarah Malaysia melalui kerjasama pemindahan teknologi dan latihan mendalam dengan Surrey Satellite Technology Limited (SSTL), yang berpangkalan di Pusat Angkasa Lepasa Surrey di Universiti Surrey, United Kingdom.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard