2005_Proton_Waja_1.6-800px
Sejarah

Perdana Menteri Melancarkan Proton Waja

08 Mei 2000 – Proton Waja iaitu sebuah lagi kereta keluaran Proton telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad di Stadium Malawati Shah Alam Selangor pada tahun 2000.

Kereta Proton Waja ini merupakan sebuah model yang direka sepenuhnya oleh anak tempatan dan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 1 bilion untuk kos reka bentuk dan kejuruteraan fizikal. Dalam menyempurnakan pembuatan model Waja ini. Proton memerlukan masa selama 1.7 juta jam dengan menggunakan tenaga kerja seramai 300 jurutera.

proton_waja

Kenderaan ini dihasilkan dalam dua bentuk iaitu model GX 1.6 liter yang menggunakan enjin Mitsubishi dan GX 1.8 liter dengan menggunakan enjin Renault. Model Proton Waja ini menggunakan 95 peratus kompenen tempatan dan telah berjaya menjimatkan RM 400 juta hasil wang negara dari mengalir keluar akibat dari kos mengimport komponen. Kenderaan ini juga memiliki casisnya sendiri dan dijangkakan sebanyak 40,000 hingga 60,000 unit akan dikeluarkan dalam tempoh masa setahun.

Dari aspek ciri-ciri keselamatan pula Proton Waja mempunyai beg udara yang akan melindungi pemandu dari kecederaan akibat kemalangan. Selain itu juga proton waja memiliki struktur rangka yang kukuh dua kali ganda dari model-model keluaran proton yang lain. Enjin-enjin yang digunakan oleh model Proton Waja ini telah mendapat kelulusan piawaian ‘European Step’ dan mampu mencapai kelajuan 186 km/ sejam bagi model Waja 1.6 dan kepantasan mendaki ialah 12 saat dari 0 km/ sejam ke 100 km/ sejam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
map_lebuh_raya_timur_barat-800px
Sejarah

Pelancaran Pembinaan Lebuh Raya Timur Barat

09 April 1964 – Pada tahun 1964, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah melancarkan peringkat pertama pembinaan Lebuh Raya Timur Barat di Mukim Tersat, Kuala Berang, Terengganu. Lebuh raya sejauh 400 kilometer dan menelan belanja sebanyak 150 juta ini bermula dari Sungai Siput di negeri Perak melintasi negeri Kelantan hingga ke Kuala Berang, Terengganu. YAB Tun Abdul Razak menyifatkan, pembinaan lebuh raya ini sebagai satu simbol perpaduan rakyat dan lambang kemajuan dan pembangunan yang dirancang dan diusahakan oleh kerajaan untuk faedah rakyat.

Dengan pembinaan lebuh raya ini, beribu-ribu hektar tanah pertanian seperti getah, padi, kelapa sawit dan sebagainya akan dapat diterokai dengan adanya sistem perhubungan yang baik. Ia juga akan mendorong perlaksanaan pelbagai projek pembangunan seperti projek-projek hidro elektrik dan penempatan-penempatan baru yang memberi faedah kepada penduduk-penduduk desa di sekitarnya.

Tugu lebuh Raya Timur Barat

Di dalam ucapan perasmiannya, Tun Abdul Razak menyatakan bahawa kerajaan menumpukan perhatian untuk membasmi kemiskinan khasnya di kalangan penduduk desa dengan mengadakan pelbagai projek luar bandar melalui badan-badan tertentu seperti RIDA dan agensi-agensi swasta.

Tun juga menasihatkan penduduk-penduduk desa supaya tidak terpengaruh dengan anasir-anasir subversif yang bertujuan untuk merosakkan kemakmuran dan keamanan negara melalui dakyah-dakyah halus. Rakyat mestilah bersatu-padu dan bekerjasama dengan kerajaan untuk kepentingan Negara.

Dengan pelancaran pembinaan lebuh raya Timur Barat pada hari ini dalam tahun 1964, penduduk desa khasnya di kawasan-kawasan yang terlibat telah dapat menikmati hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
satelit_bumi_kuantan-800px
Sejarah

Perasmian Satelit Bumi Di Kuantan

06 April 1970 – Pada tahun 1970, Perdana Menteri, Y.T.M Tunku Abdul Rahman telah merasmikan Stesen Satelit Bumi di Kuantan. Dalam ucapan perasmiannya, Tunku menyifatkan peristiwa ini sebagai satu detik gilang – gemilang bagi Malaysia. Ini kerana Stesen yang bernilai RM9 juta ini telah menandakan satu kemajuan yang telah dicapai oleh negara dalam bidang telekomunikasi dan perhubungan dengan dunia luar.

Stesen yang mula dibina pada bulan Februari tahun 1969 ini dihubungkan dengan satelit diruang angkasa Laut Hindi iaitu INTELSAT 3 yang merentasi dengan India, Indonesia, United Kingdom dan Australia. Berikutan wujudnya Stesen Satelit Bumi ini seluruh rakyat Malaysia telah dapat menyaksikan siaran secara langsung pelancaran dan pendaratan kapal angkasa APOLLO di bulan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perasmian stesen bumi di Kuantan ini telah membuka lembaran baru kepada negara dalam sejarah telekomunikasi negara sejajar dengan perkembangan dan pengisian bagi sebuah negara yang merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
acv adnan
Sejarah

Kereta Perisai Malaysia ACV300 Adnan Dilancarkan

29 Mac 2003 – Pada tahun 2003, industri pertahanan negara mencatat sejarah dengan pelancaran unit pertama kereta perisai amfibi, ACV300 Adnan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Turut hadir, Sultan Pahang, Tuanku Ahmad Shah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Mohd.Zahidi Zainuddin.

acv-300_adnan

ACV300 Adnan

Model kereta perisai ini dipasang sepenuhnya oleh syarikat tempatan, DRB-Hicom Defence Technology Sdn. Bhd. (Deftech), anak syarikat DRB-Hicom Bhd. Di Majlis tersebut, Yang di-Pertuan Agong berkenaan menyampaikan 48 unit kereta perisai ACV300 Adnan kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Wira Mohamad Shahrom Abdul Rahman.

Nama kereta perisai ACV300 Adnan adalah mengambil nama sempena Leftenan Adnan, wira negara yang mempertahankan tanah air ketika menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
ktmb-800px
Sejarah

Khidmat Ekspres KTM Dari Kuala Lumpur Ke Singapura Dan Butterworth Bermula

29 Februari 1980 – Pengurus Penumpang Keretapi Tanah Melayu, Encik Zainal Abidin bin Abdul Talib, melalui satu sidang akhbar, bertempat di Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Kuala Lumpur, telah memaklumkan kepada para wartawan, bahawa Keretapi Tanah Melayu akan memulakan perkhidmatan laju antara bandar, bergelar Ekspres KTM, yang akan bertolak serentak dari Kuala Lumpur ke Singapura dan ke Butterworth pada pagi 1 Mac 1980.

Pelancaran perkhidmatan itu dirasmikan oleh Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu, Datuk Ishak bin Tadim. Perkhidmatan Ekspres KTM mengandungi 5 buah koc, 2 di antaranya berhawa dingin dan boleh memuatkan kira-kira 370 penumpang.

ktm_first logo

Perkhidmatan ekspres tersebut akan berlepas serentak dari Kuala Lumpur ke Singapura dan ke Butterworth pada jam 7 pagi dan dijangka tiba di Singapura pada jam 12.45 tengah hari dan di Butterworth pada jam 12.40 tengah hari.

Kedua-dua keretapi tersebut akan kembali ke Kuala Lumpur pada hari yang sama iaitu dari Singapura pada jam 1.15 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 7 malam manakala dari Butterworth pula pada jam 1.10 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.55 petang.

Keretapi Ekspres itu hanya akan berhenti di Ipoh bagi perkhidmatan ke Utara dan di Johor Baharu bagi perkhidmatan ke Selatan. Sesungguhnya dengan terlancarnya perkhidmatan ekspres KTM, diharap akan dapat memberi lebih keselesaan kepada para penumpang dan di samping itu, KTM diharap akan terus meningkatkan lagi mutu perkhidmatannya dengan lebih cemerlang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
proton_logo-800px
Sejarah

Proton Tandatangani Perjanjian Pengedaran Proton Di United Kingdom

23 November 1987 – Proton Saga merupakan kereta nasional yang pertama dikeluarkan oleh Malaysia pada tahun 1985. Semenjak mula diperkenalkan sehingga sekarang, ianya telah menjadi kenderaan yang digemari oleh semua golongan masyarakat Malaysia.

Untuk meluaskan lagi pasaran kereta proton ke peringkat antarabangsa maka pada hari ini 23 November 1987, Pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional, Tan Sri Jamil Jan dan Pengerusi Proton Cars (UK) Ltd., Encik David Alan Brown telah menandatangani perjanjian pengedaran kereta Nasional Proton Saga ke United Kingdom, Eire, The Isle of Man dan The Channel Islands.

proton

Pada pelancaran awal Proton Saga ke United Kingdom yang dijangka pada bulan Januari 1989, Proton Cars (UK) Ltd akan mengimport 5000 unit saga setahun dan bilangan ini akan ditambah kepada 14000 unit pada akhir tahun kelima.

Dalam ucapannya selepas menandatangani perjanjian pengedaran Proton Di United Kingdom, Tan Sri Jamil Jan telah berkata, bahawa usaha-usaha yang dibuat ini adalah merupakan satu peluang untuk Malaysia memajukan industri yang berasaskan kejuruteraan.

Katanya lagi, selain daripada memberikan lebih banyak peluang kepada industri tempatan mengeluarkan komponen bagi kegunaan saga, ia juga akan dapat menawarkan peluang pekerjaan selain dari meluaskan industri kejuruteraan tempatan.

Kereta Proton Saga yang akan dieksport ke United Kingdom ialah dalam dua bentuk model dan enam variasi (Sedan dan Sport Sedan). Kereta-kereta tersebut akan diubahsuai untuk mematuhi piawaian keselamatan dan kawalan gas buangan selain dari pemasangan tali keledar di bahagian belakang, reka bentuk lampu dan komponen `trim’ serta sistem kawalan enjen.

Perjanjian pada hari ini akan memberi laluan kepada Malaysia untuk meluaskan lagi perdagangan antarabangsanya. Di samping itu diharapkan program eksport Proton Saga ke United Kingdom yang menguntungkan ini, akan mendapat sokongan, kerjasama dan dedikasi semua pihak yang terlibat supaya kejayaan akan terhasil dengan jayanya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
ariane-800px
Sejarah

Pelancaran Measat–2

14 November 1996 – Pada tahun 1996, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyaksikan Satelit Asia Timur Kedua (Measat-2) dilancarkan ke orbit dari Pusat Angkasa Lepas Eropah di Kourou, French Guiana pada pukul 6.40 pagi waktu Malaysia.

Ariane

Ariane

Pelancaran satelit ini adalah merupakan rentetan kejayaan melancarkan Satelit Asia Timur Pertama (Measat-1) yang turut dilancarkan di tapak pelancaran serupa. Satelit Measat-2 ini telah dibina oleh syarikat Hughes Space and Communications Inc.dari Amerika Syarikat. Semasa proses pelancaran satelit ini Measat-2 akan dihantar menggunakan roket pelancar Ariane 44L milik konsortium Eropah ‘Arianespace’ dan berada di kedudukan 36,000 kilometer dari atas garisan khatulistiwa di orbit 148 darjah timur.

Ariane42P_rocket

Ariane42P

Measat-2 yang dilancarkan ini menjalankan fungsi komunikasi dan penyiaran secara serentak meliputi ASEAN, Myanmar, Hong Kong, Kemboja, Laos, Guam, Korea Selatan, Selatan China, Hawaii dan Australia. Satelit ini akan berada dalam orbitnya mengelilingi bumi selama 11 tahun 6 bulan.

Hari ini kejayaan melancarkan satelit sendiri ke orbit bukan sahaja menjadikan negara ini mampu menikmati kemudahan komunikasi yang berkesan malah Malaysia turut dapat bergerak seiring dengan negara lain di dunia yang memiliki kemudahan satelit.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
measat-1-800px
Sejarah

Satelit Pertama Malaysia

13 November 1991 – Pada tahun 1991, satu memorandum perjanjian telah ditandatangani bagi membina dan melancarkan satelit pertama Malaysia di Hotel Pelangi Resort, Langkawi. Satelit tersebut dinamakan Satelit Asia Timur Malaysia (MEASAT).

Ia ditandatangani di antara pembeli satelit perhubungan itu, Binariang Sdn. Bhd. dan pembuatnya, Hughes Communication International Inc. dan Arianespace dan merupakan syarikat Perancis yang melancarkan satelit tersebut ke angkasa daripada Korou di Guyana. Upacara tersebut telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Dato’ Seri S. Samy Vellu.

measat

Perjanjian tersebut diadakan sempena Pameran Udara dan Laut Antarabangsa Langkawi (LIMA ’91). Projek pembinaan satelit tersebut telah menelan belanja sebanyak $300 juta.

Pelancaran satelit yang pertama di Malaysia telah membuka satu lembaran baru dalam perkembangan bidang penyiaran di samping membuka ruang serta meningkatkan lagi perhubungan perniagaan antara Malaysia dengan negara-negara Asia Tenggara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Yayasan Pelajaran Mara Dilancarkan

31 Oktober 1968 – Pada tahun 1968, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) telah dilancarkan dengan rasminya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Usul pembentukan yayasan ini telah diluluskan oleh Kongres Bumiputera kali yang kedua. Tujuan utama yayasan ini ditubuhkan ialah untuk mengumpulkan sumber-sumber kewangan bagi membiayai anak-anak Melayu melanjutkan pelajaran mereka terutama di bidang ikhtisas.

Pembentukan yayasan ini dibuat di bawah Akta Mara dan seterusnya sebagai sebuah Badan Berkanun yang lain dengan pengurusan tertentu. Kempen-kempen bagi memenuhi matlamat ini telah dilakukan di seluruh negeri. Sumbangan-sumbangan diterima tidak semata-mata dari rakyat tetapi juga dari Kerajaan Negeri.

Matlamat asal yayasan ini ialah mahu mengumpul sejumlah RM250,000 dalam tempoh enam bulan, bagaimanapun di hari pelancarannya wang yang terkumpul telah melebihi RM500,000. Manakala di dalam daftar pula tidak kurang dari RM1.2 juta telah terkumpul.

Masalah kelemahan pelajaran anak-anak Melayu sering diperbincangkan, salah satu sebab keadaan ini ialah kemiskinan orang-orang Melayu sendiri. Kesedaran telah timbul untuk membaiki keadaan ini dengan memberi bantuan kewangan melalui yayasan.

Dengan pelancaran Yayasan Pelajaran Mara pada hari ini dalam tahun 1968, telah dapat membantu meningkatkan lagi pelajaran anak-anak Melayu di peringkat yang lebih tinggi demi kesejahteraan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard