upm_logo-800px
Sejarah

Pengisytiharan Nama Baru Universiti Pertanian Malaysia

03 April 1997 – Universiti Pertanian Malaysia menempa sejarah dengan pengisytiharan nama baru, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamad. Nama baru ini menggambarkan UPM menawarkan pelbagai bidang program termasuk sains dan teknologi di samping program berkaitan pertanian, perhutanan dan veterinar. Nama baru ini dipilih kerana lokasinya bersebelahan dengan Putrajaya dan mengambil sempena nama Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Sejarah penubuhan UPM bermula sejak penubuhan Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 dengan tujuan untuk menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian. Pada 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian dinaik taraf menjadi Kolej Pertanian Malaya. Pada 31 Mac 1969, Tun Abdul Razak Hussein telah mengutarakan penubuhan sebuah universiti pertanian yang menawarkan program pengajian di peringkat ijazah.

Sehubungan itu, penubuhan UPM telah menjadi kenyataan melalui Warta Kerajaan P.U. (A) 387 bertarikh 29 Oktober 1971 dan pada 23 Julai 1973, UPM memulakan sesi akademiknya dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. UPM mula mengeluarkan graduan pertamanya pada Majlis Konvokesyen pada 30 Julai 1977.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Dewan_Tunku_Canselor_Universiti_Malaya-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Malaya

31 Mac 1949 – Pada tahun 1949, Majlis Perundangan Persekutuan, Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Rang Undang-Undang Penubuhan Universiti Malaya. Penubuhan universiti ini adalah sejajar dengan kehendak-kehendak yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Carr-Saunders.

Rang Undang-undang ini kemudiannya telah ditandatangani oleh Pesuruhjaya Agung British di Asia Tenggara, Mr Malcom MacDonald selaku Canselornya yang pertama. Dato Onn bin Jaafar, Menteri Besar Johor pada waktu itu telah dilantik sebagai salah seorang daripada Pro-Canselornya. Naib Canselornya yang pertama ialah Dr G. V. Allen.

Sebagai sebuah Universiti yang pertama di negara ini penubuhannya telah disambut dan dialu-alukan oleh semua golongan rakyat. Rang Undang-undang Penubuhan Universiti Malaya itu dianggap sebagai yang paling progresif dan mempunyai implikasi yang menyeluruh dan dinamik kepada perkembangan pelajaran di Tanah Melayu pada keseluruhannya.

 

dewan_tunku_canselor

Upacara yang menandakan kewujudan Universiti itu telah dilakukan pada 8 Oktober 1949 di Dewan Raffles College, Singapura apabila Raffles College dan King Edward VII College of Medicine diisytiharkan sebagai sebahagian daripada Universiti Malaya, sebagaimana yang diperlembagakan dalam Rang Undang-undang penubuhannya.

Kerja-kerja pembinaan bagi jangka masa sepuluh tahun yang pertama dianggarkan menelan belanja sebanyak $3 juta, sementara perbelanjaan rencam untuk jangka masa yang sama ialah $5 juta sehingga kini. Universiti Malaya masih terus kekal sebagai sebuah universiti tempatan yang unggul di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
universiti_malaysia_kelantan-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

31 Mac 2006 – Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan di negeri Kelantan telah dijadikan sebagai salah satu komponen dalam Rancangan Malaysia Ke-9 bagi menyokong pembangunan modal insan berkualiti dalam sektor pendidikan tinggi negara. YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menubuhkan sebuah universiti di Kelantan dalam pembentangan RMK-9 pada 31 Mac 2006.

Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan ini telah mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pada 14 Jun 2006. Jemaah Menteri juga telah menetapkan supaya falsafah kurikulum pengajian di UMK berteraskan kepada pendidikan keusahawanan dan perusahaan (entrepreneurship education and enterprises) dalam semua program pengajian.

Oleh itu frasa rangsangan seperti Entrepreneurship is Our Thrust dan Entrepreneurial University digunakan dengan meluas. Pengkhususan pengajian untuk pembangunan jangka masa pendek dan sederhana dikelompokkan kepada tiga bidang pengajian iaitu Keusahawanan dan Perniagaan; Teknologi Kreatif dan Warisan dan Agro-industri dan Sains Sumber Asli.

Universiti Malaysia Kelantan

Universiti Malaysia Kelantan merupakan institut pengajian tinggi awam yang ke-19 ditubuhkan di Malaysia dan terletak di kampus sementara di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa. UMK telah mula beroperasi secara rasmi pada 1 Julai 2007 dengan pendaftaran pelajar sulung seramai 295 orang.

Kini, Universiti Malaysia Kelantan menumpang di Institut Perguruan Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan. Prof. Dato’ Ir. Dr. Zainai Mohamed telah dilantik sebagai naib canselor pertama Universiti Malaysia Kelantan, berkuatkuasa 1 Oktober 2006.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kolej_melayu_kuala_kangsar-800px.jpg
Sejarah

Ulang Tahun Kolej Melayu Kuala Kangsar Ke 100

26 Mac 2005 – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan mengisytiharkan Kolej Melayu Kuala Kangsar (Malay College Kuala Kangsar/MCKK) sebagai Warisan Bangsa dan Negara dalam satu acara penuh adat istiadat Melayu pada tahun 2005. Pemasyhuran yang dilakukan di hadapan beberapa Raja Melayu dan kerabat diraja bersempena ulang tahun Kolej Melayu Kuala Kangsar ke 100.

kolej_melayu_kuala_kangsar_ke100

Antara Raja-raja Melayu yang hadir ialah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar. Majlis bermula di Istana Iskandariah dengan penyerahan watikah oleh Pemegang Mohor Raja-raja kepada Yang di-Pertuan Agong dan watikah itu diarak dengan tujuh ekor gajah sejauh tiga kilometer ke Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Perarakan itu turut disertai oleh 100 anggota tentera dan 300 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pemasyhuran itu tepat dengan sejarah dan kegemilangan Kolej Melayu Kuala Kangsar yang berjaya mengekalkan kecemerlangannya sebagai gedung ilmu bagi pelajar Melayu sejak penubuhan pada tahun 1905.

Sesungguhnya sepanjang usia penubuhannya, Kolej Melayu Kuala Kangsar telah melakar sejarah sebagai sebuah sekolah paling banyak melahirkan cerdik pandai Melayu daripada kalangan pemimpin, pentadbir dan tokoh korporat negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
majlis_amanah_raya
Sejarah

Majlis ITM Ditubuhkan Untuk Mentadbir Institut Teknologi Mara

14 Mac 1970 – Usaha untuk melatih kaum bumiputera dalam bidang-bidang profesional telah dimulakan sejak negara mencapai merdeka. Berbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya membuka Dewan Latihan RIDA yang berperanan untuk memberikan latihan kepada bumiputera di dalam bidang-bidang yang tidak dapat diberikan oleh badan-badan kerajaan yang lain, termasuklah bidang perniagaan dan perindustrian.

Dewan_Latehan_Rida

Dewan Latihan Rida 1956

Dewan Latihan RIDA ini kemudian dikenali sebagai Maktab MARA dan selepas itu dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM). Urusan pentadbirannya dipisahkan daripada Bahagian Latihan MARA pada 14 Mac 1970.

Tarikh ini merupakan permulaan zaman baru dalam pentadbiran Institut Teknologi MARA yang ditadbir oleh satu majlis yang dikenali sebagai Majlis ITM atau Governing Council. Ahli-ahli Majlis ITM adalah terdiri dari seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan ahli antara 9 hingga 17 orang yang akan dilantik oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Tugas dan tanggungjawab Majlis diterangkan dengan terperinci dalam Majlis Amanah Rakyat Act 1966 dan MARA (Institute Technology) Regulations 1970.

Lima Jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Majlis ITM untuk tujuan pentadbiran iaitu:-

  • Finance and Development Committee
  • Personnel Management Committee
  • Board of Studies
  • Board of Student Welfare
  • Board of Examinations

Pengerusi pertama Majlis ini ialah Y. Bhg. Tan Sri Ghazali Shafie dan Timbalan Pengerusi pula YAB. Datuk Mansor Osman. Bermula dari perubahan pentadbiran ini Institut Teknologi MARA telah dapat mengembangkan sayapnya untuk melatih bumiputera dalam bidang-bidang profesional.

ITM Shah Alam

ITM Shah Alam

Kejayaan ini adalah hasil kegigihan dan kesungguhan pihak pentadbiran yang ketika itu diterajui oleh Datuk Dr. Arshad Ayub selaku Ketua Eksekutif ITM. Beliau adalah orang yang telah banyak berjasa dan berjaya memperkenalkan ITM bukan sahaja di dalam negara malah telah meningkatkan lagi perhubungan dengan universiti luar negara termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan negara-negara Eropah.

Sehingga hari ini Institut Teknologi MARA telah berjaya melahirkan ramai ahli profesional yang setaraf dengan lepasan institusi luar negara. Pelajar-pelajar lepasan ITM telah dapat membantu negara mencapai matlamat pembangunan negara dan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di dalam bidang-bidang yang sebelum ini tidak dapat diceburi oleh mereka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upsi-800px
Sejarah

Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris

29 November 1922 – Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim telah dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Setiausaha bagi Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, W.G. Maxwell pada tahun 1922. Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris merupakan puncak pelajaran anak-anak Melayu ketika itu, terutama bagi pelajar-pelajar lepasan sekolah-sekolah Melayu yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dari setakat darjah enam. Keputusan untuk menubuhkan Maktab ini dibuat dalam Mesyuarat Residen-residen British pada 10 Mei 1917.

Keputusan tersebut diambil berdasarkan laporan mengenai perkara itu yang dicadangkan oleh Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negcri Melayu Bersekutu, R.O. Winstedt. Beliau juga mencadangkan maktab ini diberi nama Maktab Perguruan Sultan Idris, sebagai satu penghormatan kepada DYMM Sultan Idris, iaitu Sultan Perak kerana minat yang ditunjukkan oleh Baginda dalam perkembangan pelajaran di negeri itu khususnya bagi pelajaran anak-anak Melayu.

Kerja-kerja membina maktab ini bermula dalam tahun 1919 dan siap pada tahun 1922. Sekumpulan 120 orang telah menjadi pelajar perintis maktab ini. Pengetuanya yang pertama ialah O.T. Dussek dan tenaga pengajar lain terdiri daripada tujuh orang guru Melayu, tiga orang Eropah dan seorang guru anyaman berbangsa Filipina. Tujuan utama penubuhan maktab ini ialah untuk menyediakan guru-guru yang dapat memajukan bidang pertanian, pertukangan dan anyaman apabila mereka pulang ke kampung. Pelajaran pertanian asas merupakan matapelajaran utama.

Walau bagaimanapun, pelatih-pelatih lepasan MPSI telah mencapai kejayaan lebih jauh dari matlamat penubuhannya. Pengaruh buku-buku Indonesia dan Sejarah Alam Melayu yang terdapat di maktab itu telah menanam bibit-bibit kesedaran kebangsaan di kalangan beberapa orang pelajar hingga melahirkan tokoh-tokoh politik yang terkemuka seperti Ibrahim Yaakub, Senu Abdul Rahman, Abdul Ghaffar Baba, Abdul Rahman Talib dan lain-lain lagi.

Di samping tokoh-tokoh politik, MPSI juga telah melahirkan sasterawan terkenal tanahair dan juga tokoh-tokoh dalam bidang pendidikan seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidik, Masuri, S.N. Kemala, A. Wahab Ali, Awang Had Salleh dan Atan Long.

Jabatan Karang-Mengarang yang ditubuhkan di maktab tersebut dalam tahun 1925, membantu melahirkan tokoh-tokoh berkenaan khususnya di bidang kesusasteraan. Jabatan ini bergiat cergas menerbitkan berbagai- bagai jenis buku pelajaran, buku-buku terjemahan dan karya asli pelajar-pelajar sendiri.

MPSI terus berkembang dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman. la kini membuka pintunya kepada pelajar-pelajar perempuan, memecahkan tradisi lama maktab yang hanya mengambil pelajar lelaki.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dewan_bahasa-800px
Sejarah

Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan

19 Julai 1964 – Pada tahun 1964, Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan telah ditubuhkan untuk menentang anasir-anasir yang menghalang pelaksanaan Bahasa Kebangsaan.

Barisan Bertindak Rakyat Malaysia yang telah dipengerusikan oleh Encik Melan Abdullah telah memberikan jaminan bahawa barisan tersebut akan memberi sokongan kepada setiap tindakan untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan.

Perjumpaan menubuhkan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan yang telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka itu telah di hadiri oleh ramai pencinta bahasa termasuklah pensyarah maktab, wartawan tempatan, penulis dan pelajar yang semuanya berjumlah 70 orang.

Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan berperanan untuk memperjuangkan Bahasa Kebangsaan dan mencapai matlamat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Rasmi menjelang tahun 1967.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menimbulkan dan meneguhkan semangat perjuangan bahasa serta memelihara kesucian serta kedaulatan Bahasa Melayu.

Penubuhan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan ini telah menyumbang ke arah mengukuh dan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam sebuah negara yang bebas dan merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard