dymm_agong_pertama-800px
Sejarah

Pemilihan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama

03 Ogos 1957 – Pada tahun 1957, satu Persidangan Khas Raja-raja Melayu telah diadakan bagi memilih Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama dan Timbalannya bagi Persekutuan Tanah Melayu Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Persidangan yang telah berlangsung di Dewan Mesyuarat Majlis Kerja Kerajaan Persekutuan, Kuala Lumpur ini dipengerusikan oleh Sultan Kedah.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalannya telah dilangsungkan mengikut syarat-syarat bahagian tiga dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di Persidangan Raja-Raja Melayu yang ke-43.

Kesemua Raja Melayu telah hadir pada Persidangan Khas ini kecuali Sultan Johor yang berada di Eropah dan telah diwakili oleh Tengku Mahkotanya.

Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad

Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad

Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama, sementara DYMM Tuanku Hisamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara telah menjadi lambang kepada Persekutuan Tanah Melayu yang bebas dan Merdeka.

YDP Agong Malaysia pertama

Gambar potret baginda masih lagi digunakan di atas wang kertas Ringgit Malaysia sejak siri pertama (tahun 1967) sehingga kini.

Wajah DYMM Agong RM50

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
durbar_pertama-800px
Sejarah

Persidangan Raja-Raja Melayu DURBAR Kedua

20 Julai 1903 – Pada tahun 1903, Persidangan Raja-raja Melayu Durbar kedua telah diadakan di Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dihadiri oleh Sultan-sultan Melayu dan Pembesar-pembesar negeri.

Antaranya Sultan Perak, Sultan Idris Mersid AI-Azam Shah; Sultan Selangor, Sultan Sulaiman Shah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad, Residen-residen British pula terdiri dari J.P. Rodger (Perak), H. Conway Belfield (Selangor), D.G. Campbell (Pahang) dan W. Egerton (N. Sembilan).

Persidangan kali kedua ini telah dirasmi dan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham. Beliau dibantu oleh Residen Jeneral, W.H. Treacher. Peruntukan sebanyak RM80,000 telah diluluskan untuk perbelanjaan persidangan ini.

Perkara-perkara yang dibincangkan antara lain berhubung dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, pengambilan orang-orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan, peruntukan rumah-rumah dan balai-balai bagi Penghulu.

Turut dibincanakan juga berkenaan perluasan penanaman padi dan kelapa di kalangan orang-orang Melayu, pelaburan tabung Negeri-negeri Melayu Bersekutu dalam Pembinaan Jalan Keretapi Johor dan sebagainya.

Persidangan Durbar kedua yang berlangsung selama empat hari ini telah memberi erti yang besar kepada Raja-raja Melayu. Ia bukan sahaja memberi kesempatan bersuara malah ia juga telah membuka peluang kepada Raja-raja Melayu memperjuangkan hak-hak mereka demi kepentingan orang-orang Melayu.

Sultan Idris, Perak adalah yang paling banyak mengemukakan pendapat. Baginda menentang usul Inggeris bagi menyatukan Negeri-negeri Melayu kerana ini akan mengakibatkan Sultan kehilangan kuasa mutlak.

Baginda juga berharap negeri-negeri ini dikekalkan sebagai entiti yang berasingan bagi menjamin kuasa Sultan-sultan.

Persidangan ini juga telah membuka jalan ke arah Penubuhan Majlis Persekutuan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
seri_menanti-2-800px
Sejarah

Penubuhan Konfederasi Negeri Sembilan

13 Julai 1889 – Dalam tahun 1889, satu persetujuan penubuhan Konfederasi Negeri Sembilan telah dicapai. Yamtuan Besar Seri Menanti Tuanku Mohamad ibni Almarhum Tuanku Antah bersama-sama pemerintah-pemerintah Johol (termasuk Gemencheh), Inas, Ulu Muar, Jempol, Gunung Pasir dan Terachi, bersama-sama dengan Tunku Syed Hamid pemerintah Tampin dan Dato Setia Raja dari Rembau dengan rasminya telah bersetuju menerima perlindungan British melalui satu perjanjian yang telah ditandatangani bersama oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith.

Yamtuan Besar Tuanku Muhammad Shah

Yamtuan Besar Tuanku Muhammad Shah

Persetujuan juga dicapai untuk melantik Residen British bagi membantu pentadbiran Kerajaan Konfederasi ini. Dengan penubuhan Konfederasi ini, maka kawasan Negeri Sembilan terbahagi kepada dua daerah pentadbiran yang diakui oleh Inggeris.

Yang pertama ialah kawasan bahagian Timur yang mengandungi Sungai Ujung (termasuk Jelebu) di bawah Residen Sungai Ujung iaitu W.F.B. Paul, manakala bahagian Barat dengan nama Negeri Sembilan terletak di bawah Residen Negeri Sembilan, Martin Lister.

Setiap daerah ini ditadbir secara berasingan dan mempunyai organisasi pentadbirannya yang tersendiri seperti Pasukan Polis dan jabatan-jabatan yang menguruskan yang menguruskan pendapatan dan perbelanjaan negeri.

Pada 8 Ogos 1895, satu lagi perjanjian telah ditandatangani di hadapan Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Charles Bullen Hugh Mitchell mengenai penubuhan Konfederasi Negeri Sembilan yang lebih besar dengan Martin Lister telah dilantik sebagai Residennya yang pertamanya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
durbar_pertama-800px
Sejarah

Sidang Raja-Raja Melayu (DURBAR) Yang Pertama

13 Julai 1897 – Pada tahun 1897, Sidang Raja-raja Melayu (Durbar) yang pertama, telah diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar. Hadir di dalam Sidang Durbar ini ialah DYMM Sultan Perak, Sultan Idris; Sultan Pahang, Sultan Ahmad; Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad dan Yam Tuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad. Baginda Raja-raja Melayu telah diiringi oleh Orang-orang Besar.

Hadir bagi pihak Kerajaan British pula ialah Sir Charles Mitchell, Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Hugh Clifford, Residen Pahang; J.P. Rodger, Residen Selangor dan W.H. Treacher, Residen Negeri Perak.

Sidang Durbar ini merupakan persidangan Raja-raja Melayu yang pertama diadakan di mana Sultan-sultan, dan Pembesar-pembesar Melayu dapat bertemu dalam satu perjumpaan yang besar. Bagaimanapun ia juga merupakan persidangan Raja-raja Melayu dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu sahaja.

Tujuan utama Sidang Durbar ialah untuk memperlihatkan kepada Raja-raja Melayu tentang keadaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan bertukar-tukar fikiran mengenai negeri masing-masing.

Dalam persidangan ini perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan lain-lain masalah yang tertentu mengenai kepentingan Orang-orang Melayu telah dibincangkan.

Hasil daripada persidangan seperti ini, seperti yang dinyatakan oleh Residen General, Sir Frank Swettenham, ia telah mendekatkan lagi realiti Negeri-Negeri Melayu Bersekutu kepada orang-orang Melayu di keempat-empat buah negeri itu – Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan dan menyedarkan mereka untuk bersatu dalam hal-hal yang bersangkut-paut dengan hal-hal kepentingan bersama dan mengeratkan hubungan peribadi.

Selain daripada itu, ia tidak menghasilkan sebarang kepentingan pentadbiran kerana tidak ada apa yang boleh diputuskan dalam persidangan itu oleh kerana Raja-raja itu tidak dibenarkan bersuara selain daripada hal-hal yang berkaitan dengan negeri masing-masing. la semata-mata merupakan sebuah badan penasihat.

Bagaimanapun persidangan ini telah membuka jalan kepada Raja-raja Melayu untuk mengenali sistem pentadbiran penjajah British dan dengan itu dapat memberi teguran-teguran yang bernas seperti yang pernah disuarakan oleh Sultan Idris Perak dalam Durbar Kedua yang berlangsung pada 20 hingga 23 Julai 1903.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

01 Julai 1896 – Pada tahun 1896, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor telah bergabung menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbirannya.

Usaha kearah penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini bermula menjelang tahun 1892 apabila didapati bahawa Sistem Residen telah tidak sesuai lagi dan tidak dapat memenuhi kehendak pentadbiran penjajah Inggeris di Tanah Melayu.

Cadangan rasmi yang pertama bagi mengadakan suatu bentuk persekutuan datangnya dari Sir Charles Lucas, seorang Pegawai Tetap di Pejabat Jajahan London dalam bulan Mac 1892 yang telah diasaskan dari perbincangan dengan Frank Swettenham. Penjajah British mendapati bahawa sistem yang paling sesuai bagi negeri-negeri Melayu ialah satu sistem di mana pentadbirannya diseragamkan supaya negeri-negeri yang lebih kuat dan kaya akan dapat membantu negeri-negeri yang lemah dan kurang mewah.

Sir_Frank_Swettenham_1904-800px

Sir Frank Swettenham

Untuk melaksanakan rancangan ini, pada tahun 1895, Frank Swettenham telah diutus ke negeri-negeri yang berkenaan untuk menerangkan rancangan tersebut kepada Raja-Raja Melayu serta mendapatkan persetujuan mereka. Frank Swettenham telah berjaya mendapatkan persetujuan daripada Raja-Raja berkenaan.

Hasilnya satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan 1895 telah ditandatangani di antara Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith bagi pihak Kerajaan British dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris, Perak; Sultan Suleiman, Selangor; Sultan Mahmud, Pahang; dan Yam Tuan Besar Sri Menanti, Dato Bandar Sungai Ujong, Undang Johol, Undang Rembau dan Tengku Dewa Tampin.

Menurut perjanjian penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini, Raja-Raja yang berkenaan bersetuju menempatkan diri mereka dan negeri-negeri mereka di bawah lindungan Kerajaan British dan menjadikan negeri-negeri mereka satu persekutuan yang akan dikenali sebagai Protected Malay States yang akan ditadbir dengan nasihat dari Kerajaan British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
logo_polis-800px
Sejarah

Pembentukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

01 Julai 1896 – Pada tahun 1896, Polis Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah menjadi Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.  Pembentukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini adalah ekoran dari penyatuan Negeri-Negeri Melayu tersebut di bawah kuasa pentadbiran Kolonial Inggeris, yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

Kapten H.C.Syers telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, bagi tujuan mengendalikan tugas-tugas pasukan ini.  Sebelum menjawat jawatan ini, Kapten Syers  adalah Ketua Polis bagi negeri Selangor yang bergelar ‘Captain Superintendent’. Tempat beliau telah digantikan oleh Ketua Polis negeri Perak bernama  Christian Wagner.

Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru dibentuk ini terdiri dari pegawai-pegawai British, orang-orang Sikh dan orang-orang Melayu.  Pasukan ini mempunyai pakaian seragamnya sendiri berwarna biru dari jenis kain benang bulu dengan bintang dan lencana yang berbeza mengikut negeri-negeri.

Pembentukan Pasukan Polis Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan menjadi Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun ini, sesungguhnya merupakan satu langkah yang bijak bagi Inggeris untuk memastikan keamanan wujud di negeri-negeri Melayu yang dijajahnya.  Cara ini membolehkan pihak Inggeris menjalankan pentadbirannya dengan lebih licin dan berkesan lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard