Muzium_Negeri_Sembilan-800px
Sejarah

Pindaan Perlembagaan Negeri Sembilan Diluluskan

27 Mac 1959 – Dalam tahun 1959, Majlis Negeri Sembilan telah meluluskan Pindaan Perlembagaan Negeri Sembilan. Majlis Negeri Sembilan yang lama akan dibubarkan pada 14 April 1959.

jata negeri sembilan

Pindaan utama di dalam Perlembagaan Negeri Sembilan ialah pembentukan Dewan Perundangan yang mempunyai 24 ahli dengan seorang Menteri Besar yang dipilih. Ia juga mewujudkan Dewan Keadilan dan Undang. Dewan ini akan memberi nasihat kepada pemerintah di dalam perkara-perkara yang dirujuk kepada Dewan ini oleh Pemerintah dan Undang.

Dewan ini dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Pindaan Perlembagaan ini juga telah mengiktiraf perlantikan Dato Shahbandar, Sungai Ujong. Pindaan Perlembagaan Negeri Sembilan telah banyak membawa perubahan di dalam sistem pentadbiran Negeri Sembilan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
terengganu_dewan_undangan-800px
Sejarah

Pindaan Perlembagaan Negeri Terengganu Diluluskan

24 Mac 1959 – Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu telah melangsungkan Persidangan dan telah meluluskan dengan sebulat suara pindaan kepada perlembagaan negeri Terengganu untuk mengadakan cara-cara baru dalam pentadbiran negeri itu.

Menurut sistem yang baru dan bakal diperkenalkan itu, negeri Terengganu akan mempunyai sebuah Dewan Undangan Negeri yang kesemua sekali ahli-ahlinya dipilih oleh rakyat bukannya dengan lantikan seperti sebelum ini. Perlembagaan negeri Terengganu yang dipinda ini akan berkuatkuasa pada 30 April 1959 apabila Majlis Mesyuarat Negeri yang ada sekarang yang diketuai oleh Menteri Besar Dato’ Haji Kamaruddin Idris dibubarkan.

Apabila Majlis Mesyuarat Negeri dibubarkan, sebuah kerajaan sementara akan dibentuk untuk menjalankan urusan pentadbiran negeri dari 30 April sehinggalah Dewan Undangan yang baru ditubuhkan. Dengan pembubaran majlis Mesyuarat Negeri itu juga membolehkan satu pilihanraya diadakan dan rakyat akan memilih wakil-wakil mereka sendiri dalam Dewan Undangan berdasarkan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan.

Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan Negeri Terengganu pada hari ini dalam tahun 1959 telah membawa satu era baru dalam pentadbiran negeri tersebut iaitu memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang akan menerajui negeri Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
briggs_plan-800px
Sejarah

Pelantikan Briggs Sebagai Pengarah Gerakan Menentang Pengganas Komunis

21 Mac 1950 – Pada tahun 1950, Leftenan General Sir Harold Rawdon Briggs dilantik sebagai Pengarah Gerakan menentang pengganas komunis. Beliau ditugaskan untuk merancang, menyelaras dan mengarah gerakan-gerakan anti pengganas yang sedang dijalankan oleh pasukan polis dan angkatan bersenjata.

Briggs yang berpengalaman luas dalam peperangan di Eropah dan Perang Jepun, mengemukakan rancangannya setelah dua minggu tiba di Kuala Lumpur dan setelah melawat dan bertukar pendapat dengan rakyat di kawasan-kawasan yang terlibat. Rancangan beliau ialah untuk mengasingkan musuh dari mendapat bekalan makanan dan maklumat risikan, memancing mereka ke kawasan pertempuran yang ditentukan oleh pasukan keselamatan, dan memberikan perlindungan kepada orang ramai yang terdedah kepada ancaman dan sebagai sumber maklumat dan bekalan makanan. Beliau menetapkan dengan jelas dan terperinci peranan pihak polis dan tentera dan menggunakan kedua-duanya untuk merancang dan menyelaras gerakan menentang komunis.

Briggs juga menubuhkan “Kabinet Perang” di semua peringkat. Di peringkat atas ialah Majlis Perang Persekutuan (Federal War Council) yang terdiri daripada beliau sendiri, Ketua Setiausaha Kerajaan, Pesuruhjaya Polis, Pemerintah-pemerintah Angkatan Bersenjata dan Tentera Udara di Tanah Melayu.

Di peringkat negeri pula terdapat jawatankuasa Kerja Perang Negeri (State War Executive Committee-SWEC) yang terdiri daripada Menteri Besar/Ketua Menteri sebagai Pengerusi, Ketua Pegawai Polis dan Pemerintah tentera tempatan (negeri). Di tiap-tiap negeri juga ditubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa Kerja Perang Daerah (District War Executive Committee-DWEC) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah (British/ Melayu) dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Pegawai Kanan Polis dan Pemerintah tentera daerah.

Ketiga-tiga bahagian ini iaitu perkhidmatan awam, polis dan tentera disatukan untuk mengumpulkan maklumat risikan, merancang dan melaksanakan gerakan menentang musuh yang sama. Briggs hanya berada lapan belas bulan di Tanah Melayu dan terpaksa meninggalkan rancangannya kerana sakit dan kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak memberikan kepadanya kuasa-kuasa eksekutif sepertimana yang dijanjikan sebelum beliau bersetuju menerima tugas dan jawatan Pengarah Gerakan itu.

Antara tindakan yang dijalankan ialah dengan memindahkan penduduk Cina dari kawasan-kawasan terpencil yang bertaburan dan menempatkan mereka di kawasan penempatan semula atau di Kampung Baru supaya tidak diugut oleh komunis untuk memberi maklumat dan bekalan makanan serta ubat-ubatan. Kampung-kampung baru ini dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan.

Penduduk Kampung Baru diberi banyak kemudahan seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, tempat tinggal serta bekalan elektrik dan air paip. Jumlah penduduk yang terbabit dalam rancangan ini adalah seramai 470,509 orang yang ditempatkan di 440 buah kampung baru. Persatuan Cina Malaya (MCA) yang ditubuhkan pada tahun 1949 banyak membantu usaha kerajaan menempatkan semula orang Cina. Akibat yang nyata daripada Rancangan Briggs ini ialah wujudnya Kampung-kampung Baru Cina sebagai satu ciri penempatan yang kekal hingga kini.

Walau bagaimanapun, rancangan peninggalan beliau itu, Rancangan Briggs telah diteruskan oleh pengganti-penggantinya sehingga menghasilkan kejayaan 10 tahun kemudian apabila Darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
perdana_putra-800px
Sejarah

Putrajaya Sebagai Sebuah Wilayah Persekutuan

7 November 2000 – Pada tahun 2000, Kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan telah menandatangani perjanjian yang menjadikan Putrajaya sebagai sebuah Wilayah Persekutuan. Melalui perjanjian ini kawasan seluas 4,931 hektar yang sebelumnya adalah milik kerajaan negeri Selangor akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran baru.

Surat perjanjian ditandatangani oleh Pemangku Raja Selangor Raja Sharafuddin Idris Shah Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj manakala pihak Kerajaan Persekutuan pula diwakili oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj.

Majlis bersejarah ini juga turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan juga Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohamad Khir Toyo sebagai saksi perjanjian yang dilaksanakan di Balai Rongseri Istana Negara.

Perjanjian pada hari ini dalam tahun 2000 telah wujud secara rasmi sebuah wilayah sebagai pusat pentadbiran baru negara bagi mempercepatkan pembangunan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
abdullah_badawi-2-800px
Sejarah

Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri Malaysia Yang Kelima

31 Oktober 2003 – Pada tahun 2003, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang berundur setelah menerajui negara selama 22 tahun. Dato’ Seri Abdullah telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dato Seri Abdullah telah membaca ikrar di Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Menyimpan Rahsia sebelum menandatangani keempat-empat Surat Cara Perlantikan. Turut hadir ialah orang-orang kenamaan termasuk Menteri-menteri Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Speaker Dewan Rakyat dan Yang di Pertua Dewan Negara.

Kulit_Buku_Ku_Cari_Damai_Abadi

Sesungguhnya negara merasa bertuah kerana proses peralihan kuasa dilaksanakan dalam suasana aman, muhibbah dan persefahaman.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka-800px
Sejarah

Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Diluluskan

15 Ogos 1957 – Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah diluluskan pada tahun 1957.

Rang Undang-Undang tersebut telah diluluskan dengan sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Undangan Federal yang telah memberikan taraf Kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Usul meminta supaya rang undang-undang ini diluluskan telah dikemukakan oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan telah disokong oleh Encik Shamsuddin bin Naim, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dengan lulusnya Rang Undang-Undang ini bererti mulai 31 Ogos 1957, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Pulau Pinang dan Melaka akan menjadi sebuah Persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu.

Berikutan daripada itu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka telah mula berkuatkuasa dan diguna pakai bermula pada 31 Ogos 1957.

Dengan kelulusan Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan ini telah memberi pengiktirafan kepada sebuah kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang berdaulat dan merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
BatuPahatRiver-800px
Sejarah

Daerah Batu Pahat Diisytiharkan Kawasan Putih

07 Julai 1954 – Pada tahun 1954, daerah Batu Pahat diisytiharkan Kawasan Putih yang kedua di negeri Johor. Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Syed A. Kadir bin Mohamed pada jam 11.30 pagi, bersama-sama dengan penduduk yang telah berkumpul di Padang Besar Batu Pahat.

Turut hadir di upacara ini adalah Pemangku Penasihat British di Johor, Encik D.A. Sommerville.

Dengan keluasan kira-kira 496 km persegi dan penduduk berjumlah 108,000 orang, bermakna kawasan putih daerah Batu Pahat ini meliputi kawasan seluas 80 km panjang dan 9.6 km purata luas yang juga termasuk sebahagian kecil daerah Pontian.

Ini menjadikan purata penduduk bagi 1 km persegi kira-kira 137 orang, yang mana 70% adalah bangsa Melayu, 25% bangsa Cina dan selebihnya lain-lain bangsa.

Di samping pengisytiharan tersebut, ucapan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan turut dibacakan.

Selain kawasan Batu Pahat, kawasan-kawasan lain seperti Semerah, Sri Gading, Parit Raja, Minyak Beku, Senggarang, Rengit dan Benut turut menerima pengumuman pengisytiharan yang sama.

Berikutan pengisytiharan daerah Batu Pahat sebagai kawasan putih, jumlah penduduk yang tinggal di kawasan putih di Persekutuan Tanah Melayu telah meningkat kepada seramai 1,444,620 orang.

Kawasan-kawasan putih tersebut telah terpelihara dan dilindungi oleh pasukan keselamatan dan pelbagai kemudahan asas telah disediakan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard