wang_malaysia-800px
Sejarah

Undang-Undang Mata Wang Diluluskan

24 Jun 1960 – Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Undang-undang Mata Wang 1960 setelah dibentangkan di Dewan Rakyat. Menurut rang undang-undang ini kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berhak melalui Menteri Kewangan menyampaikan permintaan kerajaan untuk keluar dari Lembaga Pesuruhjaya Wang yang dibentuk oleh kerajaan British seperti yang tercatat di dalam Perjanjian Wang Malaya-Borneo British 1950.

Rang Undang-undang yang diluluskan ini juga mengesahkan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak iaitu Perjanjian Malaya-Borneo British, 1960 dan berjalan kuatkuasannya pada 1hb Januari, 1961. Persekutuan Tanah Melayu telah diberi hak keistimewaan yang lebih di dalam Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baharu ini dalam mana ia diwakili oleh dua orang ahli, seorang daripadanya dimestikan menjadi Pengerusi Lembaga.

Bagi anggota-anggota lain iaitu kerajaan Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah diwakili oleh seorang ahli bagi tiap-tiap negeri. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melantik Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara mewakili Persekutuan Tanah Melayu. Menteri Kewangan adalah Pengerusi Lembaga. Kuasa-kuasa yang dipegang oleh Setiausaha bagi Tanah Jajahan British mengikut Perjanjian tahun 1950 telah dipindahkan kepada Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baru ini.

Lembaga ini dibenarkan memegang harta yang bernilai hingga setakat RM 300 juta. Kerajaan-kerajaan yang menjadi anggota juga diberi peluang menggunakan kumpulan wang ini bagi pebelanjaan pembangunan negara. Lembaga ini diberi kuasa memperniagakan wangnya dalam jaminan mata wang sterling yang kukuh dan diakui oleh badan-badan kewangan antarabangsa.

Menteri Kewangan, Encik Tan Siew Sin semasa mengemukakan Undang-undang Mata Wang 1960 di Dewan Rakyat menyatakan perjanjian ini adalah perintis jalan kepada Bank Negara untuk mengeluarkan sendiri matawang ringgit Tanah Melayu. Peraturan-peraturan baru ini adalah merupakan satu panduan kepada Bank Negara untuk mengkaji dan mengaturkan rancangan jangka panjang yang sesuai mengenal dasar mata wang Persekutuan Tanah Melayu untuk mengelakkan kebimbangan dan keraguan terhadap nilai matawang negara kita.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malaya_police-800px
Sejarah

Darurat Diistiharkan Pada Tahun 1948

18 Jun 1948 – Terlakar sejarah hitam dalam lipatan sejarah negara kita apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948 di Perak dan Johor. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada keganasan dan pemogokan yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Pemberontakan yang dilakukan oleh (PKM) itu didorong oleh kejayaan Parti Komunis Cina yang ketika itu dalam proses mencapai kemenangan di China.

Rancangan PKM ialah untuk menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu dan memerintah negara ini. Gerakan keganasan yang dilancarkan oleh PKM menimbulkan rasa kebimbingan di kalangan rakyat dan mengancam ekonomi negara.

Berikutan daripada itu Pesuruhjaya Tinggi Inggeris, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat ke seluruh negara. Pengisytiharan ini dibuat bagi memudahkan pasukan keselamatan menjalankan gerakan membenteras PKM .

Antara langkah yang telah diambil untuk membendung dan menghapuskan kegiatan PKM ialah dengan memperbesarkan Pasukan Askar Melayu, menubuhkan Jawatankuasa Kerja Perang dan Rancangan Briggs.

Hasil usaha berterusan kerajaan untuk menghapuskan PKM membuahkan hasil apabila PKM meletakkan senjata melalui perjanjian damai yang dikenali sebagai Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard