jata_persekutuan_tanah_melayu-800px
Sejarah

Kerajaan Menghalau Keluar Wartawan Inggeris Yang Menghina Bangsa Melayu

06 Julai 1965 – Kerajaan telah menghalau keluar wartawan Inggeris Alex Josey berikutan tulisan-tulisan dan pandangan wartawan tersebut yang memburukkan bangsa Melayu dan kepimpinan negara.

Kejadian ini adalah pertama kali di mana Kerajaan mengusir wartawan luar negeri.

Pemangku Perdana Menteri Tun Abdul Razak mengumumkan pengusiran wartawan Alex Josey dan perintah untuk meninggalkan negara secepat mungkin telah disampaikan kepada wartawan tersebut.

Alex Josey yang telah tinggal di Malaysia sejak 15 tahun dulu datang dari Palestin pada tahun 1950 apabila British menyerahkan Palestin kepada penubuhan negara haram Yahudi.

Sewaktu Sir Henry Gurney menjadi Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu Alex Josey pernah menjalankan propaganda bagi pihak Kolonial menerusi radio.  Beliau juga menjadi penulis London Observer bagi Asia Tenggara.

Tulisan-tulisan Alex yang anti Melayu serta menjalankan gerakan memecahbelahkan perpaduan orang-orang Melayu telah mendapat tentangan hebat dari pertubuhan-pertubuhan Melayu, parti-parti politik seperti UMNO, PAS, Parti Rakyat dan Parti Barisan Sosialis serta lain-lain.

Perintah pengusiran wartawan Inggeris Alex josey pada hari ini dalam tahun 1965 adalah bukti ketegasan Kerajaan terhadap anasir-anasir luar yang ingin merosakkan perpaduan dalam negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

01 Julai 1896 – Pada tahun 1896, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor telah bergabung menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbirannya.

Usaha kearah penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini bermula menjelang tahun 1892 apabila didapati bahawa Sistem Residen telah tidak sesuai lagi dan tidak dapat memenuhi kehendak pentadbiran penjajah Inggeris di Tanah Melayu.

Cadangan rasmi yang pertama bagi mengadakan suatu bentuk persekutuan datangnya dari Sir Charles Lucas, seorang Pegawai Tetap di Pejabat Jajahan London dalam bulan Mac 1892 yang telah diasaskan dari perbincangan dengan Frank Swettenham. Penjajah British mendapati bahawa sistem yang paling sesuai bagi negeri-negeri Melayu ialah satu sistem di mana pentadbirannya diseragamkan supaya negeri-negeri yang lebih kuat dan kaya akan dapat membantu negeri-negeri yang lemah dan kurang mewah.

Sir_Frank_Swettenham_1904-800px

Sir Frank Swettenham

Untuk melaksanakan rancangan ini, pada tahun 1895, Frank Swettenham telah diutus ke negeri-negeri yang berkenaan untuk menerangkan rancangan tersebut kepada Raja-Raja Melayu serta mendapatkan persetujuan mereka. Frank Swettenham telah berjaya mendapatkan persetujuan daripada Raja-Raja berkenaan.

Hasilnya satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan 1895 telah ditandatangani di antara Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith bagi pihak Kerajaan British dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris, Perak; Sultan Suleiman, Selangor; Sultan Mahmud, Pahang; dan Yam Tuan Besar Sri Menanti, Dato Bandar Sungai Ujong, Undang Johol, Undang Rembau dan Tengku Dewa Tampin.

Menurut perjanjian penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini, Raja-Raja yang berkenaan bersetuju menempatkan diri mereka dan negeri-negeri mereka di bawah lindungan Kerajaan British dan menjadikan negeri-negeri mereka satu persekutuan yang akan dikenali sebagai Protected Malay States yang akan ditadbir dengan nasihat dari Kerajaan British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malay_tribune_putera-800px
Sejarah

Kertas Putih Rangka Perlembagaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

30 Jun 1957 – Persetujuan secara sebulat suara telah dicapai untuk menerima Kertas Putih Rangka Perlembagaan bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang meliputi perlembagaan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada tahun 1957. Perkara-perkara penting berkaitan Kertas Putih ini telah dibincangkan terlebih dahulu dalam Perhimpunan Agong UMNO, sebelum ianya diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan London.

People-constitution-ready-The-malaya-tribune-10-sep

The Malay Tribune

Antara perkara-perkara yang terkandung dalam rangka Perlembagaan ini ialah berkenaan soal kerakyatan melalui pendaftaran oleh warga asing, bagi memastikan kesetiaan kepada tanahair. Antara lain juga DYMM Yang di-Pertuan Agong melalui perlembagaan ini diberi kuasa untuk mengisytiharkan darurat apabila wujudnya ancaman keselamatan di dalam negara.

Selain daripada itu juga perlembagaan ini juga memberi kuasa khas kepada Parliman untuk mengeluarkan undang-undang subversif. Berikutan daripada itu pada 2 Julai 1957, Kertas Putih yang mengandungi Rangka Perlembagaan bagi Kemerdekaan Tanah Melayu ini telah diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan di London.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
francis_light-800px
Sejarah

Presidensi Pulau Pinang Dibubarkan

30 Jun 1830 – Pentadbiran Inggeris di Pulau Pinang yang bertaraf Presidensi telah dibubarkan pada tahun 1830. Pembubaran ini adalah merupakan satu peristiwa bersejarah dalam sistem pentadbiran Inggeris khasnya di Pulau Pinang ekoran dari perkembangan politik dan ekonomi yang merosot.

Semenjak Pulau Pinang di buka dalam tahun 1786, satu sistem pentadbiran bertaraf Residen telah dimulakan oleh Francis Light selaku Residen yang pertama di bawah pengawasan Gabenor Inggeris di Benggala. Dasar-dasar pentadbiran adalah mengikut dasar pentadbiran syarikat perdagangannya dan dibantu oleh beberapa orang kakitangan.

Francis Light

Selepas kematiannya pada tahun 1794, taraf Residen diturunkan kepada taraf Superintendent dan pada tahun 1800 kepada taraf Lieutenant-Governor. Sepanjang tahun 1800 hingga 1805, perkembangan ekonomi dan perdagangan Pulau Pinang bertambah baik dan maju dengan sistem pentadbiran yang lebih teratur. Dengan itu, kerajaan Inggeris yakin Pulau Pinang akan memberi faedah yang besar sesuai dengan tujuan untuk menjadikannya pengkalan tentera laut dan pusat perdagangan Inggeris di timur.

Berikutan dari itu, taraf pentadbiran Pulau Pinang dinaikkan ke taraf Presidensi iaitu setaraf dengan Presidensi Inggeris di India, seperti Benggala, Bombay dan Madras pada tahun 1805. Urusan pentadbirannya adalah di bawah pengawasan terus dari London. Oleh itu, beberapa jawatan baru telah ditambah untuk melicinkan pentadbiran sesuai dengan taraf Presidensi. Presidensi Pulau Pinang bertanggungjawab menguruskan hal-ehwal dalam dan luar negeri serta menjalankan arahan dari Kerajaan Inggeris di London. Presidensi itu menghadapi berbagai masalah terutamanya kewangan dan undang-undang manakala rancangan perkapalan dan perdagangan gagal kerana tidak sesuai.

Pada tahun 1826, Negeri-Negeri Selat ditubuhkan dan Pulau Pinang telah dijadikan ibu negeri. Hal itu telah membebankan lagi Presidensi Pulau Pinang dan seterusnya kerajaan Inggeris kerana perbelanjaan pentadbirannya terus bertambah melebihi pendapatannya yang kian merosot. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1830, Presidensi Pulau Pinang terpaksa dibubarkan dan taraf pentadbirannya diturunkan kepada Residensi di bawah pengawasan Gabenor Benggala.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Suruhanjaya Cobbold
Sejarah

Laporan Suruhanjaya Cobbold Dikemukakan Kepada Kerajaan British

21 Jun 1962 – Laporan Suruhanjaya Cobbold yang mengandungi syor-syor bagi penubuhan Malaysia dikemukakan kepada kerajaan British pada tahun 1962. Laporan yang mengandungi 175 muka surat itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri British, Tuan Harold Macmillan. Suruhanjaya Cobbold telah ditugaskan untuk meninjau pendapat rakyat di negeri-negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) tentang kemasukkan negeri-negeri itu ke dalam Persekutuan Malaysia.

Suruhanjaya itu dianggotai oleh 5 orang ahli, dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil kerajaan British. Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr J. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Laporan yang mengandungi 6 bahagian itu, mengemukakan syor-syor yang terbahagi kepada syor yang bersifat umum dan syor yang dibuat oleh ahli-ahli serta pengerusi suruhanjaya itu sendiri. Beberapa bahagian:

  • Syor-syor mengenai perkara-perkara bersifat umum yang tertentu.
  • Syor-syor yang dibuat oleh Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston.
  • Syor-syor yang dibuat oleh Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali bin Shafie.
  • Ringkasan syor-syor dalam seksyen B dan C serta ulasan-ulasan yang dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya.

Laporan itu mengandungi persetujuan mengenai kemasukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia. Perbezaan pendapat antara wakil-wakil kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ialah mengenal perkara-perkara bersifat umum laitu Agama Rasmi, Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi.  

Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold. Beliau telah membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri), Datuk V. T. Sambanthan (Menteri Kerjaraya dan Telekom).

Pada pertengahan bulan Julai, kata sepakat telah dicapai di antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj dengan Tuan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan. Rundingan di antara kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ini telah diadakan di London pada tahun 1963 dan ianya berjalan hampir selama 2 minggu.

Hasil dari rundingan ini kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12 Julai 1963 di mana kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada kerajaan Malaysia  dan Malaysia akan wujud pada 31 Ogos 1963. Kenyataan bersama itu juga menyentuh hal-hal mengenai Singapura dan Brunei yang menjadi persoalan besar dalam masa rundingan selama dua minggu itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard