malayan_airways_logo-800px
Sejarah

Perkhidmatan Malayan Airways Dimulakan

01 Mei 1947 – Pada tahun 1947, Malayan Airways Limited (MAL) telah memulakan perkhidmatan berjadualnya yang pertama, selepas didaftarkan dalam tahun 1937. Perkhidmatan sulung ini meliputi laluan tiga kali seminggu di antara Singapura-Kuala Lumpur-Ipoh-Pulau Pinang dengan menggunakan pesawat Airspeed Consul dengan pendaftaran VR-SCD ’Raja Udang’.

Dalam tempoh dua bulan berikutnya MAL telah berjaya menguasai perkhidmatan penerbangan di Tanah Melayu. MAL merupakan satu-satunya syarikat yang diberi kelulusan bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara pada ketika itu.

Pada tahun 1949, MAL telah meluaskan perkhidmatan penerbangannya ke Bangkok, Jesselton, Kuching dan Rangoon. Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, MAL telah ditukar kepada Malaysian Airways. Pada tahun 1967, Syarikat ini sekali lagi bertukar nama kepada Malaysia-Singapore Airline (MSA).

Namun begitu, perpisahan Singapura dari Malaysia telah membawa kepada pemisahan MSA dan penubuhan syarikat penerbangan berasingan bagi Malaysia dan Singapura. Nama MAL kemudiannya digantikan dengan Sistem Penerbangan Malaysia atau lebih dikenali sebagai MAS (Malaysia Airline System) pada 30 November 1971.

Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman pada 30 September 1972, bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Subang, Selangor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Japanese_Surrender_of_Singapore,_1945_IND4828-800px
Sejarah

Penyerahan Kuasa Tentera Jepun Di Kuala Lumpur

22 Februari 1946 – Pada tahun 1946, satu upacara penyerahan kuasa Tentera Jepun kepada Kerajaan British telah dijalankan di Victoria Institution, Kuala Lumpur di mana Jeneral-jeneral Jepun menyerahkan Pedang Samurainya kepada Leftenan Jeneral Sir Frank Messervy, Pegawai Pemerintah Command Malaya.

Penyerahan pedang samurai oleh Jeneral-jeneral Jepun itu menandakan peringkat terakhir penyerahan kuasa oleh pihak tertinggi tentera Jepun di Tanah Melayu. Penyerahan kuasa peringkat awal dilakukan secara beramai-ramai di akhir tahun 1945 di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Penyerahan diri itu adalah ekoran daripada pengisytiharan tamat perang dunia kedua di mana Jepun mengaku kalah tanpa syarat pada 15 Ogos 1945, selepas bandar Hiroshima dan Nagasaki dimusnahkan oleh bom atom pihak Berikat. Tentera Jepun terpaksa berundur keluar dari Tanah Melayu.

Dengan penyerahan kuasa itu berakhirlah zaman pendudukan Jepun selama tiga setengah tahun di Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
richard_hull-800px
Sejarah

Sir Richard Hull Tiba Di Kuala Lumpur Memberi Sokongan Pada Gagasan Malaysia

20 Februari 1963 – Pada tahun 1963, Ketua Turus Agung Angkatan Bersenjata British Sir Richard Hull tiba di Kuala Lumpur. Beliau tiba di Lapangan Terbang Subang dengan pesawat pengangkut RAF (Royal Air Force) dan disambut oleh Dato’ Jeneral Sir Rodney Kepala Staf Angkatan Bersenjata Malaya dan Sri Geofroy Tory, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya.

Beliau menegaskan bahawa Britain akan membantu Malaya sekiranya ada ancaman dari luar terhadap Malaya dan pasukan pertahanan British adalah mencukupi dan sentiasa bersiap sedia. Beliau juga menyatakan tentang perjanjian pertahanan antara Britain dan Malaya di mana Britain juga bertanggung jawab sekiranya Malaya diancam pihak luar.

Sir_Richard_Hull

Sir Richard Hull

Sir Richard Hull akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak keesokan harinya bagi membincang pertahanan Malaya dalam menghadapi konfrantasi Indonesia. Richard Hull juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan mengadakan lawatan ke Kem Trendak Melaka serta Maktab Tentera Persekutuan Sungai Besi.

Kedatangan Panglima Agung Tentera British ini seolah-olah memberi peringatan pada pihak luar yang ingin mengancam kedaulatan negara serta melancarkan konfrontasi terhadap gagasan penubuhan Malaysia. Kunjungan ini pastinya satu sokongan moral yang besar ertinya kepada Malaya lebih-lebih lagi Malaya diperakui sebagai mempunyai ikatan perjanjian pertahanan dengan Britain di mana dalam perjanjian tersebut Britain bertanggung jawab mempertahankan Malaya sekiranya diserang pihak luar.

Dengan lawatan Panglima Agung Angkatan Tentera British pada hari ini dalam tahun 1963 tersebut telah menguatkan lagi azam Malaya dalam menghadapi konfrantasi Indonesia dan merealisasikan gagasan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tudm_kuala_lumpur-800px
Sejarah

Penyerahan Pangkalan Tentera Udara Diraja British Kuala Lumpur Kepada Tudm

25 Oktober 1960 – Pada tahun 1960, telah berlangsung upacara penyerahan Pangkalan Tentera Udara Diraja British (RAF) di Kuala Lumpur kepada Tentera Udara Diraja Malaya (TUDM). Upacara penyerahan itu dilakukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu Sir Geoffrey Tory kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak.

Sempena penyerahan tersebut, satu upacara perbarisan menurunkan bendera RAF dan mengibarkan bendera TUDM telah diadakan. Ini diikuti dengan penerbangan lintas terakhir pesawat Canberra kepunyaan RAF. Tun Razak menyifatkan hari itu sebagai hari yang bersejarah kepada TUDM kerana mulai saat itu TUDM mempunyai pangkalannya sendiri.

logo_tudm-800px

Sejak ditubuhkan pada 2 Jun 1958, TUDM hanya menumpang di pangkalan tersebut. Pangkalan yang terletak di Sungai Besi itu kini dikenali dengan Pangkalan TUDM Kuala Lumpur. la adalah pangkalan pertama RAF di Tanah Melayu dan mula beroperasi sebagai stesen RAF pada 1 Jun 1941. Tujuan ditubuhkan ialah untuk memudahkan operasi RAF bagi mempertahankan Tanah Melayu di samping menjadi pusat perhubungan RAF dengan pangkalannya di Seletar, Singapura.

Walaupun pangkalan ini telah diserahkan kepada TUDM, tetapi Pegawai Memerintah pangkalan ini masih dipinjam dari RAF disebabkan menghadapi masalah kekurangan pegawai dan kakitangan. Hanya sembilan tahun kemudian iaitu pada 31 Mac 1969, anak tempatan telah diserahkan tugas sebagai Pegawai Memerintah. Beliau ialah Group Kapten Mohammed Taib.

Pangkalan ini mencatatkan seiarahnya sendiri. la pernah digunakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum Lapangan Terbang Subang siap dibina. Di sinilah juga TUDM mula ditubuhkan dengan 14 orang anggota dan sebuah pesawat ‘Twin Pioneer’. Dekad demi dekad TUDM terus berkembang maju, kuat dan moden.

Perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh TUDM sesungguhnya adalah bertolak dari penyerahan Pangkalan Udara RAF Kuala Lumpur kepada TUDM pada hari ini dalam tahun 1960. Penyerahan itu memberi peluang kepada TUDM membuktikan kemampuannya memulakan usaha ke arah pertahanan sendiri dan menghapuskan unsur-unsur penjajahan British di Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malaysia_airlines_airbus-800px
Sejarah

Pelancaran Perkhidmatan Penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS)

30 September 1972 – Perkhidmatan Penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) telah dilancarkan dengan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang oleh Pemangku Perdana Menteri Tun Dr. Ismail pada tahun 1972. Hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Perhubungan Tan Sri Sardon Jubir dan Pengerusi MAS Encik G.K. Rama Iyer.

Dengan pelancaran tersebut kapal terbang MAS akan memulakan operasinya pada 1 Oktober 1972 dengan lebih 20 penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dengan menggunakan lambang ‘Wau Bulan’.

Walaupun MAS syarikat yang baru muncul tetapi ianya mempunyai warisan sejarah yang cemerlang daripada syarikat MSA yang mempunyai pengalaman yang luas dalam perkhidmatan penerbangan.

MAS bukan sahaja menjadi jambatan yang menghubungkan antara Malaysia Barat dengan Malaysia Timur tetapi juga menghubungkan Malaysia dengan negara-negara lain di dunia.

Sistem Penerbangan MAS sebagai ‘National Flag Carrier’ diharapkan dapat berkembang dengan lebih pesat membawa misi dan harapan rakyat Malaysia ke arah hubungan ekonomi dan sosial dengan dunia luar.

Pelancaran perkhidmatan penerbangan MAS pada hari ini dalam tahun 1972 diharap dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan udara di negara ini sebagai sebuah syarikat penerbangan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Calon Angkasawan Negara Pertama Ke Rusia

04 September 2006 – Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mengumumkan Dr Sheikh Muszaphar Shukor serta Dr Faiz Khalled telah dipilih sebagai calon angkasawan Negara pertama ke Rusia pada 04 September 2006. Majlis pengumuman tersebut telah  dibuat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

Dr Sheikh Muszaphar Shukor

Dr Sheikh Muszaphar Shukor

Program Angkasawan Negara ini adalah salah satu hubungan timbal balas antara Kerajaan Malaysia dan Rusia. Selepas pembelian Jet Pejuang Sukhoi oleh Kerajaan Malaysia, Russia telah menawarkan satu tempat untuk angkasawan Negara menyertai ekspedisi angkasawan Russia ke Sistem Angkasa Antarabangsa (ISS).

Untuk tujuan itu dua orang calon akan dihantar untuk menjalani latihan professional di Rusia selama 12 bulan. Bagaimanapun hanya seorang calon sahaja yang akan dipilih untuk ke ISS. Sebelum ini 4 orang telah disenarai pendek daripada 11,275 calon yang mendaftarkan diri dengan pelbagai kelayakan akademik, ketahanan fizikal, emosi, dan mental dalam Program Angkasawan Malaysia .

Dr Faiz Khalled

Dr Faiz Khalled

Calon yang terpilih akan berada selama enam hingga lapan hari di ISS, untuk melakukan penyelidikan dan kajian yang berkaitan dengan keperluan Negara kita. Pengumuman nama Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Faiz Khalled sebagai calon angkasawan Negara pada hari ini 4 September 2006, telah membuka ruang baru dalam bidang angkasa untuk diteruskan oleh generasi akan datang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Burhanudin_al-Helmi-800px
Sejarah

Pengisytiharan Perjanjian Taiping

12 Ogos 1945 – Pengisytiharan Perjanjian Taiping merupakan satu perjanjian yang telah diisytiharkan di Taiping, Perak.

Perjanjian itu adalah di antara Dr. Burhanuddin Al Helmy dan Ibrahim Yaakub sebagai pemimpin-pemimpin KRIS, (kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung) dengan pemimpin-pemimpin Kebangsaan Indonesia, (Sukarno dan Mohd Hatta).

Dr. Burhanuddin bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin politik Melayu dalam KMM telah memperjuangkan cita-cita kemerdekaan Tanah Melayu dan berusaha untuk mencapai kemerdekaan dalam lingkungan Melayu Raya yang meliputi Indonesia dan Tanah Melayu.

Oleh itu apabila pendudukan Jepun bermula, maka Jepun telah menyatukan pentadbiran Tanah Melayu dan Indonesia bagi memenuhi cita-cita mereka.

Burhanuddin Al Helmy

Burhanuddin Al Helmy

Pada hari ini pemimpin-pemimpin KRIS telah bertemu dengan Sukarno dan Mohd Hatta di Lapangan Terbang Taiping, Perak, iaitu dalam perjalanan pulang dari Markas Tentera Jepun Asia Tenggara di Saigon.

Sehubungan itu satu persetujuan telah dicapai bahawa Tanah Melayu akan bersama-sama dengan Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.

Bagaimanapun cita-cita ini gagal apabila pemerintah tentera Jepun di Tokyo mengisytiharkan bahawa mereka menyerah kalah pada 17 Ogos 1945.

Perjanjian Taiping pada hari ini dalam tahun 1945, gagal mencapai impiannya untuk membentuk ‘Melayu Raya’, kerana kekalahan tentera Jepun kepada pihak Inggeris.

Walau bagaimanapun Indonesia tetap mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945 manakala Tanah Melayu pula mengisytiharkan kemerdekaannya dalam pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dewan_bahasa-800px
Sejarah

Penubuhan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan di Johor Bahru sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran pada 22 Jun 1956. Tujuan penubuhan adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Di peringkat awal, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bahru. Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 – 21 September 1956, kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu, DBP dinaikkan taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.

Pada tahun 1957, DBP telah berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksanaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara.

dewan_bahasa_dan_pustaka

Dewan Bahasa Dan Pustaka

Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Pada 31 Januari 1962, Dewan Bahasa dan Pustaka berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur.

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Standard