raja_haji_war-800px
Sejarah

Sultan Ibrahim Merampas Semula Selangor Dari Belanda

27 Jun 1785 – Pada tahun 1785, Sultan Selangor, Sultan Ibrahim telah berjaya merampas semula negeri Selangor dari Belanda. Kejayaan baginda ini dicapai dengan mendapat bantuan bala tentera Bendahara Abdul Majid dari Pahang dan Raja Haji yang berkuasa di Empayar Johor Riau iaitu bapa saudara kepada Sultan Ibrahim.

Selangor mula dikuasai oleh Belanda pada bulan Ogos 1784. Kekalahan Sultan Selangor berpunca dari kekurangan bala tentera kerana tentera baginda telah ditugaskan membantu Raja Haji dalam peperangan mengusir penceroboh-penceroboh Belanda dari Empayar Johor – Riau. Pencerobohan Belanda di Empayar Johor – Riau telah melanggar perjanjian persahabatan di antara Raja Haji dengan pihak Belanda. Sebagai membalas tindakan Belanda, Raja Haji telah membatalkan perjanjian tersebut dan membantu Sultan Selangor memerangi penempatan-penempatan Belanda di Melaka.

Dalam peperangan ini Belanda mengalami banyak kekalahan dan terpaksa menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan makanan. Walaubagaimanapun peperangan ini terpaksa dihentikan kerana kematian Raja Haji dan beberapa orang pahlawan Bugis yang lain pada 18 Jun 1784.

Sungguhpun demikian Sultan Ibrahim tidak berputus asa untuk mendapatkan semula Selangor dari tangan Belanda. Dengan bantuan Bendahara Pahang baginda telah menyusun semula segala bala tentera untuk menentang Belanda. Sultan Ibrahim dan Bendahara Abdul Majid akhirnya berjaya mengalahkan dan mengusir Belanda dari Selangor. Dengan kejayaan ini maka tamatlah pengaruh Belanda di Selangor dan Sultan Ibrahim berkuasa semula.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dewan_bahasa-800px
Sejarah

Penubuhan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan di Johor Bahru sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran pada 22 Jun 1956. Tujuan penubuhan adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Di peringkat awal, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bahru. Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 – 21 September 1956, kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu, DBP dinaikkan taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.

Pada tahun 1957, DBP telah berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksanaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara.

dewan_bahasa_dan_pustaka

Dewan Bahasa Dan Pustaka

Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Pada 31 Januari 1962, Dewan Bahasa dan Pustaka berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur.

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Standard
Sultan_Ali_Iskandar_Shah_Johor-800px
Sejarah

Sultan Ali (Johor) Mangkat Di Umbai Melaka

20 Jun 1877 – Sultan Ali Ibni Almarhum Sultan Hussain Shah, Sultan Johor telah mangkat di Umbai Melaka pada 20 Jun 1877. Berita kemangkatan baginda telah disampaikan kepada putera baginda Tengku Alam yang pada masa itu bersemayam di Istana Kampong Gelam, Singapura bersama-sama Maharaja Abu Bakar.

Pada mulanya Tengku Alam enggan ke Melaka untuk pemakaman tersebut selagi beliau tidak dilantik menjadi Sultan menggantikan Sultan Ali. Tetapi akhirnya, Tengku Alam terpaksa beralah setelah ia mengetahui bahawa Gabenor Inggeris benar-benar tidak mahu melantiknya menjadi Sultan.

Sultan Ali Iskandar Shah

Sultan Ali Iskandar Shah

Tengku Alam telah berangkat ke Johor dengan kapal Maharaja Abu Bakar kemudian ke Umbai, Melaka. Walaupun Tengku Alam hadir Baginda telah menjauhkan diri.

Setiausaha Kerajaan Negeri-negeri Selat turut hadir di upacara itu untuk memastikan tidak ada sebarang pergaduhan berlaku atau tidak ada sebarang pengisytiharan pengganti Sultan diadakan.

Selepas kemangkatan Sultan Ali, perebutan kuasa telah berlaku di kalangan keluarga Sultan Ali sendiri. Beberapa peristiwa pertumpahan darah telah tercetus seperti di Kuala Muar oleh Suliwatang. Keadaan ini berlarutan hingga tahun 1883.

Akan tetapi dengan kebijaksanaan Maharaja Abu Bakar untuk menamatkan keadaan kucar-kacir yang menggugat keamanan negeri Johor, satu perjanjian setia telah diadakan dengan Kerajaan Inggeris.

Dalam perjanjian ini Inggeris bersetuju memberikan bantuan kepada Maharaja Abu Bakar dalam menghadapi soal kekacauan tersebut. Kedaulatan dapat diselamatkan dan Maharaja Abu Bakar dilantik menjadi pemerintah Johor bergelar Sultan hingga keturunannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
voc_flag-800px
Sejarah

Perlantikan Residen Belanda Yang Pertama Di Riau

19 Jun 1785 – Pada tahun 1785, David Ruhde telah menjawat jawatan Residen Belanda yang pertama di Riau lalu menubuhkan pejabatnya di Pulau Bayan, Tanjung Pinang. Buat dua tahun yang pertama selepas beliau menjawat jawatan itu soal-soal pentadbiran Riau masih lagi di tangan Sultan Mahmud, Johor.

Pentadbiran Riau diserahkan sepenuhnya kepada David Ruhde hanya setelah Sultan Mahmud menandatangani perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada 7hb Februari, 1787, di Melaka.

Antara lain syarat-syarat perjanjian tersebut adalah seperti berikut:

  1. Sultan Mahmud hendaklah menyerahkan segala pentadbiran pemerintahan di Riau itu kepada Kompeni Belanda;
  2. Sultan Mahmud dibebaskan dari jagaan Raja Tua, Raja Bendahara, Raja Temenggung dan Raja Indrabongsu, dan hanya akan berunding dengan mereka mengenal soal-soal negara yang penting, kecuali hal ehwal istana, tetapi hanya boleh dilakukan setelah berunding dengan Residen Belanda;
  3. Sultan dan pembesar berhak menerima 1/3 dari hasil pendapatan Riau dalam masa 3 tahun atau lebih yang pertama;
  4. Perselisihan di antara orang-orang Cina dan orang-orang asing yang lainnya dengan penduduk-penduduk Riau akan diputuskan oleh Residen, kecuali yang melibatkan di antara orang-orang Melayu dan Bugis sahaja diputuskan oleh Sultan, dan hukuman bunuh ke atas sesiapa pun hendaklah diputuskan oleh Residen;
  5. Kesemua pedagang-pedagang yang datang ke Riau dikehendaki membayar cukai lima peratus mengikut taksiran harga barang (ad volerem) ke atas barang-barang import dan eksport yang tidak dikecualikan dari cukai. Syarikat Hindia Timur Belanda juga dikehendaki membayar cukai import kecuali candu, bijih timah dan lada hitam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malaya_police-800px
Sejarah

Darurat Diistiharkan Pada Tahun 1948

18 Jun 1948 – Terlakar sejarah hitam dalam lipatan sejarah negara kita apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948 di Perak dan Johor. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada keganasan dan pemogokan yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Pemberontakan yang dilakukan oleh (PKM) itu didorong oleh kejayaan Parti Komunis Cina yang ketika itu dalam proses mencapai kemenangan di China.

Rancangan PKM ialah untuk menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu dan memerintah negara ini. Gerakan keganasan yang dilancarkan oleh PKM menimbulkan rasa kebimbingan di kalangan rakyat dan mengancam ekonomi negara.

Berikutan daripada itu Pesuruhjaya Tinggi Inggeris, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat ke seluruh negara. Pengisytiharan ini dibuat bagi memudahkan pasukan keselamatan menjalankan gerakan membenteras PKM .

Antara langkah yang telah diambil untuk membendung dan menghapuskan kegiatan PKM ialah dengan memperbesarkan Pasukan Askar Melayu, menubuhkan Jawatankuasa Kerja Perang dan Rancangan Briggs.

Hasil usaha berterusan kerajaan untuk menghapuskan PKM membuahkan hasil apabila PKM meletakkan senjata melalui perjanjian damai yang dikenali sebagai Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Temenggong-Abu-Bakar_wbg-800px
Sejarah

Perjanjian Pahang-Johor

17 Jun 1862 – Pada tahun 1862 satu perjanjian di antara Pahang dan Johor telah ditandatangani. Dalam perjanjian ini Bendahara Pahang iaitu Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir telah diwakili oleh Wan Koris (Bendahara Muda), manakala Temenggong Abu Bakar Seri Maharaja Johor, menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Johor.

Di antara syarat-syarat perjanjian ini ialah :

  • Johor dan Pahang mengaku bersahabat dan bantu-membantu jika diserang oleh musuh;
  • Temenggong Abu Bakar hendaklah membantu Wan Koris (Tun Koris) dan pengganti-penggantinya apabila dikehendaki;
  • Jika berlaku perselisihan di antara kedua belah pihak, hendaklah diserahkan kepada Kerajaan Inggeris untuk menyelesaikannya;
  • Pulau Tioman (yang dahulunya di bawah pemerintah Pahang) dan pulau-pulau yang di Selatan daripada Pulau Tioman itu diserahkan kepada Kerajaan Johor, dan
  • Di darat pula kawasan tanah bagi negeri Johor diperluaskan lagi ke utara hingga ke Sungai Endau dan Sungai Endaulah menjadi sempadan di darat antara negeri Johor dengan negeri Pahang

Dengan perjanjian ini Temenggong Abu Bakar terikat untuk membantu pihak Tun Mutahir dalam peperangan dengan adiknya, Wan Ahmad (Peperangan Saudara Pahang – 1857-63) untuk merebut takhta Kerajaan.

Bagaimanapun, peperangan ini akhirnya dimenangi oleh Wan Ahmad, dan pada 10hb Jun, 1863 orang-orang besar Pahang mengangkat beliau menjadi Bendahara pemerintah Pahang bergelar Bendahara Seri Wak Raja.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard