pemenang_nama_proton_bw-800px
Sejarah

Peraduan Menamakan Kereta Nasional

12 Januari 1984 – Pada tahun 1984, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Perindustrian Berat Malaysia (HICOM), Encik Mohd. Saufi Hj. Abdullah telah mengumumkan peraduan ‘Menamakan Kereta Nasional Kita Yang Pertama’. Peraduan tersebut akan memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia menamakan model pertama kereta nasional yang akan dikeluarkan pada September 1985. Hadiah berupa sebuah kereta 1300 c.c. akan diberikan kepada peserta yang berjaya.

Staf_Sarjan_Ismail_Jaafar

Pada 1 September 1985, Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Markas Tentera Dua Division di Pulau Pinang telah berjaya diumumkan sebagai pemenang. Perkataan ‘Saga’ yang dipilih beliau telah menarik perhatian para juri serta penerangan-penerangan yang diberikan telah menyakinkan juri untuk memilih beliau sebagai pemenang menamakan kereta Nasional yang pertama itu.

hj. hashim dan pencipta nama kereta proton saga

Staf Sarjan Ismail Jaafar (kiri). Kredit foto : mamutanjung.blogspot.my

Sebagai langkah memperkenalkan kereta Nasional yang pertama itu satu program ‘Sagarama’ selama 20 hari menjelajah ke seluruh negara telah diadakan. Pada 1 September 1985, YAB Perdana Menteri telah melancarkan pemasaran Proton Saga yang pertama dan sesungguhnya kereta-kereta proton telah meningkat jualannya dan dijual bukan sahaja di dalam negeri malah dieksport keluar negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Kredit Foto : mamutanjung.blogspot.my

Standard
Sir_Andrew_Clarke_standing
Sejarah

Surat Raja Abdullah Kepada Gabenor Inggeris

30 Disember 1873 – Pada tahun 1873, Raja Abdullah telah menghantar sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke meminta Inggeris menyiasat Hal Ehwal Perak. Surat yang ditandatangani oleh baginda itu juga meminta Gabenor memulihkan keamanan negeri Perak dan membenarkan Perak berlindung di bawah naungan Inggeris. Ini kerana sebelum ini Inggeris tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk campur tangan di Negeri-Negeri Melayu.

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Sebenarnya surat Raja Abdullah itu dirangka oleh J.G.Davidson, seorang peguam dan Tan Kim Cheng, seorang saudagar yang menyokong perjuangan Raja Abdullah menuntut takhta kerajaan Perak. Berdasarkan surat yang dihantar oleh Raja Abdullah ini, Clarke mengambil keputusan untuk bertindak. Beliau mengarahkan W.A Pickering menjemput pembesar-pembesar Perak menemuinya di Pulau Pangkor. Namun begitu, mereka tidak diberitahu sebabnya.

sir andrew_clarke

Sir Andrew Clarke

Pada hari yang ditetapkan, pembesar-pembesar Perak dari Hilir Perak tiba di Pulau Pangkor. Raja Abdullah juga turut hadir, tetapi Raja Yusuf dan Sultan Ismail tidak hadir. Dengan itu, mereka tidak dapat mempertahankan kepentingan masing-masing.

Berikutan dengan perjumpaan yang diadakan ini, akhirnya Perjanjian Pangkor ditandatangani di mana Raja Abdullah diakui sebagai Sultan. Sesungguhnya, surat Raja Abdullah yang dihantar pada hari ini dalam tahun 1873, telah membawa kepada bermulanya campur tangan Inggeris secara langsung di Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tengku_kudin-800px
Sejarah

Raja Ismail Menyerang Raja Mahadi Di Kelang

17 Disember 1869 – Pada tahun 1869, Raja Ismail telah menyerang Raja Mahadi di Kelang. Raja Ismail menyerang Raja Mahadi kerana membalas serangan Raja Mahadi yang telah mengakibatkan ayahandanya Raja Abdullah terpaksa mengundur diri dari Kelang ke Melaka.

Raja Ismail juga bercita-cita untuk merampas semula daerah Kelang yang dimiliki oleh bapanya yang dikurniakan oleh Sultan Abdul Samad. Sebelum ini Daerah Kelang dikuasai oleh Raja Sulaiman, bapa Raja Mahadi tetapi setelah beliau meninggal dunia, Kelang diserahkan kepada Raja Abdullah.

Ketika Raja Abdullah memerintah, Kelang bertambah maju. Raja Abdullah telah membuka banyak perusahaan melombong bijih dan membawa masuk ramai pelombong Cina ke Kelang untuk membuka lombong bijih di kawasan-kawasan pendalaman. Raja Abdullah bertambah kaya apabila banyak hasil kutipan cukai diterimanya setelah lombong-lombong bijih di kawasan Ulu Kelang dan Ampang mengeluarkan hasil. Kuasa dan kekayaannya telah menambahkan cemburu kepada Raja Mahadi yang tidak puas hati kerana Sultan Abdul Samad telah mengenepikan dirinya dari mewarisi Kelang.

Tengku Kudin (duduk)

Dengan bantuan orang-orang Melayu Sumatera suku Mandahiling, Rawa, Batu Bara dan pengikut-pengikutnya beliau berjaya mengusir Raja Abdullah dalam tahun 1866. Serangan Raja Mahadi telah mengakibatkan berlakunya Perang Kelang.

Pada hari ini dalam tahun 1869, Raja Ismail menyerang Raja Mahadi untuk merampas kembali Kelang dari Raja Mahadi tetapi gagal mengusir Raja Mahadi. Peperangan berterusan dan melibatkan orang-orang luar yang diminta bantuan seperti Pahang, Kedah, negeri Sembilan, Inggeris dan Riau.

Peperangan Kelang berakhir pada tahun 1871 apabila angkatan Raja Mahadi dikalahkan oleh Yamtuan Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad dengan bantuan tentera upahan Inggeris dan pengikut-pengikutnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jungle-800px
Sejarah

Johor Diisytiharkan Sebagai Kawasan Putih

31 Disember 1958 – Seluruh negeri Johor diisytiharkan sebagai Kawasan Putih pada 13 Disember 1958. Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang mewakili Sultan Johor disatu upacara perbarisan pasukan-pasukan keselamatan di Johor Bahru.

Di negeri Johor, ‘Kawasan Hitam’ yang terakhir diisytiharkan sebagai kawasan putih ialah Daerah Kota Tinggi. Pada masa darurat diisytiharkan, terdapat lebih 1,200 orang pengganas komunis mengancam keselamatan di daerah di Johor.

Satu operasi yang dipanggil Operasi Badak telah dilancarkan oleh pasukan keselamatan. Operasi ini telah berjaya menghapuskan sebahagian besar pengganas komunis. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Operasi Badak, Ungku Mohsin bin Mohamad telah mengalu-galukan pengisytiharan Johor sebagai kawasan putih bersih daripada ancaman dan keganasan komunis.

Pengisytiharan ini memberi makna besar kepada negeri Johor yang telah lama mengalami keadaan darurat serta menerima ancaman yang buruk sekali di Persekutuan Tanah Melayu. Dengan pengisytiharan ini Undang-Undang Darurat seperti sekatan-sekatan ke atas bahan-bahan makanan, bekalan-bekalan penting dan perintah berkurung dihapuskan.

Sebelum Johor diisytiharkan Kawasan Putih beberapa kawasan dan negeri di Persekutuan Tanah Melayu telah pun diisytiharkan sebagai Kawasan Putih seperti Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabak Bernam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
logo_tudm-800px
Sejarah

Ordinan Tentera Udara Diraja Malaysia Diluluskan Oleh Parlimen

02 Jun 1958 – Sejarah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula apabila Ordinan Tentera Udara Diraja Malaysia diluluskan oleh Parlimen dan semasa ditubuhkan ia dikenali sebagai “Tentera Udara Diraja Persekutuan”.

Air Commodore A.V.R. Johnstone seorang pegawai Tentera Udara Diraja British (RAF) telah dipinjamkan untuk menjadi penasihat kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya telah dilantik menjadi Ketua Turus Tentera Udara yang pertama dan bertanggungjawab merangka penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan Angkatan Tentera ketika itu, anggota terawalnya adalah terdiri daripada pegawai dan anggota yang dipinjamkan daripada RAF. Sekumpulan pegawai dan anggota yang menjadi perintis Tentera Udara Diraja Persekutuan telah ditukarkan daripada RAF pada bulan November 1958.

Mereka yang menjadi tenaga penggerak organisasi TUDM ialah Flying Officer Li Heng Lip, Sergeant Subramaniam, Corporal Razi Osman, Corporal Othman Mohd Ismail, Corporal Wan Said, Corporal J D Pasley, Corporal Mahevan, Senior Aircraftsman (SAC) Surindran, SAC Md Noor, SAC Zainal Abidin, SAC Mohd Hussain dan Junior Technician Ismail Arifin.

Sebagai angkatan yang muda tugas awal yang diamanahkan kepada Tentera Udara Diraja Persekutuan pada ketika itu ialah untuk memberikan perkhidmatan perhubungan melalui udara dan membantu pasukan keselamatan menjalankan operasi memerangi komunis yang mengancam negara.

Dengan tertubuhnya Malaysia pada 16 September 1963, nama Tentera Udara telah ditukar kepada “Tentera Udara Diraja Malaysia” atau lebih dikenali sebagai TUDM.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
finas_logo-800px
Sejarah

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Ditubuhkan Dengan Rasminya

01 Jun 1981 – Pada tahun 1981, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah ditubuhkan dengan rasminya. Sebelum penubuhan FINAS ini sebuah jawatankuasa telah dibentuk pada 26 Julai 1980 oleh kerajaan yang dinamakan Jawatankuasa Kemajuan Filem Nasional.

Jawatankuasa itu ditugaskan untuk mengkaji tentang rancangan-rancangan memajukan perusahaan filem negara di samping tugas utamanya merangka dan merancangkan penubuhan FINAS. Jawatankuasa ini juga telah merangka akta yang kemudiannya diluluskan oleh Parlimen sebagai Akta 244 – Akta Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia, 1981. Dengan kelulusan Parlimen ini maka FINAS telah dapat ditubuhkan dengan rasminya.

Matlamat penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia oleh kerajaan ini ialah untuk membangun, memelihara dan mengembangkan industri perfileman di Malaysia. Dengan adanya penglibatan pihak kerajaan sendiri ini FINAS telah berjaya menggerakkan aktivitinya dengan cepat dan berkesan. FINAS yang baru ditubuhkan ini diketuai oleh Tan Sri Abdul Samad Idris sebagai pengerusinya dan Encik Ismail Zan selaku Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Pengarah FINAS serta 10 orang ahli Lembaga Pengurus yang lain yang terdiri daripada para pentadbir dan karyawan filem.

Kini FINAS telah berusia 9 tahun dan dalam jangka waktu itu ianya telah berjaya mengemudikan perkembangan dan kemajuan filem negara hasil kesungguhan para pentadbirnya.

Sesungguhnya penubuhan FINAS pada hari ini dalam tahun 1981 tersebut telah memberi nafas baru kepada kemajuan dunia filem di Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pramlee-800px
Sejarah

P. Ramlee Meninggal Dunia

29 Mei 1973 – Seniman Agung P. Ramlee meninggal dunia secara mengejut ketika berusia 43 tahun. Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi isterinya, Salmah Ismail (Saloma) di Hospital Besar Kuala Lumpur kira-kira pukul 5.30 pagi 29 Mei 1973.

Nama kelahiran Allahyarham adalah Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh. Neneknya telah memanggil cucunya dengan panggilan “Ramlee” kerana kesukaran memanggil nama “Teuku Zakaria”. Allahyarham P.Ramlee yang telah menceburkan diri dalam lapangan perfileman hampir suku abad telah banyak melahirkan “bintang-bintang” filem yang terkenal.

P_ramlee

Sejarah perjuangannya adalah sejarah perkembangan perfileman Melayu sendiri. Allahyarham terkenal sebagai penyanyi, penggubah lagu, penulis skrip, pelakon dan juga pengarah filem. Semasa hayatnya Allahyarham P.Ramlee telah berlakon dalam lebih 200 filem, mengarah lebih 40 buah filem dan telah menggubah lebih 1,000 lagu yang menjadi kesukaan ramai.

Allahyarham mula menceburkan diri dalam dunia perfileman pada tahun 1948. Ketika itu Allahyarham hanya menjadi pelakon tambahan dan penyanyi suara latar filem sahaja. Hanya pada tahun 1951 Allahyarham telah dipilih menjadi pelakon utama dalam filem Takdir Ilahi. Pada tahun 1953, Allahyarham telah mengarah filem sulungnya iaitu ‘Penarik Beca’.

Sesungguhnya Allahyarham P.Ramlee telah meninggalkan jasa baktinya dalam sejarah perkembangan filem di negara ini. Pemimpin-pemimpin negara, rakan seperjuangannya serta peminatnya menganggap pemergian Allahyarham satu kehilangan tokoh kebudayaan Melayu, yang agung dan sukar dicari ganti.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
utusan_melayu-800px
Sejarah

Utusan Melayu Diterbitkan Di Kuala Lumpur

29 Mei 1939 – Pada tahun 1939 Utusan Melayu telah diterbitkan di Kuala Lumpur berikutan pemindahan ibu pejabatnya dari Singapura. Sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, Utusan Melayu telah diterbitkan di Singapura oleh Singapore Free Press mulai 7 November 1907, pengasasnya yang pertama ialah Encik Yusof bin Ishak. Manakala pengarang yang pertama Utusan Melayu ialah Abdul Rahim Kajai. Terdapat juga pengarang-pengarang yang lain seperti Mohd. Yunos bin Abdullah, Abdul Hamid bin Miskin dan Syed Saddullah Khan.

Utusan_Melayu

Setelah berpindah ke Kuala Lumpur Utusan Melayu telah memainkan peranan penting dalam perkembangan pemikiran dan pembangunan masyarakat Melayu. Beberapa usaha telah dilakukan oleh pengarang seperti Zainol Abidin Haji Alias, Hashim Yunus, Ishak Hj. Mohamad, Haji Dahlan Mas’ud, Yusof Ishak, dan A. Samad Ismail. Utusan Melayu telah mengalami jatuh bangunnya bersama-sama bangsa Melayu.

Perkembangan politik di Tanah Melayu pada masa itu dapat mempengaruhi jiwa pengarang-pengarangnya dalam menghasilkan tulisan yang memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu. Utusan Melayu juga berperanan dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, membela bangsa, agama dan tanah air. Utusan Melayu telah menjadi medan bagi menyuarakan politik Melayu untuk menuntut kemerdekaan. Di samping penyuaraan perjuangan kebangsaan ia juga merupakan wadah utama dalam perkembangan bahasa dan sastera Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
templer_park-3
Sejarah

Pembukaan Taman Rimba Templer

19 Mei 1954 – Templer Park atau lebih dikenali sebagai Taman Rimba Templer terletak di utara Kuala Lumpur. Ia boleh dikunjungi dengan melalui jalan lama Kuala Lumpur-Ipoh. Pembukaan Taman Rimba Templer telah dilakukan oleh Sir Gerald Templer.

Kawasan Taman Rimba Templer ini adalah hadiah dari Kerajaan Selangor dan merupakan taman negara yang pertama. Namanya diambil sempena nama Sir Gerald Templer yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu.

templer_park

Pada awal pembukaannya, kawasan ini diletakkan di bawah jagaan ahli bagi Sumber Alam Semula Jadi. Kerja-kerja penyediaan taman ini dilakukan oleh satu Jawatankuasa yang dipengurusikan olah Tun Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman dan ahli-ahlinya terdiri daripada para pegawai Jabatan Pertanian dan Perhutanan.

Hutan simpan seluas 1,214 hektar yang kaya dengan keindahan alam ini membentuk kawasan hijau bagi penduduk bandar, ia menarik para pencinta alam, jurugambar, dan beriadah. Pada hari perasmian tersebut, Sir Gerald Templer sempat meninjau kawasan seluas 50 ekar yang telah mula dibuka kepada orang awam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mageran-800px
Sejarah

Penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)

16 Mei 1969 – Penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada tahun 1969 bertujuan untuk menangani permasalahan yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tunku Osman Mohd. Jewa, Tan Sri Mohamad Salleh, Leftenan Dato’ Ibrahim Ismail, Presiden MCA dan Presiden MIC.

Pada dasarnya fungsi MAGERAN ialah untuk mengawal ketenteraman, mempastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai di kalangan rakyat pelbagai kaum. Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Berikutan daripada itu, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1970. Beberapa dasar penting telah diwujudkan antaranya Akta Hasutan, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru yang telah dirangka dan dilancarkan pada Januari 1971 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.

Penubuhan Majlis Gerakan Negara telah memberikan sumbangan yang besar dalam memulihkan perpaduan di kalangan rakyat sehingga kemerdekaan negara dapat dipertahankan hingga kini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard