alfonso_de_albuquerque-800px
Sejarah

Serangan Pertama Portugis Ke Atas Melaka

25 Julai 1511 – Pada tahun 1511, Melaka telah diserang oleh askar-askar Portugis yang diketuai oleh Alfonso De Albuquerque. Serangan pertama Portugis ke atas Melaka ini ekoran daripada tidak ada tolak ansur di antara Sultan Mahmud, dan orang-orang Portugis mengenai orang-orang tahanan Portugis.

Askar-askar Portugis telah melancarkan serangan pada waktu subuh hari ini, iaitu hari St. James, dengan menaiki beberapa buah perahu. Orang-orang Portugis mendarat di bahagian utara dan selatan bandar Melaka.

Perahu-perahu yang membawa askar-askar Portugis telah dibedil dengan meriam dari darat oleh orang-orang Melayu.

Tetapi askar-askar Portugis itu dapat juga mendarat, dan satu pertempuran hebat telah berlaku di antara askar-askar Portugis dan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Mahmud dan putera baginda Raja Ahmad.

Setelah bertempur beberapa jam lamanya ramai askar-askar kedua belah pihak terbunuh dan orang-orang portugis telah mencapai objektifnya untuk menawan jambatan dekat dengan Kuala Sungai Melaka.

Bagi orang-orang Melayu banyak rumah-rumah dan harta benda telah musnah, dan yang paling penting ialah Istana Sultan Melaka yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Melayu yang telah turut juga musnah.

Alfonso de Albuquerque

Alfonso de Albuquerque

Askar-askar Portugis seramai 70 orang yang mempertahankan jambatan serta membuat kubu-kubu di kedua-dua hujung jambatan itu, telah dihujani dengan tembakan meriam, tombak dan sumpitan beracun dari orang-orang Melayu.

Oleh kerana serangan itu tidak berhenti-henti maka orang-orang Portugis tidak dapat mempertahankan jambatan tersebut dan semuanya telah terbunuh kecuali seorang pegawai bernama Fernao Gomez yang terselamat.

Pada petang itu juga baki askar-askar Portugis yang masih hidup di bandar Melaka telah bertempiaran lari ke kapal mereka.

Peperangan tersebut adalah satu detik bersejarah bagi orang-orang Melayu untuk mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan Portugis.

Kekalahan Portugis dalam pertempuran tersebut adalah satu kemenangan bagi orang-orang Melayu dalam usaha mempertahankan Melaka daripada kuasa besar Barat yang bertujuan untuk menguasai perdagangan dan menghapuskan pusat perkembangan Islam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
durbar_pertama-800px
Sejarah

Sidang Raja-Raja Melayu (DURBAR) Yang Pertama

13 Julai 1897 – Pada tahun 1897, Sidang Raja-raja Melayu (Durbar) yang pertama, telah diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar. Hadir di dalam Sidang Durbar ini ialah DYMM Sultan Perak, Sultan Idris; Sultan Pahang, Sultan Ahmad; Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad dan Yam Tuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad. Baginda Raja-raja Melayu telah diiringi oleh Orang-orang Besar.

Hadir bagi pihak Kerajaan British pula ialah Sir Charles Mitchell, Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Hugh Clifford, Residen Pahang; J.P. Rodger, Residen Selangor dan W.H. Treacher, Residen Negeri Perak.

Sidang Durbar ini merupakan persidangan Raja-raja Melayu yang pertama diadakan di mana Sultan-sultan, dan Pembesar-pembesar Melayu dapat bertemu dalam satu perjumpaan yang besar. Bagaimanapun ia juga merupakan persidangan Raja-raja Melayu dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu sahaja.

Tujuan utama Sidang Durbar ialah untuk memperlihatkan kepada Raja-raja Melayu tentang keadaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan bertukar-tukar fikiran mengenai negeri masing-masing.

Dalam persidangan ini perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan lain-lain masalah yang tertentu mengenai kepentingan Orang-orang Melayu telah dibincangkan.

Hasil daripada persidangan seperti ini, seperti yang dinyatakan oleh Residen General, Sir Frank Swettenham, ia telah mendekatkan lagi realiti Negeri-Negeri Melayu Bersekutu kepada orang-orang Melayu di keempat-empat buah negeri itu – Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan dan menyedarkan mereka untuk bersatu dalam hal-hal yang bersangkut-paut dengan hal-hal kepentingan bersama dan mengeratkan hubungan peribadi.

Selain daripada itu, ia tidak menghasilkan sebarang kepentingan pentadbiran kerana tidak ada apa yang boleh diputuskan dalam persidangan itu oleh kerana Raja-raja itu tidak dibenarkan bersuara selain daripada hal-hal yang berkaitan dengan negeri masing-masing. la semata-mata merupakan sebuah badan penasihat.

Bagaimanapun persidangan ini telah membuka jalan kepada Raja-raja Melayu untuk mengenali sistem pentadbiran penjajah British dan dengan itu dapat memberi teguran-teguran yang bernas seperti yang pernah disuarakan oleh Sultan Idris Perak dalam Durbar Kedua yang berlangsung pada 20 hingga 23 Julai 1903.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
logo_polis-800px
Sejarah

Surau Polis Pertama Di Malaya

10 Julai 1953 – Pada tahun 1953, Surau Polis Pertama di Malaya telah dibuka dengan rasminya oleh Datin Hamidah iaitu isteri kepada Datuk Setiuasaha Kerajaan Negeri Terengganu. Surau polis yang pertama itu terbina hasil daripada desakan isteri-isteri polis, khasnya usaha Polis Persekutuan Tanah Melayu di Terengganu.

Pembinaan surau itu bertujuan untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada segala urusan agama, terutama bagi kepentingan ahli-ahli polis Kuala Terengganu.

Berucap di Majlis Perasmian itu, Timbalan Ketua Pegawai Polis Terengganu, En. Talib bin Lisut, menegaskan tentang peri pentingnya mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni.  Oleh yang demikian diharap bangunan surau itu nanti dapat digunakan dengan sebaik mungkin khasnya dalam menjalankan aktiviti agama dan kebajikan.

Turut hadir di majlis itu ialah Mufti Kerajaan Terengganu, guru-guru agama perempuan Madrasah Al Sultan Zainal Abidin, Setiausaha Pejabat Agama dan Pemeriksa Hal Ehwal Agama serta pegawai-pegawai polis.

Perasmian surau polis pertama pada hari ini dalam tahun 1953, merupakan satu catatan sejarah kepada ahli-ahli polis di Malaya, khasnya di Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lambang_kedah-800px
Sejarah

Perjanjian Pinjaman Kedah-Siam

16 Jun 1905 – Pada tahun 1905, satu Perjanjian Pinjaman Kedah-Siam telah ditandatangani. Pinjaman sebanyak 2,600 ringgit itu dibuat oleh kerajaan Kedah untuk menampung perbelanjaan pentadbiran.

Dalam perjanjian itu Sultan Kedah telah diwakili oleh Raja Muda Tengku Abdul Aziz, manakala pihak Siam pula telah diwakili oleh Menteri Kewangannya Putera Mahisara Rachaharuthai.

Upacara menandatangani perjanjian itu berlangsung di Bangkok di hadapan dua orang saksi H.F. Williamson dan A.C.S. Ward.

Raja Muda Tengku Abdul Aziz

Raja Muda Tengku Abdul Aziz

Antara syarat-syarat perjanjian ini adalah :

  • Sultan Kedah dikehendaki membayar faedah pinjaman dengan kadar 6% setahun.
  • Pembayaran balik pinjaman secara ansuran berserta faedah hendaklah dibuat pada 1 haribulan Jun tiap-tiap tahun.
  • Sultan Kedah dikehendaki menerima dan membayar gaji seorang Penasihat Kewangan yang dilantik oleh Siam bagi menasihati baginda mengenai soal-soal pentadbiran kewangan Kedah.
  • Sultan Kedah tidak dibenarkan membuat lain-lain pinjaman selagi pinjaman ini belum selesai.

Perjanjian Pinjaman Kedah-Siam membawa kesan dan perubahan dalam sistem pentadbiran negeri Kedah. Di antaranya ialah perlantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Yang Dipertua Mesyuarat Perundangan Negeri dan Williamson sebagai Penasihat Kewangan Kedah. Dengan perlantikan itu segala urusan Mesyuarat Perundangan Negeri adalah mengikuti nasihat W.F. Williamson.

Apabila Williamson berhenti, kerajaan Siam terpaksa meminjam J.C. Hart dari kerajaan Inggeris untuk meneruskan tugas-tugas pentadbiran kewangan.

Sejak peristiwa ini kerajaan Siam mulai sedar bahawa Kedah tidak menguntungkan sebagai jajahan takluk. Akhirnya pada 31 Mei 1909 semasa menandatangani perjanjian Siam-Inggeris, kerajaan Siam telah bersetuju menyerahkan Kedah kepada Inggeris.

Penyerahan ini memaksa Kedah menerima seorang penasihat Inggeris yang bertanggungjawab menasihatkan Sultan mengenai segala hal kecuali soal-soal agama Islam dan adat istiadat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard