replika_tahta_perak-800px
Sejarah

Pemansuhan Jawatankuasa Penasihat British Di Perak

19 Disember 1956 – Pada tahun 1956, DYMM Sultan Perak, Raja Sir Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil telah menandatangani dua dokumen yang memansuhkan jawatan Penasihat British di Perak. Upacara tersebut berlangsung di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Kedua-dua dokumen itu ialah mengenai pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Negeri Perak dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Perak merupakan negeri pertama di Tanah Melayu menerima seorang pegawai British sebagai penasihat kerajaan. Penasihat yang dikenali sebagai Residen itu mempunyai kuasa pentadbiran yang lebih besar daripada Sultan sendiri. Bidang kuasa Sultan terhad pada hal-hal Agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Yusuf Izzuddin Shah

Pegawai British yang dikenali sebagai Residen British itu dilantik melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Jaafar pada 20 Januari 1874. Jawatan Residen itu kekal sehinggalah tamat Perang Dunia Kedua (1945) apabila ia ditukarkan kepada Penasihat British.

Pada hari ini dalam tahun 1956 jawatan Penasihat British di Perak telah dimansuhkan. Dengan itu tamatlah sejarah campurtangan pegawai British secara langsung selama 82 tahun dalam pentadbiran negeri Perak yang bermula pada tahun 1874 dengan J.W.W. Birch sebagai Residen British yang pertama dan berakhir pada tahun 1956 dengan Dato’ I.W. Blelloch, Penasihat British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tunku_abdul_rahman_rtm-800px
Sejarah

Tunku Abdul Rahman Meninggal Dunia

06 Disember 1990 – Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, 87 tahun telah kembali ke rahmatullah di Hospital Besar Kuala Lumpur, pada jam 10.25 malam 06 Disember 1990 kerana sakit tenat. Jenazah Almarhum telah di bawa ke Bangunan Parlimen daripada tempat kediamannya pada jam 7.40 pagi dan diletakkan di tempat khas di Dewan Bankuasi bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

Satu upacara penghormatan terakhir telah diadakan di stesen Tentera Udara Diraja Malaysia oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia, sebelum Jenazah Almarhum diterbangkan ke Alor Setar. Jenazah Almarhum disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar. Tunku Abdul Rahman diputerakan di Alor Setar pada 8 Februari 1903 dan merupakan putera ketujuh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan sebagai mengenangkan segala jasa dan pengorbanan beliau dalam mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.

makan_tunku_abdul_rahman

Beliau menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama dari tahun 1957 hingga 1963 dan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1963 hingga 1970. Pada 22 September 1970 beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Selepas bersara dari politik, Tunku dilantik menjadi Setiausaha Agong Persidangan Negara-Negara Islam yang pertama sehingga 1974.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tabung_haji_logo-800px
Sejarah

Akta Baru Tabung Haji Dikuatkuasakan

01 Jun 1995 – Pada tahun 1995, akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama. Nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997, dan serentak dengan itu huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan nama menggantikan perkataan Tabung Haji.

Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan dibawah Akta 8/1969 pada 8 Ogos 1969 dan sejarah penubuhan Tabung Haji bermula apabila Profesor Ungku Aziz mengemukakan kertas kerja bertajuk ”Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada Kerajaan pada bulan Disember 1959. Beliau mengesyorkan penubuhan satu perbadanan untuk mengendalikan urusan orang-orang beragama Islam menunaikan Fardu Haji.

Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji dibentuk dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Muda Kementerian Luar Bandar, Tuan Haji Abdul Khalid bin Awang Osman. Hasil daripada perbincangan itu, ”Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji” ditubuhkan dibawah Undang-undang bil 34/62 berkuatkuasa pada 1 November 1962 dan dilancarkan pada 30 September 1963.

Pada tahun 1969 Perbadanan itu digabungkan dengan Jabatan Hal Ehwal Haji yang beroperasi sejak tahun 1951 bagi mewujudkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji. Lembaga ini diwujudkan bukan sahaja bertujuan mengatasi masalah sosio ekonomi malahan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang membolehkan kaum Muslimin untuk melabur dan menyertai secara berkesan segala aktiviti ekonomi negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_persekutuan_tanah_melayu-800px
Sejarah

Lambang Persekutuan Tanah Melayu Yang Baru Diwartakan.

30 Mei 1952 – Raja-raja Negeri Melayu telah memperkenankan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang baru diwartakan pada 1952. Hal ini telah dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan iaitu Jeneral Sir Gerald Templer di Kuala Lumpur.

Reka bentuk lambang baru tersebut telah diusahakan oleh Jabatan Ukur bersama dengan Raja-raja Melayu dan Sir Henry Gurney. Ia menggunakan enam warna. Dalam lambang Persekutuan itu terdapat bintang pecah sebelas, yang mewakili 11 negeri dan bulan sabit melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi. Lima bilah keris di bawahnya menandakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Di kirinya lambang Negeri Pulau Pinang – Prince Of Wales yang berlatarkan ombak laut. Di kanannya pula lambang Gerbang Kota Santiago yang mewakili Negeri Melaka. Kedua negeri dipisahkan oleh warna hitam, merah dan kuning yang merupakan warna-warna berasingan bagi Negeri-negeri Bersekutu.

Lambang harimau merupakan lambang yang digunakan bagi Negeri-negeri Melayu sejak sebelum perang lagi. Lambang Persekutuan yang baru ini telah menjadi lambang kemegahan dan menjadi tanda Persekutuan Tanah Melayu sehingga selepas kemerdekaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
bendera_persekutuan_tanah_melayu-800px
Sejarah

Bendera Persekutuan Dikibarkan Buat Pertama Kali

26 Mei 1950 – Pada tahun 1950, bendera Persekutuan dikibarkan buat pertama kali di Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur. Bendera ini telah dijadikan bendera rasmi Persekutuan Tanah Melayu apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, dan dikibarkan pada hari yang penuh bersejarah itu.

Bendera berukuran 6’ x 3’ ini adalah hasil rekaan Allahyarham Mohamed bin Hamzah, seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya di Johor dalam satu pertandingan yang diadakan pada tahun 1949.

Berdasarkan petikan daripada fail Jabatan Perdana Menteri bertajuk ‘Federation of Malaya Flags’ ada menjelaskan tentang pengertian simbol-simbol pada bendera tersebut. Surat bertarikh 7 Jun 1950 itu menjelaskan bahawa 11 jalur berwarna merah dan putih dan bintang pecah 11 adalah lambang perpaduan dan kerjasama 11 buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu. Lambang bulan dan bintang berwarna kuning menandakan agama Islam sebagai agama rasmi. Warna merah, putih dan biru melambangkan gabungan dan kerjasama Persekutuan Tanah Melayu dalam Pertubuhan Negara-negara Komanwel.

Hari ini, setelah negara mencapai kemerdekaan bendera ini masih lagi berkibar megah di angkasaraya. Malah pada 31 Ogos 1997, bendera Malaysia ini menempa satu lagi sejarah apabila ia diberikan nama khas iaitu Jalur Gemilang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Coat_of_arms_of_Terengganu-800px
Sejarah

Perjanjian Inggeris-Terengganu 1919

24 Mei 1919 – Pada tahun 1919, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sir Arthur Henderson Young iaitu Gabenor Negeri-negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu bagi pihak kerajaan British dengan Baginda Sultan Terengganu, Sultan Muhammad Zainal Abidin.

Perjanjian ini bertujuan untuk membatalkan Perkara Kedua dalam Perjanjian pada 22 April 1910 yang ditandatangani oleh Sultan Muhammad dan John Anderson. Perkara Kedua ini menetapkan “…… bahawa Kerajaan Great Britain hanya ingin meletakkan seorang Pegawai British di Terengganu sebagai seorang Agen yang berfungsi sama seperti Pegawai Konsulat. Baginda Sultan Terengganu hendaklah menerima Pegawai ini dan menyediakan dengan percuma suatu tempat di mana akan dibina rumah kediaman Pegawai seperti ini. ”

Dalam perjanjian yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1919, kedua-kedua pihak bersetuju membatalkan Perkara Kedua tersebut dan menggantikannya dengan perkara-perkara berikut:

  • PERTAMA- Duli Yang Maha Mulia Sultan Trengganu akan menerima dan menyediakan tempat kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang akan dipanggil sebagai Penasihat British dan yang akan tinggal di Negeri Terengganu, dan nasihatnya hendaklah diminta dan dilaksanakan mengenai semua perkara yang berkaitan dengan pentadbiran negeri itu kecuali hal-hal yang bersangkutan dengan Agama Islam;
  • KEDUA- Perbelanjaan bagi perjawatan Penasihat British ini akan ditentukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dibayar dari wang hasil mahsul Negeri Terengganu;
  • KETIGA- Pungutan dan pembayaran semua hasil negeri itu hendaklah diselenggarakan mengikut nasihat Penasihat British itu.

Perjanjian ini ditandatangani di Singapura dengan disaksikan oleh H. Marriot dan J. L. Humphreys bagi pihak Kerajaan British, manakala saksi bagi pihak Sultan Muhammad Zainal Abidin ialah Omar bin Abdul Rahman (Tengku Ngah), Abu Bakar bin Abdul Rahman (Tuan Embong), Ahmad bin Abdul Rahman (Tengku Chik) dan Muhammad bin Yusop (Haji Ngah).

Ekoran dari perjanjian ini J. L. Humphreys telah dilantik sebagai Penasihat British yang pertama di Terengganu. Dengan pelantikan ini pentadbiran Negeri Terengganu telah berubah corak dan Sultan terpaksa menerima dan mengikut kehendak Penasihat British itu. Keadaan ini secara langsung telah menggugat kuasa-kuasa Baginda di dalam pentadbiran negeri. Akhirnya Sultan Muhammad Zainal Abidin telah mengundurkan diri. Baginda digantikan oleh Tengku Muda Sulaiman yang menjadi Sultan pada bulan Mei 1920.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
uia-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa

20 Mei 1983 – Pada tahun 1983, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Tuanku Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Mu’adzam Shah telah berkenan menandatangani ’Surat Cara’ Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur.

universiti_islam_antarabangsa

Sejarah cadangan penubuhan UIAM bermula pada tahun 1977 dengan penerimaan resolusi ‘Konfenderasi Pendidikan Muslim Sedunia’ di Makkah anjuran Universiti Raja Abdul Aziz. Pada awal tahun 1982, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad merancang untuk menubuhkan Universiti Islam dengan kos perbelanjaan ditaja oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan beberapa negara Islam. Setelah dipersetujui kabinet, UIAM ditubuhkan secara rasmi dengan menumpang di Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya.

UIAM memulakan sesi pengajian buat pertama kali pada 18 Julai 1983 dengan pengambilan seramai 153 orang pelajar. Pada 24 Ogos 1993, YAB Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad telah merasmikan upacara meletakkan batu asas kampus UIAM di Gombak dan pada 17 April 2001, beliau merasmikan kampus UIAM yang menelan belanja sebanyak RM672 juta. Kampus tersebut mempunyai reka bentuk seni bina Islam dan tradisional Melayu terletak di kawasan seluas 272 hektar.

Sesungguhnya UIAM terus berkembang dan kini mempunyai dua kampus cawangan di Kuantan dan Kuala Lumpur serta Pusat Asasi UIAM yang terletak di Petaling Jaya, Selangor dan di Nilai, Negeri Sembilan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
ukm-800px
Sejarah

Universiti Kebangsaan Malaysia Ditubuhkan

18 Mei 1970 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan pada tahun 1970. Kampus sementaranya di bangunan bekas Maktab Perguruan Persekutuan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

UKM logo

Sejarah penubuhannya bermula apabila Pendeta Za’ba menyuarakan pendapatnya agar sebuah universiti ditubuhkan melalui tulisannya di Akhbar Lembaga Melayu pada Mei 1917. Pendapat itu turut disokong seorang tokoh penulis iaitu Abdul Kadir Adabi yang menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan pada 1923 meminta penubuhan universiti untuk orang-orang Melayu. Persatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung pula mahukan pendaulatan Bahasa Melayu di peringkat universiti. Perjuangan itu diteruskan oleh sekumpulan intelektual dari Universiti Malaya yang telah mempelopori gerakan untuk menubuhkan Universiti Kebangsaan secara lebih serius.

Pada tahun 1963 satu Seminar Bahasa dan Sastera telah diadakan . Hasil daripada seminar ini, keputusan yang mahukan universiti yang benar-benar bercorak kebangsaan dicapai manakala sebuah universiti Islam turut sama dibincangkan. Pada 25 Ogos 1968, satu Jawatankuasa Penganjur Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan. Antara tokoh yang terlibat di dalam jawatankuasa ini adalah Zainal Abidin Wahid, Abu Bakar Hamid, Tunku Shamsul Bahrin dan Syed Husin Ali.

Zainal_Abidin_Ahmad_zaaba_400

Zainal Abidin Ahmad (Zaaba)

Selepas proses perbincangan antara kerajaan dengan Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan maka pada 24 Januari 1969, Menteri Pelajaran, Encik Mohd. Khir Johari telah mengumumkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia dimana kampus sementaranya terletak di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Di awal penubuhannya seramai 192 orang pelajar telah diterima masuk. Tiga fakulti telah ditubuhkan iaitu Fakulti Sastera, Sains dan Pengajian Islam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pilihanraya_1969-800px
Sejarah

Penentuan Lambang Parti-Parti Politik

14 Mei 1955 – Pada tahun 1955 parti-parti politik yang akan bertanding dalam pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada 27 Julai 1955 telah menentukan pemilihan lambang parti masing-masing.

Lambang Parti Negara

Lambang Parti Negara

Di dalam pemilihan lambang-lambang parti ini parti Perikatan UMNO-MCA telah memilih Kapal Layar sebagai lambangnya; Parti Negara memilih Tangkai Padi; Parti Islam Se Tanah Melayu berlambangkan Bulan Sabit dengan Bintang; manakala Parti Buruh Malaya memilih lambang Cangkul dan Pen yang berpalang.

Lambang Parti Buruh Malaya

Lambang Parti Buruh Malaya

Parti Kebangsaan Perak (Perak National Party) iaitu parti pimpinan Menteri Besar Perak, Dato’ Panglima Bukit Gantang Hj. Abd. Wahab, dan Parti Buruh Province Wellesley yang dipimpin oleh Puan B. H. Onn seorang peguam dan ahli Majlis Perundangan Persekutuan memilih Harimau dan Jambatan sebagai lambang parti masing-masing.

pilihanraya_1955-800px

Untuk menjayakan pilihanraya ini Pendaftar Pilihanraya Persekutuan telah menyiapkan daftar senarai pengundi-pengundi bagi Majlis Perundangan Persekutuan yang dianggarkan berjumlah lebih sedikit 1,280,000 orang. Selain daripada itu, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang telah mengeluarkan sendiri daftar pengundi masing-masing; manakala bagi negeri-negeri yang lain telah dihantarkan salinan stensil.

Inilah pertama kalinya lambang-lambang parti telah dipilih untuk pilihanraya di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Acheh Menyerang Batu Sawar, Johor

07 Mei 1613 – Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Acheh menyerang Batu Sawar, Johor pada tahun 1613. Serangan ini telah dilakukan kerana kerajaan Acheh tidak menyetujui persahabatan Johor dengan Portugis.

Kecenderungan Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah III untuk bersahabat dengan Portugis bermula sejak awal tahun 1610 lagi apabila seorang putera baginda telah berkahwin dengan sepupunya puteri Raja Siak. Raja Siak yang telah bersahabat baik dengan orang-orang Portugis telah mempengaruhi Sultan johor supaya dengan bersahabat Portugis.

Angkatan Perang Acheh yang menyerang Batu Sawar dan juga Kota Sekarang telah berperang selama 29 hari sebelum berjaya menawannya. Sultan Alauddin Riayat Shah III bersama-sama adinda baginda, Raja Abdullah serta Bendahara Tun Seri Lanang telah ditawan dan dibawa ke negeri Acheh.

Semasa di Acheh, Sultan Alauddin telah diberi layanan yang baik dan Raja Abdullah telah dikahwinkan dengan seorang puteri Acheh iaitu adinda Sultan Iskandar Muda demi mempereratkan kembali tali persaudaraan keluarga diraja di antara kedua buah negara itu. Raja Abdullah kemudiannya telah dihantar balik ke negeri Johor bersama-sama angkatan dan perang Acheh serta membawa sejumlah perbelanjaan untuk membaiki dan membangunkan semula bandar Batu Sawar yang telah rosak akibat peperangan yang lalu itu.

Bendahara Tun Seri Lanang yang tinggal di Acheh telah meneruskan kerja-kerja menyusun dan membaiki Sejarah Melayu yang telah dimulakan semasa di Johor dahulu. Tun Seri Lanang juga telah berkesempatan berkenalan dengan pengarang dan ulamak yang terkenal di Acheh seperti Sheikh Nuruddin Ar-Raniri, Tuan Burhat, Hamzah Fansuri lain-lain. Mereka ini mendapat galakkan daripada Sultan Iskandar Muda untuk memajukan persuratan Melayu dan agama Islam.

Selepas lebih satu tahun Sultan Alauddin tinggal di Acheh, akhirnya baginda telah dibenarkan pulang ke negeri Johor. Baginda telah berjanji dengan Sultan Acheh akan membantu Acheh dalam peperangan melawan orang-orang Portugis dan tidak membenarkan orang-orang Belanda tinggal di negeri Johor lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard