04 Januari 1959 – Pada tahun 1959, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah melancarkan perkhidmatan siaran terus Radio Malaya dari stesennya di Rumah Persekutuan Kuala Lumpur. Dengan itu bermulalah siaran berasingan Radio Malaya, yang telah ditubuhkan sejak 1946, dan beroperasi di Singapura. Pada masa yang sama stesen di Singapura dikenali dengan Radio Singapura.
Dari Rumah Persekutuan ini rancangan-rancangan disiarkan dalam empat bahasa iaitu Melayu oleh Perkhidmatan Melayu, Inggeris (Perkhidmatan Inggeris), Cina (Perkhidmatan Cina), dan Tamil (Perkhidmatan Tamil), yang kemudiannya dikenali sebagai Rangkaian-rangkaian Nasional, Biru, Hijau dan Merah.
Tujuan Pemindahan Radio Malaya
Dalam ucapannya, Tun Abdul Razak berkata, pemindahan radio Malaya itu perlu kerana kerajaan sedar tentang pentingnya perkhidmatan Malaya diperluaskan. Langkah tersebut juga adalah sejajar dengan rancangan masa hadapan perkhidmatan radio, yang telah siap diatur. Antaranya ialah untuk membuka dua buah stesen baru iaitu di Pulau Pinang dan Melaka. Manakala bagi pendengar di Pantai Timur pula, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, usaha sedang dibuat dengan kerjasama Jabatan Telekom bagi mendirikan alat pemancar gelombang sederhana di Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan.
Di peringkat permulaan, siaran berita masih terus disiarkan dari stesen di Singapura. Begitu juga dengan siaran ke sekolah-sekolah. Tun Abdul Razak mencadangkan supaya diadakan siaran berita daerah, khusus melaporkan peristiwa yang berlaku di sekitar semenanjung.
Pemindahan Radio Malaya dari Singapura, pada hari ini dalam tahun 1959, jelas mencatatkan sejarah baru dalam era perkembangan Radio Malaysia.
Sumber : Arkib Negara Malaysia