sabah_hari_malaysia-800px
Sejarah

Pengisytiharan Penetapan Hari Malaysia Ditandatangani

29 Ogos 1963 – Pada tahun 1963, DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah menandatangani pengisytiharan penetapan Hari Malaysia iaitu pada 16 September 1963.

Penetapan tarikh ini telah diputuskan oleh kerajaan Persekutuan berdasarkan beberapa perkara:

  1. Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu, U Thant telah menyatakan bahawa ia menduga akan menyelesaikan tugas-tugasnya di Borneo menjelang 4 September 1963;
  2. Tarikh baru 16 September ini juga telah dipersetujui oleh kerajaan-kerajaan British, Singapura, Sabah dan Sarawak;
  3. Kerajaan Persekutuan tidak sekali-kali bertindak melanggar kata sepakat persetujuan Manila dengan penetapan tarikh baru itu;
  4. Peninjauan Bangsa-bangsa Bersatu di Borneo sekarang bukan menjadi syarat yang menentukan sama ada Malaysia akan wujud atau tidak. Kerajaan Persekutuan yakin rakyat Borneo mendukung Malaysia.

Kerajaan Indonesia dan Filipina telah diberitahu mengenai tarikh baharu Penetapan Hari Malaysia ini. Surat-surat pemberitahuan itu telah disampaikan melalui Duta Besar masing-masing di Kuala Lumpur.

Tindakan ini telah menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak melanggar Persetujuan Manila ataupun mungkir janji.

Ini adalah kerana Kerajaan Malaysia sekarang hanya mengisytiharkan tarikh Hari Malaysia, sedangkan Malaysia sebenar hanya akan wujud pada tarikh yang ditetapkan, setelah rundingan-rundingan dengan Kerajaan British dan Kerajaan-kerajaan Wilayah yang berkenaan diadakan.

Kerajaan Persekutuan telahpun menyatakan pada Kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia tentang tujuannya untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963, sebagaimana yang telah dipersetujui di London pada 9 Julai 1963.

Kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia telah mengumumkan di dalam Persetujuan Manila bahawa mereka akan menyambut baik penubuhan Malaysia itu dengan syarat sokongan rakyat di Wilayah Borneo ditentukan oleh satu badan yang bebas.

Kerajaan Persekutuan begitu yakin bahawa sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka melalui Malaysia dan percaya bahawa hasil siasatan Bangsa-bangsa Bersatu akan memberikan pendapat yang sama.

Inilah faktor-faktor yang menyebabkan Hari Malaysia ditetapkan pada 16 September 1963.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard