eagle_150b-800px
Sejarah

Pesawat Pertama Buatan Malaysia Eagle X-TS Diperkenalkan

5 Oktober 1993 – Pada tahun 1993, pesawat pertama buatan Malaysia Eagle X-TS telah dikeluarkan dengan megahnya daripada tempat simpanan kapal terbang Henderson dekat Perth, Australia Barat.

Menurut penasihat sains di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Omar Abdul Rahman, Projek Eagle X-TS itu pada mulanya dijalankan oleh sebuah Syarikat Australia, Composite Technology Pty. Ltd., tetapi mengalami beberapa masalah. Selepas itu sebuah syarikat Malaysia, Composite Technology Research (Malaysia) Sdn. Bhd. (CTRM), milik penuh Perbadanan Menteri Kewangan telah menyelamatkan projek itu apabila ia membeli 50 peratus saham syarikat berkenaan pada Disember 1990.

CTRM Eagle 150B

CTRM Eagle 150B

Pembabitan Malaysia dalam projek itu bukan sahaja dalam bentuk pertambahan modal tetapi juga membabitkan pengurusan, kawalan mutu dan pengeluaran. Sepasukan jurutera, juruteknik dan pengurus Malaysia dengan bantuan pihak Australia telah membina pesawat tersebut daripada bentuk prototaip proof-of-concept kepada prototaip pengeluaran dan seterusnya kepada pengeluaran pesawat. PETRONAS kemudian menjadi rakan kongsi CTRM dan menubuhkan Eagle Aircraft (M) Sdn. Bhd. dengan masing-masing memegang ekuiti 60 dan 40 peratus. Pada Mei 1993 mereka membeli Syarikat Australia itu sepenuhnya dengan menambah pegangan kepada 100 peratus.

Pembinaan pesawat Eagle X-TS memakan masa dua setengah tahun selepas melalui banyak pengubahsuaian daripada prototaip proof-of-concept kepada prototaip pengeluaran dan kepada pengeluaran kapal terbang. Ianya juga telah menjalani ujian 300 jam sebelum Lembaga Penerbangan Awam Australia mengeluarkan sijil kelulusan jenis pada 21 september 1993, yang mana membolehkan syarikat itu mengeluar dan memasarkan pesawat tersebut.

Sesungguhnya dengan terciptanya pesawat X-TS buatan Malaysia diharap akan dapat meningkatkan lagi pembabitan Malaysia dalam industri perindustrian kapal terbang, di samping akan dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard