Sejarah

Penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

01 Julai 1896 – Pada tahun 1896, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor telah bergabung menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbirannya.

Usaha kearah penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini bermula menjelang tahun 1892 apabila didapati bahawa Sistem Residen telah tidak sesuai lagi dan tidak dapat memenuhi kehendak pentadbiran penjajah Inggeris di Tanah Melayu.

Cadangan rasmi yang pertama bagi mengadakan suatu bentuk persekutuan datangnya dari Sir Charles Lucas, seorang Pegawai Tetap di Pejabat Jajahan London dalam bulan Mac 1892 yang telah diasaskan dari perbincangan dengan Frank Swettenham. Penjajah British mendapati bahawa sistem yang paling sesuai bagi negeri-negeri Melayu ialah satu sistem di mana pentadbirannya diseragamkan supaya negeri-negeri yang lebih kuat dan kaya akan dapat membantu negeri-negeri yang lemah dan kurang mewah.

Sir_Frank_Swettenham_1904-800px

Sir Frank Swettenham

Untuk melaksanakan rancangan ini, pada tahun 1895, Frank Swettenham telah diutus ke negeri-negeri yang berkenaan untuk menerangkan rancangan tersebut kepada Raja-Raja Melayu serta mendapatkan persetujuan mereka. Frank Swettenham telah berjaya mendapatkan persetujuan daripada Raja-Raja berkenaan.

Hasilnya satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan 1895 telah ditandatangani di antara Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith bagi pihak Kerajaan British dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris, Perak; Sultan Suleiman, Selangor; Sultan Mahmud, Pahang; dan Yam Tuan Besar Sri Menanti, Dato Bandar Sungai Ujong, Undang Johol, Undang Rembau dan Tengku Dewa Tampin.

Menurut perjanjian penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini, Raja-Raja yang berkenaan bersetuju menempatkan diri mereka dan negeri-negeri mereka di bawah lindungan Kerajaan British dan menjadikan negeri-negeri mereka satu persekutuan yang akan dikenali sebagai Protected Malay States yang akan ditadbir dengan nasihat dari Kerajaan British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
logo_polis-800px
Sejarah

Pembentukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

01 Julai 1896 – Pada tahun 1896, Polis Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah menjadi Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.  Pembentukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini adalah ekoran dari penyatuan Negeri-Negeri Melayu tersebut di bawah kuasa pentadbiran Kolonial Inggeris, yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

Kapten H.C.Syers telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, bagi tujuan mengendalikan tugas-tugas pasukan ini.  Sebelum menjawat jawatan ini, Kapten Syers  adalah Ketua Polis bagi negeri Selangor yang bergelar ‘Captain Superintendent’. Tempat beliau telah digantikan oleh Ketua Polis negeri Perak bernama  Christian Wagner.

Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru dibentuk ini terdiri dari pegawai-pegawai British, orang-orang Sikh dan orang-orang Melayu.  Pasukan ini mempunyai pakaian seragamnya sendiri berwarna biru dari jenis kain benang bulu dengan bintang dan lencana yang berbeza mengikut negeri-negeri.

Pembentukan Pasukan Polis Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan menjadi Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun ini, sesungguhnya merupakan satu langkah yang bijak bagi Inggeris untuk memastikan keamanan wujud di negeri-negeri Melayu yang dijajahnya.  Cara ini membolehkan pihak Inggeris menjalankan pentadbirannya dengan lebih licin dan berkesan lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
francis_light-800px
Sejarah

Presidensi Pulau Pinang Dibubarkan

30 Jun 1830 – Pentadbiran Inggeris di Pulau Pinang yang bertaraf Presidensi telah dibubarkan pada tahun 1830. Pembubaran ini adalah merupakan satu peristiwa bersejarah dalam sistem pentadbiran Inggeris khasnya di Pulau Pinang ekoran dari perkembangan politik dan ekonomi yang merosot.

Semenjak Pulau Pinang di buka dalam tahun 1786, satu sistem pentadbiran bertaraf Residen telah dimulakan oleh Francis Light selaku Residen yang pertama di bawah pengawasan Gabenor Inggeris di Benggala. Dasar-dasar pentadbiran adalah mengikut dasar pentadbiran syarikat perdagangannya dan dibantu oleh beberapa orang kakitangan.

Francis Light

Selepas kematiannya pada tahun 1794, taraf Residen diturunkan kepada taraf Superintendent dan pada tahun 1800 kepada taraf Lieutenant-Governor. Sepanjang tahun 1800 hingga 1805, perkembangan ekonomi dan perdagangan Pulau Pinang bertambah baik dan maju dengan sistem pentadbiran yang lebih teratur. Dengan itu, kerajaan Inggeris yakin Pulau Pinang akan memberi faedah yang besar sesuai dengan tujuan untuk menjadikannya pengkalan tentera laut dan pusat perdagangan Inggeris di timur.

Berikutan dari itu, taraf pentadbiran Pulau Pinang dinaikkan ke taraf Presidensi iaitu setaraf dengan Presidensi Inggeris di India, seperti Benggala, Bombay dan Madras pada tahun 1805. Urusan pentadbirannya adalah di bawah pengawasan terus dari London. Oleh itu, beberapa jawatan baru telah ditambah untuk melicinkan pentadbiran sesuai dengan taraf Presidensi. Presidensi Pulau Pinang bertanggungjawab menguruskan hal-ehwal dalam dan luar negeri serta menjalankan arahan dari Kerajaan Inggeris di London. Presidensi itu menghadapi berbagai masalah terutamanya kewangan dan undang-undang manakala rancangan perkapalan dan perdagangan gagal kerana tidak sesuai.

Pada tahun 1826, Negeri-Negeri Selat ditubuhkan dan Pulau Pinang telah dijadikan ibu negeri. Hal itu telah membebankan lagi Presidensi Pulau Pinang dan seterusnya kerajaan Inggeris kerana perbelanjaan pentadbirannya terus bertambah melebihi pendapatannya yang kian merosot. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1830, Presidensi Pulau Pinang terpaksa dibubarkan dan taraf pentadbirannya diturunkan kepada Residensi di bawah pengawasan Gabenor Benggala.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
the-eruption-800px
Sejarah

Serangan Inggeris Ke Atas Jeram Ampai

29 Jun 1894 – Dalam tahun 1894 sepasukan Polis kerajaan Inggeris telah menyerang sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang.  Pasukan Polis ini terdiri dari Polis Sikh Perak, Polis Sikh Selangor dan beberapa orang polis Melayu.

dato_bahaman-1

Dato’ Bahaman

Kumpulan ini adalah sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Pahang yang dipimpin oleh Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi. Dalam serangan tersebut seorang Pegawai Inggeris bernama Wise (Pemangku Penguasa Ulu Pahang) dan empat orang polis Sikh telah terbunuh manakala di pihak penentang-penentang pula dilaporkan 40 orang terbunuh.

Serangan ke atas kumpulan penentang-penentang di Jeram Ampai ini merupakan tindakbalas pihak Inggeris terhadap ancaman terbaru penentang-penentang di mana pada 14hb Jun mereka telah menyerang sebuah balai polis di Kuala Tembeling dan membunuh lima orang anggota polis Sikh. Kemudiannya mereka telah berundur ke Jeram Ampai iaitu empat batu dari Kuala Tembeling dan mendirikan benteng-benteng pertahanan.

Tok_gajah-1

Tok Gajah

Pada 18hb Jun, Walter Egerton, Pemangku Residen Pahang dengan sepasukan Polis Sikh telah berkejar ke Kuala Tembeling. Pada 28hb Jun pasukan ini disertai pula oleh pasukan-pasukan Polis Perak, dan Selangor yang diketuai oleh Penolong Penguasa Stewart, Leftenan Kolonel Walter, Kapten Lyons dan Kapten Talbot.

Peristiwa Jeram Ampai ini adalah merupakan salah satu daripada beberapa insiden dalam sejarah penentangan pejuang-pejuang pembebasan Pahang terhadap Inggeris di Pahang. Ekoran daripada peristiwa ini Huge Clifford iaitu Residen British di Pahang telah melancarkan gerakan besaran-besaran memburu mereka hingga ke Negeri Terengganu dan Kelantan.

mat-kilau

Mat Kilau

Gerakan ini dimulakan pada 4hb Julai, 1894 setelah Clifford mengambil alih pemerintahan dari Egerton pada 3hb Julai,1894. Gerakan  yang menelan belanja sebanyak RM 7,393.83 dihentikan pada bulan November 1895 apabila Dato’ Bahaman, Awang Nong, Yusuf, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahit dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada Kerajaan Siam tetapi diberi perlindungan dan ditempatkan di Chiang Mai pada awal 1896 manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan telah meninggal dunia di Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
keretapi-20180325-800px
Sejarah

Penubuhan Rangkaian Jalan Keretapi Dari Prai Ke Singapura

29 Jun 1899 – Pada tahun 1899, Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri-Negeri Selat dan juga Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Lient. Kol. Sir C.B.H Mitchell telah membuka dengan rasminya rangkaian jalan keretapi yang pertama bermula dari Prai ke Bukit Mertajam.

Turut hadir di upacara tersebut ialah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar, Residen British, Encik Rodger dan Encik J.K Birch serta beberapa orang pegawai. Mereka kemudiannya telah bertolak ke Bukit Mertajam dengan menaiki keretapi.

Keretapi Lama

Pembinaan jalan keretapi ini akan dapat menghubungkan antara Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Rangkaian keretapi seterusnya pula bermula dari Bukit Mertajam ke Port Dickson. Panjang landasan keretapi dari Prai ke Port Dickson ini ialah 507.2 kilometer.

Rangkaian keretapi yang kedua pula bermula dari Port Dickson ke Singapura yang mana mengambil masa perjalanan selama 15 atau 16 jam. Perjalanan keretapi dari Prai ke Singapura dijangka mengambil masa selama 36 jam.

Perkembangan selanjutnya mula berlaku bilamana jalan keretapi yang bermula dari Prai telah disambungkan hingga ke Burma dan Siam.

Pembukaan rangkaian jalan keretapi Prai-Singapura pada hari ini dalam tahun 1899 telah memberikan sumbangan yang besar terutama kepada perkembangan ekonomi di kalangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_tahta_perak-800px
Sejarah

Pertabalan Raja Ismail Perak

27 Jun 1871 – Pertabalan Raja Ismail sebagai Sultan Perak yang ke 26 telah diadakan pada tahun 1871 bagi menggantikan Almarhum Paduka Seri Sultan Ali Al-Mukamal Riayat Shah. Pertabalan Raja Bendahara Ismail telah menambahkan lagi sengketa perebutan kuasa dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Perak.

Raja Bendahara Ismail bukanlah waris sebenar pemerintahan negeri Perak tetapi sebaliknya ialah Raja Muda Abdullah. Oleh kerana kegagalan baginda hadir di upacara pemakaman jenazah Sultan Ali, maka Raja Bendahara Ismail yang hadir di upacara itu telah ditabalkan menjadi Sultan. Peristiwa ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengikut-pengikut Raja Abdullah dan lain-lain pembesar negeri itu.

Perebutan kuasa antara pembesar-pembesar negeri Perak telah bermula sejak tahun 1865, selepas kemangkatan Sultan Jaafar; dimana akhirnya Sultan Ali telah memaklumkan kepada Gabenor Negeri Selat bahawa dirinya telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Perak dan jajahan takluknya, manakala Raja Abdullah dilantik menjadi Raja Muda dan Raja Ismail terus kekal sebagai Raja Bendahara. Kesan dari perebutan kuasa ini telah mewujudkan pemerengganan kawasan politik.

Keadaan ini telah berterusan selepas Raja Ismail menaiki takhta kerajaan. Raja Muda Abdullah berkuasa di Hilir Perak sehinggalah ke Kuala Perak. Sultan Ismail di Perak Tengah termasuk Kinta, Raja Yusuf berkuasa di Larut. Perpecahan ini akhirnya memerangkap negeri itu dalam perluasan dasar penjajahan British di Tanah Melayu ketika itu. Pertabalan Sultan Ismail pada tahun ini sesungguhnya merupakan satu titik tolak kepada berlakunya persengketaan yang hebat dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Perak yang akhirnya membuka peluang kepada Inggeris untuk campur tangan di negeri itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Edward-Twining-Governor-800px
Sejarah

Sabah Menjadi Tanah Jajahan British

26 Jun 1946 – Satu perjanjian telah ditandatangani antara Kerajaan British dan Kompeni Berpiagam Borneo Utara (KBBU) pada tahun 1946 yang menyebabkan Sabah menjadi tanah jajahan British. Mengikut perjanjian itu, Borneo Utara akan dirasmikan sebagai tanah jajahan British pada 15 Julai 1946.

Sabah atau Borneo Utara mula ditadbir oleh Kompeni Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1881. Pemerintahan itu berterusan sehingga berakhirnya Perang Dunia Kedua (1946) dan kesan pendudukan Jepun di Sabah telah menyebabkan keadaan ekonominya bertambah teruk. Susulan daripada itu, Kompeni Berpiagam (KBBU) tidak mempunyai sumber kewangan untuk memulihkan keadaan ekonomi Sabah dan menjalankan kerja-kerja pembangunan semula.

Edward Twining Governor

Edward Twining

Oleh yang demikian, Kompeni Berpiagam mengambil keputusan untuk menyerahkan Sabah kepada Kerajaan British. Penyerahan Sabah, sebagai sebuah Tanah Jajahan, bermakna pentadbiran negeri akan ditadbir oleh seorang Gabenor yang bertindak sebagai Ketua Kerajaan. Gabenor Sabah yang pertama ialah Sir Edward Twining (Feb. 1947 – 1950). Perjanjian penyerahan Sabah kepada Kerajaan British pada hari ini dalam tahun 1946, mendapat sambutan yang baik dan tidak mendapat banyak bantahan daripada rakyat tempatan. Dengan itu, Sabah akan terus dijajah oleh kuasa-kuasa asing.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tok_janggut-800px
Sejarah

Kubu Inggeris Di Pasir Puteh Di Serang Tok Janggut

25 Jun 1915 – Kubu Inggeris Di Pasir Puteh di serang Tok Janggut pada tahun 1915. Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hasan bin Munas, merupakan anak kepada Pesuruhjaya Raja Kelantan di Kota Jeram.

Penentangan Tok Janggut telah bermula apabila beliau telah memimpin gerakan penduduk jajahan Pasir Putih membantah undang-undang yang diwartakan yang memaksa rakyat supaya membayar cukai-cukai yang tidak munasabah. Berikutan itu Sultan Muhamad IV telah mengeluarkan perintah agar Tok Janggut dan pengikutnya menyerah diri tetapi arahan tersebut ditolak oleh Tok Janggut.

Tok Janggut

Tok Janggut

Dengan persetujuan daripada penasihat British di Kelantan, bantuan askar-askar Inggeris daripada Singapura telah diminta untuk menangkap Tok Janggut dan pengikutnya tetapi menemui kegagalan. Namun tindakan pihak Inggeris membakar kampung dan kota di Jeram, akibat daripada kegagalan selepas usaha pihak Inggeris untuk menangkapnya gagal dilaksanakan telah menyebabkan beliau bangkit untuk melancarkan gerakan menyerang kubu Inggeris di Pasir Puteh sebagai  balasan ke atas tindakan askar- askar Inggeris ini.

Pertempuran yang sengit itu telah menyebabkan ramai yang terkorban termasuk Tok Janggut sendiri. Semangat perjuangannya beliau untuk membebaskan tanahair tetap terus membara di kalangan anak watan hingga membawa kepada kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
james_brooke_portrait-800px
Sejarah

Serangan Ke Atas Kubu British Di Kanowit, Sarawak

25 Jun 1859 – Pada tahun 1859 penduduk pribumi yang diketuai oleh Sawing dan Sakalai telah melancarkan satu serangan ke atas Kubu British di Kanowit, Sarawak. Dalam serangan itu, mereka telah berjaya membunuh dua orang pegawai British iaitu Charles Fox dan Henry Steele.

Serangan itu merupakan penentangan penduduk-penduduk tempatan terhadap dasar perjanjian James Brooke yang menyekat hak dan kuasa pemimpin-pemimpin tempatan terutama dalam pengutipan cukai. Malah dasar pemerintahan James Brooke cuba menghalang adat resam dan kebudayaan yang diamalkan oleh penduduk tempatan.

James Brooke telah membina kubu di Kanowit dalam tahun 1851 atau lebih dikenali sebagai Kubu Emma. Tujuannya adalah untuk menyekat pergerakan penduduk tempatan di persisiran pantai yang berhampiran dengan kawasan yang kaya dengan sagu. Dengan keadaan pentadbiran yang lemah dan kucar-kacir, serangan yang diketuai oleh  Sawing dan Sakalai itu telah berjaya menawan kubu tersebut.

Ekoran daripada serangan tersebut, pihak British telah menyerang balas ke atas Kubu yang telah ditawan itu. Serangan balas itu, dianggap penting bagi mengukuhkan pentadbiran Brooke di Sarawak. Ia dijadikan alasan untuk meluaskan lagi penjajahannya di Sungai Rejang, Pantai Mukah dan Oya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
wang_malaysia-800px
Sejarah

Undang-Undang Mata Wang Diluluskan

24 Jun 1960 – Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Undang-undang Mata Wang 1960 setelah dibentangkan di Dewan Rakyat. Menurut rang undang-undang ini kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berhak melalui Menteri Kewangan menyampaikan permintaan kerajaan untuk keluar dari Lembaga Pesuruhjaya Wang yang dibentuk oleh kerajaan British seperti yang tercatat di dalam Perjanjian Wang Malaya-Borneo British 1950.

Rang Undang-undang yang diluluskan ini juga mengesahkan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak iaitu Perjanjian Malaya-Borneo British, 1960 dan berjalan kuatkuasannya pada 1hb Januari, 1961. Persekutuan Tanah Melayu telah diberi hak keistimewaan yang lebih di dalam Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baharu ini dalam mana ia diwakili oleh dua orang ahli, seorang daripadanya dimestikan menjadi Pengerusi Lembaga.

Bagi anggota-anggota lain iaitu kerajaan Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah diwakili oleh seorang ahli bagi tiap-tiap negeri. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melantik Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara mewakili Persekutuan Tanah Melayu. Menteri Kewangan adalah Pengerusi Lembaga. Kuasa-kuasa yang dipegang oleh Setiausaha bagi Tanah Jajahan British mengikut Perjanjian tahun 1950 telah dipindahkan kepada Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baru ini.

Lembaga ini dibenarkan memegang harta yang bernilai hingga setakat RM 300 juta. Kerajaan-kerajaan yang menjadi anggota juga diberi peluang menggunakan kumpulan wang ini bagi pebelanjaan pembangunan negara. Lembaga ini diberi kuasa memperniagakan wangnya dalam jaminan mata wang sterling yang kukuh dan diakui oleh badan-badan kewangan antarabangsa.

Menteri Kewangan, Encik Tan Siew Sin semasa mengemukakan Undang-undang Mata Wang 1960 di Dewan Rakyat menyatakan perjanjian ini adalah perintis jalan kepada Bank Negara untuk mengeluarkan sendiri matawang ringgit Tanah Melayu. Peraturan-peraturan baru ini adalah merupakan satu panduan kepada Bank Negara untuk mengkaji dan mengaturkan rancangan jangka panjang yang sesuai mengenal dasar mata wang Persekutuan Tanah Melayu untuk mengelakkan kebimbangan dan keraguan terhadap nilai matawang negara kita.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard