Sejarah

Projek Pusat Bandaraya Pulau Pinang

22 Mac 1975 – Pada tahun 1975, Ketua Menteri Pulau Pinang Dr. Lim Chong Eu telah mengumumkan projek raksasa pusat Bandaraya Pulau Pinang sebagai Kompleks Angkasa Perdana kerana mengambil sempena nama Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang telah melakukan upacara menanam tiang asas projek itu pada tahun 1973 lalu.

Lim_Chong_Eu

Lim Chong Eu

Perlaksanaan projek ini sebenarnya adalah untuk memenuhi kehendak bangunan-bangunan pentadbiran, tatarakyat, kebudayaan serta perdagangan ke arah menyusun semula masyarakat di bandaraya Georgetown sejajar dengan kehendak Dasar Ekonomi Baru.

Ketua Menteri semasa berucap merasmikan bengkel daerah yang pertama mengenai Malaysia dalam tahun 2000 pagi ini menyifatkan bahawa projek ini merupakan salah satu perkara penting untuk memenuhi kehendak pembangunan sosio-ekonomi bandar Georgetown bukan sahaja untuk 10 tahun tetapi menjangkau hingga ke kurun ke-21.

Projek Pusat Bandaraya yang bernilai kira-kira 200 juta ringgit ini terletak di kawasan 22.4 ekar merangkumi Jalan Pinang, Jalan Perangin, Lebuh Bridge dan Jalan Magazine. Ia akan dilaksanakan dalam lima peringkat.

Perlaksanaan dan kejayaan projek ini memperlihatkan keupayaan kerajaan menjalankan proses kemajuan tanpa mengubah corak dan mutu kehidupan rakyat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
water_tap-800px
Sejarah

Kerajaan Johor Dan Singapura Menandatangani Perjanjian Air Yang Baru

02 Oktober 1961 – Pada tahun 1961, Kerajaan negeri Johor dan Singapura telah menandatangani perjanjian air yang baru. Upacara menandatangani perjanjian yang berlangsung di Bukit Timbalan, Johor Bahru, Johor adalah bagi menggantikan perjanjian yang sama pada tahun 1927 di antara Pesuruhjaya Perbandaran Singapura dengan Sultan Johor.

Mengikut perjanjian 1927, Kerajaan Singapura hanya dibenarkan mengambil sumber airnya dari kolam air di Gunung Pulai. Dengan perjanjian air yang baru ini, Singapura mendapat sumber air yang baru iaitu dari Sungai Skudai dan Sungai Tebrau. Keperluan untuk mendapatkan sumber baru ini ialah ekoran permintaan yang tinggi kerana bertambahnya bilangan penduduk serta aktiviti-aktiviti perindustrian.

Perjanjian air yang baru ini berkuatkuasa selama 50 tahun dan ianya boleh disemak semula selepas 25 tahun sekiranya berlaku perubahan dari segi kos pengeluaran dan kuasa membeli wang (purchasing power of money). Di antara syarat perjanjian ini, Majlis Bandaraya Singapura dikehendaki membayar 3 sen kepada kerajaan Johor bagi setiap 1000 gelen air yang disalurkan melalui Tambak Johor. Majlis juga dikehendaki membekalkan tidak lebih 12% daripada jumlah yang dibekalkan ke Singapura atau tidak kurang dari 4 juta gelen air ke negeri Johor setiap hari. Kerajaan Johor boleh meminta untuk menambahkan bekalan air dari Singapura untuk memenuhi keperluannya.

Kerajaan Johor pula dikehendaki membayar sebanyak 50 sen bagi setiap 1000 gelen air bersih yang dibekalkan oleh Singapura. Kerajaan negeri juga memberi hak yang penuh kepada Majlis Bandaraya Singapura untuk mengambil air dari kolam air Gunung Pulai, Sungai Tebrau dan Sungai Skudai, membina bangunan serta mengawasi kerja-kerja mengenai pembekalan air.

Menurut perjanjian ini lagi, Majlis Bandaraya Singapura dikenakan bayaran sewa tahunan sebanyak $5 satu ekar bagi tanah yang direzabkan untuk kerja-kerja tersebut. Ini meliputi 7043 ekar tanah di Gunung Pulai dan Pontian, 32 ekar di Tebrau dan 120 ekar di Sungai Skudai.

Dengan termetrinya perjanjian ini, kerja-kerja bagi projek Sungai Skudai dimulakan dengan serta merta dan ia dijangka siap dalam tempoh 2 tahun. Menurut En. P.C. Lim, Jurutera Air Singapura, dengan pembangunan skim Sungai Skudai yang bernilai $20 juta serta tambahan di masa hadapan bagi projek Sungai Johor, kedua-dua negeri tidak akan menghadapi masalah yang berhubung dengan bekalan air.

Perjanjian ini ditandatangani oleh Y.Bhg Dato’ Abdul Rahman Musa, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Y.Bhg Dato’ D.C. Jackson, Penasihat Undang-Undang Negeri bagi pihak Kerajaan Johor serta En. Woon Wah Siang, Ketua Pegawai Pentadbir Majlis Bandaraya Singapura dan En. SS Scales, Bendahari Bandaraya bagi pihak Singapura.

Perjanjian air yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1961 sesungguhnya memberi keistimewaan kepada Singapura yang memperolehi sumber air yang baru dari Kerajaan Johor dengan bayaran yang rendah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard