tengku_kudin_face-800px
Sejarah

Sultan Abdul Samad Menyerahkan Kuasa Kepada Tengku Kudin

26 Jun 1868 – Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor yang keempat yang bersemayam di Kuala Langat telah memberikan kuasa mentadbir dan memajukan negeri Selangor kepada menantunya Tengku Kudin. Pemberian kuasa tersebut terkandung dalam surat kuasa yang diberikan oleh Sultan Abdul Samad. Surat kuasa itu antara lain menyebut bahawa seluruh negeri Selangor dan jajahan takluknya diberi kuasa kepada Tengku Kudin untuk mentadbirkannya. Malahan Sultan Abdul Samad juga dalam surat kuasanya menyeru anak-anak Raja termasuk putera-puteranya serta orang-orang Besar Selangor supaya memberi kerjasama kepada Tengku Kudin yang dilantik sebagai Wakil Yamtuan itu.

Sultan Abdul Samad of Selangor

Sultan Abdul Samad

Dengan pemberian kuasa ini Tengku Kudin mempunyai kuasa untuk mentadbir Selangor yang dilanda kekacauan pada masa itu. Malah Tengku Kudin juga memain peranan penting mengheret pembabitan Inggeris dalam pergolakkan politik dan Perang Saudara di Selangor. Sultan Abdul Samad juga mengurniakan kawasan Langat kepada Tengku Kudin untuk membolehkan beliau mendapat sumber-sumber penghasilan untuk membiayai urusan pentadbiran Selangor.

Pemberian kuasa mentadbir serta penganugerahan kawasan Langat kepada Tengku Kudin ini telah tidak disenangi oleh putera-putera Sultan Abdul Samad seperti Raja Musa, Raja Kahar, Raja Yaakob dan juga para pembesar Langat kerana Tengku Kudin yang berasal dari Kedah dan menjadi menantu Sultan Abdul Samad itu disifatkan sebagai orang luar yang tidak sepatutnya mencampuri urusan pentadbiran Selangor.

Pemberian kuasa mentadbir Selangor kepada Tengku Kudin oleh Sultan Abdul Samad pada hari ini dalam tahun 1868 itu bukanlah dapat meredakan keadaan sebaliknya meruncingkan lagi pergolakkan politik di Selangor akibat perang saudara yang akhirnya membawa kepada campur tangan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard