19 Oktober 1927 – Pada tahun 1927, perjanjian sempadan perairan Singapura dengan Johor telah ditandatangani oleh Kerajaan Inggeris dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. Kerajaan Inggeris telah diwakili oleh Sir Hugh Clifford, Gabenor dan merangkap Panglima Tertinggi Negeri-negeri Selat. Tujuan perjanjian ini adalah untuk menetapkan sempadan perairan di antara Pulau Singapura dengan negeri dan kawasan-kawasan jajahan negeri Johor.
Perjanjian sempadan perairan Singapura dengan Johor ini adalah lanjutan dari perjanjian yang ditandatangani pada 2 Ogos 1824, di antara Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) dengan Sultan dan Temenggung Johor. Melalui perjanjian itu EIC atau penggantinya berkuasa penuh ke atas Singapura, kawasan perairan selat serta kepulauan yang berhampiran. Dalam perjanjian ini, kerajaan Inggeris berhasrat untuk memulangkan semula kawasan perairan, selat dan kepulauan-kepulauan kecil yang tertentu kepada Kerajaan Negeri Johor.
Tiga fasal dari perjanjian itu menyebutkan:-
- Fasal Pertama: Menentukan sempadan di antara kedua buah negeri iaitu berasaskan kepada tengah laut yang paling dalam di Selat Johor yang memisahkan negeri Johor dengan kawasan pantai di utara Pulau Singapura, Pulau Ubi, Pulau Tekong Kecil dan Pulau Tekong Besar. Di bahagian barat Selat Johor, sempadan adalah dari dasar tengah laut yang paling dalam di timur Pulau Merambung sehingga had 4.8 kilometer di perairan selatan Pulau Merambung. Manakala di bahagian timur Selat Johor sempadannya adalah ditandakan oleh dasar tengah laut yang paling dalam antara tanah besar negeri Johor di barat Bukit Johor dan Pulau Tekong Besar. Seterusnya melalui dasar tengah laut yang paling dalam di antara kawasan perairan cetek dengan tanah besar Johor yang kemudiannya menghala ke arah selatan sehingga 4.8 kilometer, kira-kira 307.2 kilometer dari Tanjung Sitapa.
- Fasal Kedua: Menyatakan semua kawasan perairan yang telah diserahkan oleh Sultan dan Temenggung Johor mengikut perjanjian pada 2 Ogos 1824, iaitu kawasan dalam lingkungan 4.8 kilometer dari tanah besar negeri Johor adalah di bawah kuasa negeri Johor.
- Fasal Ketiga: Menentukan bahawa semua kepulauan kecil yang terletak dalam kawasan perairan negeri Johor adalah diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan. Negeri Johor.
Perjanjian sempadan perairan Singapura dengan Johor berkuatkuasa setelah dipersetujui oleh Parlimen Inggeris.
Sumber : Arkib Negara