KUALA LUMPUR – Sebuah insiden tragik yang meragut nyawa seorang lelaki berusia 32 tahun semasa bermain pickleball di tingkat tiga sebuah bangunan di ibu kota mencetuskan kemarahan netizen, yang mempersoalkan tahap keselamatan serta ketiadaan tanda amaran yang jelas di kawasan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, mangsa sedang bermain pickleball bersama beberapa rakan sebelum kejadian berlaku pada Selasa (2 Disember) malam.
“Mangsa telah memanjat pagar pembatas (railing) di tepi gelanggang untuk mengambil bola pickleball yang terlepas sebelum terjatuh dari tingkat tiga,” katanya dalam kenyataan media.
Laporan polis diterima pada pukul 9.43 malam dan kes disiasat sebagai mati mengejut (sudden death).
Pengendali gelanggang dedah rakaman CCTV
Dalam satu hantaran di media sosial, pengendali gelanggang pickleball terbabit menjelaskan bahawa pagar dan jaring memang dipasang bagi mengelak bola terbang keluar dari bangunan, tetapi ia “tidak direka untuk menampung berat badan manusia atau untuk dipanjat.”
Pengendali turut menyatakan mereka telah menyerahkan rakaman CCTV kepada polis bagi membantu siasatan dan mengurangkan spekulasi liar.
Netizen tebus salah pengendali – “Keselamatan langsung tiada!”
Walaupun penjelasan diberi, ramai netizen tetap mempertikai tahap keselamatan yang disediakan.
“Tak ada tanda amaran langsung, boleh je jalan betul-betul tepi pagar tu. Keselamatan memang tak wujud,” tulis seorang pengguna Threads.
Satu lagi komen yang mendapat perhatian ramai: “Pengendali boleh disaman kerana cuai kalau tak letak tanda amaran atau penghalang yang cukup untuk beritahu orang itu bahaya.”
Ada yang terus mempersoalkan reka bentuk gelanggang itu sendiri: “Apa hal tak pasang pagar lebih tinggi atau pagar yang boleh tahan berat badan manusia? Keselamatan tu ada dalam kamus ke?”
Seorang lagi netizen menambah: “Lubang tu memang nampak bahaya, kenapa tak tutup je terus lubang tu supaya tak boleh berlaku benda macam ni?”
Soalan besar: Siapa bertanggungjawab?
Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa seorang pemain muda, malah membuka mata ramai tentang standard keselamatan di gelanggang sukan tertutup yang terletak di tingkat tinggi.
Adakah pengendali gelanggang pickleball perlu memasang pagar lebih kukuh, tanda amaran yang jelas, atau menutup sepenuhnya ruang terbuka di tepi gelanggang?
Siasatan polis masih berjalan, tetapi suara netizen sudah lantang menuntut perubahan agar insiden sebegini tidak berulang.
Kepada peminat pickleball yang semakin bertambah di Malaysia – bermainlah dengan ceria, tetapi keselamatan nombor satu, ya!



