naning-bg
Sejarah

Perang Naning Berakhir 1832

15 Jun 1832 – Pada tahun 1832 peperangan di antara pihak Kerajaan Inggeris di Melaka dengan Naning yang lebih dikenali sebagai Perang Naning berakhir.

Peperangan itu dikatakan berpunca daripada keengganan orang-orang Melayu Naning membayar 1/10 daripada hasil pendapatan mereka kepada pihak berkuasa Kerajaan Inggeris di Melaka.

Orang-orang Melayu Naning diketuai oleh Penghulunya, Dato’ Naning Abdul Said atau Dol Said. Setelah beberapa kali gagal memujuk Dato’ Naning supaya membayar ufti 1/10, pada bulan Julai 1831, satu pasukan seramai 150 orang askar Sepoi dengan dua buah meriam telah dihantar oleh kerajaan Inggeris ke Naning untuk menghancurkan pasukan Dato’ Naning dan orang-orangnya.

Askar-askar ini telah ditentang dan dikalahkan oleh orang-orang Dato’ Naning dengan bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban yang merupakan menantu Raja Ali.

Serangan ini adalah merupakan serangan yang pertama. Inggeris sedar bahawa kekuatan Naning dan Rembau tidak mudah dikalahkan.

Oleh itu dari bulan September 1831 hingga Januari 1832 beberapa siri rundingan di antara Raja Ali dari Rembau dan pihak kerajaan Inggeris di Melaka telah diadakan dan akhirnya pada 28hb Januari. 1832 satu perjanjian telah dipersetujui dan ditandatangani.

Mengikut perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bersetuju tidak akan menyerang di antara satu sama lain dan Rembau diiktiraf sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran kerajaannya.

Sebagai ganjaran, Raja Ali menarik balik pasukannya daripada Naning dan mengurangkan kekuatannya kepada kira-kira 600 orang dan beberapa bulan kemudian bergabung dengan pasukan Inggeris.

Pada bulan April, 1832 pasukan Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban dan askar-askar Inggeris berjumlah kira-kira 1,200 hingga 1,400 orang yang diketuai oleh Kolonel Herbert menyerang Naning bagi kali yang kedua.

Dalam serangan kali kedua ini, dan setelah berlaku beberapa pertempuran selama lebih kurang dua bulan, Taboh, ibu negeri dan pusat gerakan Dato’ Dol Said dapat ditawan dan Dato’ Dol Said serta pengikut-pengikutnya berundur.

Dengan berakhirnya perang Naning pada hari ini dalam tahun 1832, telah memberi ruang kepada Inggeris untuk menawan Naning.

Perang Naning telah membuktikan semangat juang yang tinggi di kalangan orang-orang Melayu dalam mempertahankan maruah dan hak bangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard