parti_perikatan-800px
Sejarah

Perikatan Umno-Mca Menarik Ahli-Ahlinya Daripada Pentadbiran Kerajaan

13 Jun 1954 – Pada tahun 1954, satu ketetapan telah diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA untuk menarik keluar semua ahlinya yang bukan rasmi dari mengambil bahagian yang cergas dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Menurut ketetapan yang dikeluarkan, ahli-ahli Perikatan yang dilantik (Nominated) sebagai ahli-ahli tidak rasmi oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Settlement kepada Majlis Kerja Persekutuan, Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan, Majlis Mesyuarat Negeri, Majlis Mesyuarat Settlement, Majlis-Majlis Mesyuarat Perbandaran, Bandaran dan Lembaga Bandaran akan meletak jawatan dari Majlis tersebut.

Ahli-ahli yang dipilih (elected) ke dalam majlis-majlis ini pula akan memulakan persidangan majlis-majlis tersebut. Ketetapan ini diambil sebagai tindakan tidak puas hari terhadap Setiausaha Tanah Jajahan Takluk British yang melengahkan cadangan Perikatan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas dan bebas bagi menyiasat dan mengkaji soal pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ketetapan yang diputuskan ini, dua orang Menteri Perikatan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan jawatan. Mereka ialah Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman; Menteri Hasil Bumi dan Kol. H.S.Lee; Menteri Kenderaan Persekutuan Tanah Melayu.

Di samping itu, Jawatankuasa Agung Pusat MCA telah melantik sebuah jawatankuasa bertindak yang akan menguruskan semua soal mengenai ahli-ahli MCA yang menjadi ahli dalam badan-badan kerajaan dan separuh kerajaan kecuali badan-badan mengenai kebajikan dalam negeri.

Ketetapan yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA menarik keluar ahli-ahlinya daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menunjukkan begitu seriusnya perjuangan mereka menuntut kemerdekaan bagi negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard