lambang_kedah-800px
Sejarah

Perjanjian Pinjaman Kedah-Siam

16 Jun 1905 – Pada tahun 1905, satu Perjanjian Pinjaman Kedah-Siam telah ditandatangani. Pinjaman sebanyak 2,600 ringgit itu dibuat oleh kerajaan Kedah untuk menampung perbelanjaan pentadbiran.

Dalam perjanjian itu Sultan Kedah telah diwakili oleh Raja Muda Tengku Abdul Aziz, manakala pihak Siam pula telah diwakili oleh Menteri Kewangannya Putera Mahisara Rachaharuthai.

Upacara menandatangani perjanjian itu berlangsung di Bangkok di hadapan dua orang saksi H.F. Williamson dan A.C.S. Ward.

Raja Muda Tengku Abdul Aziz

Raja Muda Tengku Abdul Aziz

Antara syarat-syarat perjanjian ini adalah :

  • Sultan Kedah dikehendaki membayar faedah pinjaman dengan kadar 6% setahun.
  • Pembayaran balik pinjaman secara ansuran berserta faedah hendaklah dibuat pada 1 haribulan Jun tiap-tiap tahun.
  • Sultan Kedah dikehendaki menerima dan membayar gaji seorang Penasihat Kewangan yang dilantik oleh Siam bagi menasihati baginda mengenai soal-soal pentadbiran kewangan Kedah.
  • Sultan Kedah tidak dibenarkan membuat lain-lain pinjaman selagi pinjaman ini belum selesai.

Perjanjian Pinjaman Kedah-Siam membawa kesan dan perubahan dalam sistem pentadbiran negeri Kedah. Di antaranya ialah perlantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Yang Dipertua Mesyuarat Perundangan Negeri dan Williamson sebagai Penasihat Kewangan Kedah. Dengan perlantikan itu segala urusan Mesyuarat Perundangan Negeri adalah mengikuti nasihat W.F. Williamson.

Apabila Williamson berhenti, kerajaan Siam terpaksa meminjam J.C. Hart dari kerajaan Inggeris untuk meneruskan tugas-tugas pentadbiran kewangan.

Sejak peristiwa ini kerajaan Siam mulai sedar bahawa Kedah tidak menguntungkan sebagai jajahan takluk. Akhirnya pada 31 Mei 1909 semasa menandatangani perjanjian Siam-Inggeris, kerajaan Siam telah bersetuju menyerahkan Kedah kepada Inggeris.

Penyerahan ini memaksa Kedah menerima seorang penasihat Inggeris yang bertanggungjawab menasihatkan Sultan mengenai segala hal kecuali soal-soal agama Islam dan adat istiadat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard